Jenuh makan di Food Station

“Saya tak berapa gemar bila berceramah ambil duit. Memang ada yang nak bayar, bagi saya bila saya buat kebaikan begitu biar Allah yang balas.

Jenuh makan di Food Station
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

KALAU anda menaiki monorail dan turun di stesen Tun Sambanthan, sebaik saja keluar dari Nu Sentral menerusi jejantas, anda akan terpandang papan tanda besar Food Station di seberang jalan pusat beli-belah tersebut.

Kalau setakat tengok dari luar tanpa masuk, mesti anda fikir wow kelasnya kedai mamak ni. Biarpun pelayannya rupa seperti di kedai mamak tapi Food Station bukan kedai mamak yang kita sedia maklum selama ini.

Food Station adalah milik pelakon Riz Ismail atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 24, yang juga bekas peserta program Pencetus Ummah musim keempat.

“Kedai ni dah beroperasi sejak sembilan bulan lalu dan baru-baru ini saja saya berkesempatan untuk memperkenalkan secara rasmi kepada pihak media.

“Sekali pandang, orang ingat ini kedai mamak tapi bukan ya sebab kita lebih upgrade sikit. Di sini kami menyediakan 500 menu makanan termasuk minuman jus segar setiap hari. Ada makanan barat, Cina, Jepun, Thailand dan India. Kira berbaloi la kalau anda makan di sini,” katanya yang mengeluarkan modal besar untuk kedai makan tersebut beroperasi.

Ada sebab kenapa Riz menyediakan 500 menu selain daripada untuk membezakan kedainya dengan pesaing di kawasan tersebut.

Katanya, kedudukan kedai yang terletak di tempat laluan umum sudah pasti pelbagai bangsa dan umur sering melintasi Food Station dan variasi menu dapat memenuhi cita rasa orang ramai jika mereka singgah di kedainya.

“Kita tahu kat Nu Sentral ada pelbagai jenis orang walaupun majoriti sini (Jalan Tun Sambanthan) banyak India tapi kita cuba tarik perhatian pelanggan dari semua aspek. Sekali pelanggan masuk, dia tak perlu fikir nak order apa kerana ada makanan yang sesuai kami saji.

“Antara sebab saya pilih 500 menu ini supaya pelanggan yang datang ke sini tak terasa terkilan apabila makanan kegemaran mereka semua ada.

Untuk tarik orang lebih ramai, selain menu yang banyak, harga yang ditetapkan pun tak tinggi,” jelasnya tentang harga sepinggan Lamb Sheng yang dijual pada kadar RM30 lebih berbanding RM50 yang terdapat dipasaran.

Hanya tiga orang tukang masak dan seorang pembantu saja yang bertungkus lumus di dapur untuk menyediakan segala permintaan pelanggan. Kesemua kakitangan Food Station adalah 15 orang.

Kata Riz, semua itu tidak menjadi masalah kerana setiap tukang masak tahu bahagian tugasan masing-masing.

“Tukang masak ada tiga orang, seorang pakar buat nan, kari India dan kuah-kuah lain, satu bahagian lagi masakan Jepun untuk buat teppayanki, western grill dan sebagainya.

“Sementara seorang lagi untuk masakan segera (panas) seperti nasi goreng. Kita bahagikan tiga bahagian supaya mereka mudah untuk bekerja. Mereka bukan cef dari hotel tapi dilatih oleh tukang masak mahir.

“Resipi memang dilekat kat dinding supaya kalau sibuk ada orang lain yang boleh buat tapi rasa tetap tak lari. Kita pun dah bagi tahu pada tukang masak, kalau bahagian satu ni tak mampu nak urus sebab banyak tempahan, cef bahagian lain kena bantu. Kena tengok pada keadaan semasa.

Biasanya mereka akan bergilir,” terang Riz tentang aturan kerja di bahagian dapur Food Station.

Tatkala ditanya apa menu utama Food Station, kata Riz, tiada tapi beliau lihat ramai pelanggan gemar makan teppayanki kerana harga yang ditawarkan berpatutan dan rasanya seperti di restoran mewah.

Food Station yang boleh menampung 70 pelanggan pada satu masa sering menjadi padat waktu makan tengah hari kerana ia turut menjadi pilihan kakitangan yang bekerja di NU Sentral.

