Genapnya aku 55 tahun dan Malaysia 100 tahun — Melayu terus MeLayu…

5
7

HARI ini 30 Julai 2019 genap umur saya 55 tahun. Jika di zaman Allahyarham orang tua saya, ia adalah zaman pencen wajib dalam dunia pekerjaan.

Namun semakin zaman bergerak dan Malaysia semakin maju, 55 tahun adalah satu usia yang masih muda. Kudrat masih boleh digunakan. Oleh itu, usia persaraan di negara ini dinaikkan ke-60 tahun.

Namun mungkin tahap itu akan dinaikkan lagi ke 65,  kerana Perdana Menteri Malaysia sendiri pun sudah berusia 94 tahun.

Semalam semasa melawat seorang sahabat, seorang doktor perubatan, dia berkata neneknya sudah berusia 98 tahun. Tapi sudah nyanyuk.

Jadi jarang ada orang berusia 90 tahun ke atas masih bekerja. Jika fizikalnya sudah lusuh, jadi fikirannya juga sudah tidak sesuai untuk sesuatu pekerjaan.

Sepanjang 55 tahun ini saya melihat pelbagai macam progres dalam pembangunan. Ia adalah pembangunan fizikal kebanyakannya, namun progres minda masih terkebelakang. Kita masih lagi berkelakuan dunia ketiga.

Progres politik menampakkan satu kematangan. Dalam buku saya Cuit: Dilema Melayu Moden terbitan 2013 (enam tahun lalu) saya membuat satu analisis dalam bab Mukadimah bahawa negara ini sedang melalui satu proses kematangan dalam politik.

Dalam perenggan itu saya menulis: Politik Malaysia dilihat telah menembusi satu fasa baru proses kematangan (maturing process) sejak kemerdekaan negara lebih 55 tahun lalu.

Ia ternyata benar apabila lima tahun kemudian politik negara ini terbalik sama sekali. UMNO yang memerintah selama 60 tahun jatuh tersungkur di bawah kepemimpinan Najib Tun Razak.

Saya juga membuat analisis dalam Mukadimah itu bahawa orang Melayu (sudah pun) berpecah kepada: Melayu UMNO, Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu Atas Pagar dan Melayu NGO. Melayu berpecah kepada tujuh bahagian.

Saya menulis lagi: Masing-masing mempunyai agenda dan haluan politik masing-masing. Jika itu benar, maka Melayu tidak boleh lagi mengaku sebagai satu kaum majoriti Malaysia.

Sambung di perenggan berikut: Sebaliknya, orang Cina pula melihat bahawa kekuasaan dan kuasa penentu politik negara bukan sesuatu yang mustahil untuk berada di dalam tangan mereka. Orang India pula melihat mereka juga perlu kelihatan dan terbabit secara aktif dalam membina masa depan negara ini.

Hari ini 2019, percaturan politik Melayu Malaysia terus berlaku. Di masa kerajaan baharu Malaysia mendapat mandat hasil, adu-domba politik yang keterlaluan, memperlihatkan mereka masih bertelagah.

Kuasa adalah umpama candu yang bakal merosakkan lagi bangsa itu. Orang Melayu Islam sudah tidak segan-silu lagi mengkritik raja-raja Melayu dengan kata-kata nista, yang jarang kita dengar sebelum ini.

Tuntutan-tuntutan itu dan ini oleh kaum-kaum lain sudah kedengaran secara terbuka. Sama ada kita sedar atau tidak; sama ada kita mahu mendengarnya atau tidak; sama ada kita boleh menerimanya atau tidak, ia sedang berlaku.

Dalam pertemuan semasa moreh antara saya dengan Al Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah pada malam 20 Ramadan 1440 (25 Mei 2019) saya ada berkata bahawa negara kita akan memasuki ke kancah perang saudara jika perkara-perkara ini tidak dibendung.

Dalam majlis tradisi Baginda dengan sekumpulan kami itu, Tuanku hanya senyap.

Baginda faham sangat kerana kami-kami pacal yang hina ini setiap tahun di bulan yang mulia itu akan bertukar-tukar fikiran untuk melihat dimensi politik negara dalam pelbagai sudut.

Adakah kita semua sedar apa yang berlaku ini? Adakah orang Melayu ini terlalu bodoh seperti yang digambarkan mengenai mereka oleh kolonial Barat dahulu?

Adakah orang Melayu ini terlalu dungu? Namun, jika diteliti kembali kitab Sejarah Melayu catatan Tun Seri Lanang, ada benarnya juga orang Melayu ini adalah bangsa yang kuat melatah, berang, tanpa usul periksa, mudah marah dan sanggup membakar kelambu sendiri.

Saya juga tertarik membaca mengenai ciri-ciri orang Melayu dalam satu buku bertajuk “Malaysia” tulisan pendakwah Kristian John Russell Denyes terbitan 1919 oleh Board of Foreign Missions Methodist Episcopal Church.

Mereka menggambarkan perwatakan orang Melayu sebagai: … pada umumnya dinilai rendah oleh orang Barat, tetapi penipuan, ketidakpercayaan, ketidaksamaan, pengkhianatan, dan kualiti buruk lain yang dikaitkan dengan mereka telah dibesar-besarkan, sementara kedalaman perasaan, kehormatan, moral dan tahap intelektual diperkecil dan kurang diambil kira.

