Festival Floria Putrajaya tukar lokasi baharu

0
183

PUTRAJAYA — Selepas 10 tahun bertapak dan ‘berkampung’ di Anjung Floria, Presint 4, Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2019 ditukar ke lokasi baharu iaitu di Taman Botani, Presint 1.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, pemilihan lokasi baharu untuk penganjuran festival berkenaan dapat memberikan penjimatan hampir RM1juta.

Beliau berkata, walaupun pihak penganjur dapat melakukan penjimatan namun, ia sedikit pun tidak mengubah konsep asal festival terbabit.

“Walaupun kita dapat melakukan penjimatan yang luar biasa, namun tiada kekurangan dari segi penyertaan atau pun aktiviti yang diadakan sebelum ini.

“Di tapak sebelum ini, kita membawa konsep taman ke lokasi tetapi jika di buat di Taman Botani kita hanya menggunakan keadaan taman sedia ada.

“Taman Botani ini cukup sesuai dengan konsep yang ingin diterapkan dalam festival berkenaan. Tidak perlu lagi kita wujudkan suasana ‘taman’ itu,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas Majlis Pra Perlancaran Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2019, di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Aminuddin Hassim.

Tambah Khalid, pemilihan lokasi baharu itu adalah wajar kerana ia secara tidak langsung dapat mempromosikan taman yang terdapat di wilayah berkenaan.

Mengenai lokasi untuk meletak kenderaan semasa festival itu berlangsung, Khalid berkata pihaknya sudah menyediakan beberapa bas dan ‘teksi air’ yang akan membawa pengunjung ke lokasi berkenaan.

“Kita ada sediakan bas di semua tempat letak kereta di sekitr Putrajaya serta ‘water taxi’ (teksi air) yang akan merentasi tasik di Putrajaya. Dengan adanya teksi air dan bas berkenaan diharapkan dapat membantu melancarkan perjalanan semasa festival itu diadakan,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata festival yang akan diadakan selama sembilan hari bermula 31 Ogos itu akan mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema di festival berkenaan.

“Pada tahun ini, pihak PPj akan menampilkan Taman Diraja Pahang sebagai ‘Royal Garden Showcase’ bersesuaian dengan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang.

“Selain itu, antara tarikan lain ialah kita akan memperkenalkan bunga orkid khas yang dinamakan sebagai ‘Queen Azizah Iskandar’ bersempena nama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,500 lot tempat letak kereta disediakan di Taman Botani untuk memudahkan pengunjung selain kemudahan bas dan teksi air.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here