Pameran artifak Rasulullah SAW banyak manfaat

Antara artifak yang dipamerkan adalah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat bekas air zamzam, pasir makam Rasulullah SAW dan kunci makan tersebut.

Pameran artifak Rasulullah SAW banyak manfaat
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SUDAHKAH anda menjengah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melihat Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA? Jika belum, jangan risau kerana pameran anjuran Manhajj Brothers Sdn. Bhd., itu berlangsung sehingga 4 Ogos ini.

Masih boleh bawa keluarga melihat secara langsung artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW. Rugi jika anda tidak merebut peluang kerana pameran begini bukan selalu diadakan.

Pameran yang dibuka setiap hari, pada pukul 10 pagi hingga 10 malam itu mempamerkan 72 artifak antaranya, artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW, artifak sahabat RA serta artifak kerajaan Uthmaniah.

Antara artifak yang dipamerkan adalah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat bekas air zamzam, pasir makam Rasulullah SAW dan kunci makan tersebut.

Artifak-artifak lain adalah pedang Muaz Bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan Kunci Makam Saidatina Fatimah. Turut dipamerkan adalah senjata dan kelengkapan perang peninggalan kerajaan Uthmaniah.

Pengarah Urusan AP Studio Sdn. Bhd., Adi Putra selaku rakan strategik pameran berkata, acara yang bermula sejak 22 Julai lalu amat berguna kepada setiap pengunjung kerana ia dapat menambah pengetahuan tentang Islam.

Jelasnya, setiap artifak yang dipamer, disertakan dengan informasi yang lengkap dan memudahkan orang ramai untuk memahaminya.

“Pameran sebegini amat penting buat diri kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana kita berpeluang melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

“Pameran ini juga bermatlamat untuk memberikan pendidikan sumber impresif dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam. Semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arab seperti Mekah dan Madinah serta Yaman dan Turki,” katanya.

Beliau juga berharap orang ramai yang hadir melihat pameran tersebut mendapat manfaat dan sekali gus menguatkan lagi cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

“Dalam kita menerokai kisah hidup dan peninggalan Rasulullah SAW, mari kita sama-sama mengambil sedetik masa merenung kembali sejauh mana kita benar-benar menjadikan Baginda sebagai suri teladan dalam hidup kita.

“Khusus kepada generasi muda, manfaatkan dan renungkanlah apabila ada acara begini. Melihatkan pameran ini mendapat sambutan menggalakkan, pihak AP Studio mengambil peluang untuk mengadakan pameran artifak ini bukan sahaja di Nusantara malah ke peringkat global,” katanya penuh harapan.

Pameran yang mendapat sokongan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu diadakan selepas pameran di Johor dan Melaka.

Sementara itu, Zulkifl berharap pameran yang berlangsung itu dapat memberi penjelasan tentang Rasulullah SAW dan sekali gus menjelmakan rasa cinta terhadap Baginda.

“Pameran artifak ini adalah sejuzuk daripada cara untuk mendekatkan kita dan menjadikan kita cinta kepada Rasulullah SAW. Kita perlu mengetahui betapa banyaknya musuh Islam yang cuba memberi gambaran tidak sahih tentang Rasulullah SAW. Semoga pameran ini dapat memberi manfaat kepada setiap pengunjung,” ujarnya.

Harga tiket untuk melihat pameran ini tidak mahal berbanding ilmu yang diperoleh iaitu RM20 untuk dewasa, RM10 (mahasiswa), RM5 (kanak-kanak).

Menariknya, pengunjung bukan sahaja berpeluang menimba ilmu, malah jika bertuah boleh membawa pulang motosikal Yamaha Y15.

Untuk memenangi motosikal yang menjadi kegemaran ramai ketika ini, pengunjung hanya perlu menyertai peraduan Ride to Y-Suku.

Anda hanya perlu mengambil gambar di kios foto rasmi Manhajj yang berharga RM15 bagi melayakkan anda tercalon dalam cabutan bertuah memenangi motosikal tersebut.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.