“Orang Melayu adalah orang yang ceria tetapi sangat agresif, sangat sopan, dengan sifat-sifat pemalu dan rendah diri, mempunyai rasa bangga tanpa menunjuk. Dia tidak rela martabatnya dicemuh dan pantas bertindak sekiranya dihina. Dia cepat menyanjung kebaikan. Orang Melayu bukanlah orang yang paling buruk sifatnya di dunia. Sifat paling buruk mereka termasuk angin yang datangnya tidak menentu dan kemalasan untuk bekerja kuat.” (Muka Surat 15, 16)

Itulah antara ciri-ciri kita yang dilihat oleh orientalis Barat dari Amerika Syarikat. Mereka membuat penilaian terhadap muka bumi dan penduduk rantau ini yang dikenali sebagai “Malaysia” merangkumi Sumatera, Kepulauan Jawa, British Malaysia, British Borneo, British New Guinea atau Papua, Netherland Indies (Sumatera, Jawa, 2/3 Borneo, 1/2 Timor, Celebes, keseluruhan pulau-pulau Nusantara) dan Portugis Timor.

Pada tahun 1919 mereka telah menulis mengenai kita. Tetapi setelah genap 100 tahun buku itu ditulis adakah orang Melayu telah setanding dengan bangsa-bangsa lain?

Adakah kita masih sepertimana yang digambarkan oleh Occidental atau orang Barat itu?

Adakah kita masih: dinilai rendah oleh orang Barat?

Adakah kita masih dinilai sebagai penipu, tidak boleh dipercayai,  pengkhianat, dan kualiti buruk lain seperti tahap moral dan intelektual yang rendah?

Adakah kita masih digambarkan sebagai:sangat agresif, sangat sopan, dengan sifat-sifat pemalu dan rendah diri…Sifat paling buruk mereka termasuk angin yang datangnya tidak menentu dan kemalasan untuk bekerja kuat?

Itukah lagi kita?

Namun itulah kita. Maaflah saya jika itulah kesimpulannya.

Setelah genap 100 tahun buku itu diterbitkan dan genap 55 tahun usia saya hari ini, orang Melayu masih berselerak-tarak. Pemikiran mereka masih bercelaru.

Ia boleh dilihat dengan jelas dalam group-group whatsapp yang ada dengan kita. Pemikiran mereka kononnya bertamadun tetapi di bawah sedar mereka amat jauh terkebelakang. Panas baran, tak boleh ditegur, terlalu taksub dan tidak melihat jauh.

Terus terang saya katakan, saya amat risau dengan orang-orang kita. Bangsa Melayu yang cukup rapuh ini.

Adakah kita akhirnya akan ditenggelami oleh orang lain? Melihat trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada kemungkinan mereka akan terus hanyut dibawa ombak.

Orang lain terus fokus, kita terus berantakan.

Adakah Sejarah Melayu Melaka akan berulang? Walaupun ada usaha untuk menyatupadukan bangsa itu, usaha itu nampaknya masih malap.

Malaysia moden ini (bukan Malaysia 1919) sedang bercelaru. Sejarah takkan berbohong, kecualilah ada orang yang mahu mengubahnya.

Sejarah tetap sejarah. Pengaruh kesultanan Melayu dalam memartabatkan Islam sebagai agama orang Melayu negara ini adalah suatu realiti. Tanpa raja-raja Melayu, kita mungkin akan jadi Katolik seperti di Filipina setelah kesultanan Melayu dijahanamkan.

Tapi orang kita sendiri sudah hilang pertimbangan.

Orang Melayu pada 2019 ini semakin terbelah, malah diakui sendiri oleh Mahathir Mohamad.

Kegilaan merebut kuasa memalukan bangsa itu sendiri. Merimaskan kita semua. Muak kita melihat gelagat mereka. Munafik menguasai jiwa.

Orang Melayu tak serik-serik. Marahkan seekor nyamuk, seluruh kelambu dibakar. Akhirnya; Menang sorak kampung tergadai.

Tepuk dada tanya selera ke mana kita hendak pergi sebenarnya?

— BebasNews
Please follow and like us:
error

5 COMMENTS

  1. Tahniah! Tak ramai penulis Melayu yang boleh dan mahu menulis begini lagi. Banyak sudah jadi Pak Turut. Ramai juga munafik tikam sama sendiri. Banyak juga dah jadi pengecut dan ramai juga yang dah give up. Melayu terus hanyut dan mungkin tenggelam. Hanya Allah swt yang boleh selamatkan Melayu dan negara ini. Sebab itu ramai Melayu juga yang memilih untuk berdoa dan berdoa. Selamatkan Melayu dan negara yang bernama Malaysia.

    • Bila orang melayu tak kisah dgn pemimpin yang rasuah dan menyeleweng,janji tembolok dia penuh dan tak peduli dari mana rezeki tu datang, mska berkecamuk lah bangsa melayu ni.

  2. bukan kelambu d bakar tapi rumah d bakar sebab nyamuk terlalu besar
    Sekarang kena kongsi rumah dgn org lain.. kena bnyk mengalah..maklumlah rumah org!!!!!

  3. Teruihkan menjentik sentimen Melayu dgn fakta dan kejadian sebenaq jika itu lah yg akan menyedaqkan kita semua. Perbalahan dan ketamakan kuasa politik yg memualkan ini telah jelas membuktikan tang mana kedudukan dan pemikiran kolot sesetengah dari kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here