Ali Rustam, umpama habis madu sepah dibuang?

4
5

BEBERAPA malam lepas saya bertemu dengan Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, mantan Ketua Menteri Melaka. Pertemuan itu di restoran KFC, KLIA.

Kebetulan beliau akan terbang ke Uzbekistan bagi satu kejohanan Karate. Beliau ialah Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Lama saya tidak bertemu beliau. Ada urusan saya mahu bertemu beliau. Tapi dalam sejam pertemuan itu banyak yang kami sembangkan.

Tapi saya tidak mahu sentuh mengenai hal politik, yang beliau pun pening dengan corak politik semasa, terutamanya dalam parti beliau sendiri dan parti pemerintah.

Kami banyak bersembang mengenai negeri Melaka dan bagaimana negeri itu menjadi negeri pelancongan tersohor negara.

Saya berkata Tan Sri ialah arkitek pembangunan Melaka moden. Beliau tersipu-sipu.

“Kita buat kerja. Kerja kena cepat dan pantas.”

Saya kata lagi, setiap kali saya ke Melaka saya akan teringatkan Ali. Susah mahu cari sampah di jalan. Cukup bersih, teratur.

Mungkin budaya dan sifat orang Melaka sebagai pembersih, tetapi majlis perbandarannya juga harus dipuji.

Baru-baru ini saya ke bandar raya Melaka. Saya tersentak melihat karpet rumput diletak di satu persimpangan jalan. Cukup teratur dan kemas sekali.

“Memang perbandaran Melaka cukup kreatif dan rajin. Itu yang membezakan Melaka dan negeri-negeri lain,” katanya.

Walaupun beliau kalah dalam PRU14 lalu akibat faktor pusat dan negeri itu, nama beliau masih disebut-sebut. Rakyat Melaka rata-rata masih menyanjungi beliau.

Jasanya cukup besar bagi negeri itu. Seorang pemimpin yang sedaya upaya mahu memenuhi jemputan sesiapa sahaja yang menjemput beliau.

Itulah Ali Rustam. Orang yang sanggup bertemu dengan sesiapa sahaja, walaupun ke awal pagi dan di mana-mana sahaja.

Beliau masih ingat satu tulisan saya dalam kolum Cuit Utusan Malaysia semasa beliau masih menjadi Ketua Menteri. Ia bertajuk A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia! (http://ilovemelaka.blogspot.com/2009/07/kepada-melaka-kota-warisan-dunia.html)

“Terima kasih kerana membantu kami.” Katanya cukup merendah diri.

Ali, seorang pemimpin yang tidak banyak kerenah, atau tidak ada kontroversi.

Orang seperti inilah yang Melaka perlukan, bukan yang mendabik dada menjerit-jerit “engkau tahu siapa aku!”

Semasa perbualan itu beliau mengimbau bagaimana Kampung Baru di Kuala Lumpur tidak boleh dibangunkan sehingga kini.

“Saya ada formulanya.”

Tirulah cara kami bangunkan Kampung Morten di Melaka.

Ia mulanya hanyalah sebuah perkampungan miskin, sunyi, sepi sekitar 1960an dan 1970an. Perkampungan ini dinamakan sempena nama J.F Morten, pesuruhjaya Tanah pada awal 1920-an. Kampung Morten pada awalnya hanya merupakan sebuah kawasan paya (Kampung Morten, 2012).

Kawasan itu kemudian dibangunkan sebagai kampung tarikan pelancong apabila ia diangkat sebagai kampung warisan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemeliharaan Melaka 1989.

Itu satu-satunya perkampungan Melayu yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka (Kampung Baru, KL versi Melaka) yang kini telah diwartakan oleh Kerajaan Melaka sebagai antara perkampungan terunggul negeri itu. Ia masih memiliki identiti kampung Melayu walaupun melewati beberapa zaman. (http://gotomelaka.blogspot.com/2012/05/kampung-morten.html#ixzz5uNA5OvbG)

“Apa yang Kampung Baru Kuala Lumpur boleh buat ialah memperuntukan kepada tuan-tuan rumah sekian peruntukan daripada DBKL untuk memperindahkan rumah-rumah yang ada serta kemudahan asas di situ,” kata Ali.

“Jadikan ia sebagai pusat kebudayaan Melayu terbesar di Kuala Lumpur. Ubahnya menjadi ala Karyaneka. Tukar atap-atap rumah-rumah itu secara seragam.”