Sambil tersenyum Riz memberitahu yang beliau sudah mendapat semula modal yang dikeluarkan dan bercadang untuk membuka cawangan seterusnya di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Alhamdulillah dah balik modal. Untuk buka kedai ni modal tinggi sebab ia terletak di tepi jalan dan tempat ramai orang. Ini kedai saya yang pertama. Kenapa saya nak buka kedai makan? Pertama sebab saya suka makan.

“Perancangannya lima tahun dulu selepas saya tamat diploma tapi fkir tunggu dulu sebab tak cukup modal. Bila dah ada peluang itu yang saya buat dan pilih nama Food Station kerana ia senang diingat dan moden sikit. Setakat ini belum ada katering tapi ada penghantaran makanan ke rumah,” jelasnya.

Riz yakin kalau kedai makannya yang beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 9 malam setiap hari menyediakan masakan yang baik, layanan bagus dan harga berpatutan sudah cukup untuk tarik pelanggan datang.

KELAS AGAMA DI KEDAI MAKAN

Selain menjamu selera di situ, orang ramai juga berpeluang untuk berkongsi ilmu agama dengan Riz. Kelas agama diadakan sebulan sekali iaitu pada hari Rabu atau Khamis, minggu ketiga atau keempat setiap bulan.

“Dah dua kali buat kelas agama kat sini dan terbuka kepada sesiapa saja yang berminat tanpa dikenakan bayaran. Boleh tanya apa saja soalan dan kita juga pilih tajuk tertentu untuk perbincangan. Waktu kelas agama ini, pelanggan hanya perlu bayar apa yang mereka makan saja dan kami menyediakan air secara percuma. Saya harap dengan adanya aktiviti begini dapat membantu saham akhirat saya nanti.

“Saya tak berapa gemar bila berceramah ambil duit. Memang ada yang nak bayar, bagi saya bila saya buat kebaikan begitu biar Allah yang balas. Mengadakan kelas agama di kedai secara tak langsung dapat berdakwah kepada yang bukan Islam,’ katanya.

Tambahnya, sewaktu mengadakan ceramah (untuk dua meja) sebelum ini, ada pelanggan bukan Islam yang terdengar perbincangan dan bertanya kepadanya tentang topik tersebut.

Kata Riz, itu merupakan satu sisi yang bagus kerana secara tidak langsung boleh berdakwah kepada non Muslim.

Bagi yang berminat untuk makan sambal mendengar ceramah yang diadakan selepas Maghrib hingga Isyak itu boleh mengikuti tarikh yang ditetapkan menerusi media sosial Riz.

Untuk menyertai kelas agama itu, orang ramai perlu memaklumkan pengenalan diri agar mudah pihaknya menyediakan tempat untuk 20 orang bagi satu sesi.

Biarpun sibuk dengan perniagaan kedai makan, Riz tidak pernah lupa bidang seni. Jika ada watak yang sesuai, beliau akan terima kerana mahu mengembangkan kerjaya seninya menerusi karya yang bersifat Islamik.

Dalam perkembangan lain, Riz juga berdebar menanti tayangan filem sulungnya berjudul Ada Apa Dengan Dosa. Filem terbitan Pencil Pictures itu menggandingkannya dengan Wanna Ali.

Penggambaran dilakukan hujung tahun lalu dan turut mengambil latar lokasi di Scotland.

“Agak gementar… Takut bercampur teruja dapat menggalas watak utama dalam filem sulung ini.

“Insya-Allah, saya sudah cuba melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi sebaik mungkin,” katanya.

Selain Pencetus Ummah, Riz juga pernah menyertai program pencarian pendakwah, Akademi Sahur Asia atau AKSI Asia 2017 di Jakarta yang membabitkan penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Biarpun tidak meraih kemenangan dalam program itu, Riz bersyukur apabila kehadirannya disedari beberapa produser yang menghulurkan peluang berlakon.
“Selepas tamat perjuangan di AKSI Asia 2017, saya ditawarkan berlakon empat telefilem di sana. Saya turut diberikan peranan utama dalam telefilem, Permintaan Suami Terakhir Di Bulan Ramadan,” kata pelakon telefilem Jatuh Cinta Buta itu.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.