Adakan pertunjukan kebudayaan. Pelancong boleh menyewa memakai baju kebaya, baju kurung, sanggul Melayu atau lelaki memakai baju pahlawan Melayu dengan tanjak, keris dan capal di laluan berbumbung ala Petaling Street atau di Masjid India.

Laluan-laluan trafik tertentu dijadikan laluan pejalan kaki seperti di Jonker Street. Bersihkan gerai-gerai dan kedai-kedai kotor menjadi moden. Panggil arkitek hebat seperti Hijjas Kasturi membantu.

Bersungguh-sungguh Ali bercerita. Saya terleka sebentar mendengarnya. Ternyata ilham beliau cukup hebat.

“Majlis Perbandaran kena kreatiflah. Tepuk dada, tanya selera. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ada menteri selain Datuk Bandar. Mereka boleh lakukannya.

“Kena ada iltizam politik macam kami buat di Melaka dulu. Datuk Bandar kena turun padang setiap pagi bersembang dengan penyapu sampah atau pemotong rumput atau penjaja makanan. Lawat dan tinjau selalu ke Kampung Baru.

“Saya melihat Kampung Baru Kuala Lumpur mempunyai potensi yang cukup besar untuk pelancongan, cukup besar…,” katanya.

Jika orang lain boleh bangunkan Sentul menjadi hebat, Bukit Bintang menjadi hebat, mengapa tidak Kampung Baru, kampung terakhir Melayu di ibu kota.

Malah, katanya di Singapura sendiri kawasan Melayu di Istana Gelam dan kawasan Melayu Geylang dibangunkan.

“Malulah kita…” katanya perlahan.

Itulah Ali Rustam. Hebat orangnya. Beliau  juga adalah perintis kepada gagasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada tahun 2000, hasil daripada resolusi Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam pertama.

DMDI merupakan sebuah Syarikat Kerajaan Negeri Melaka (Tahun 2000- Tahun 2017) yang bertindak untuk mempromosi kesatuan dan perpaduan di antara umat Melayu-Islam di samping menggalakkan kerjasama dalam segala aspek pembangunan di antara umat-Melayu Islam dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Tidak salah apa yang beliau lakukan kerana Melaka 500 tahun dahulu ialah Empayar Agung Melayu dan pusat perdagangan tersohor dunia.

Sayang sekali orang Melaka pinggirkan Ali.

Bak kata pepatah “habis madu sepah dibuang”. Benarkah ungkapan itu kepada orang seperti Ali?

Atau potensinya masih diperlukan oleh Melaka?

— BebasNews

 

Please follow and like us:
error

4 COMMENTS

  1. Benar Tan Sri Dr Hj Ali Rustam adalah diantara pemimpin hebat yang pernah kita miliki, peramah, mudah mesra dan rajin turun padang tanpa protokol untuk bertemu Rakyat jelata. Semoga Allah lindungi dan lanjutkan usia beliau….Aamiin yra.

    • Adalah wajar kerajaan negeri melaka melantik beliau sebagai TYT supaya beliau dpt membantu kerajaan utk memaju dan memakmurkan lagi Melaka. Ketepikan pandangan politik. Kepala yg bernas susah nak jumpa. Allah dah beri insan terbaik, jadikan beliau sebagai rujukan.

  2. Pemimpin yang berwibawa, berbudi bahasa, berakhlak mulia dan berjuwa rakyat. Mudah didekati, senang berbicara dalam menangani pemasaalahan rakyat Melaka. Kerjanya mesti cepat dan pantas, kerja tidak mengenal waktu. Melak Maju Negeriku Sayang itulah Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam

  3. Tan Sri saya sanjung. Kenali TS sebagai seorang bapa yg dicontohi kepimpinan dan kelebihannya dlm menghiasi wajah Melaka tanpa mengubah identiti sbg Negeri Bandar Bersejarah. Skrg tidak lepas peluang utk terus bekerja bersama dan menyokong kepimpinan TS sbg Pengerusi Pertubuhan Alumni Belia 4B Malaysia. TS yg berwibawa terus disegani. Semoga PERMATA yg pernah menyinari MELAKA berada di tempat yg sewajarnya krn TS mampu terus mencorak MELAKA dgn idea2 yg tersohor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here