Sukarelawan bantu gelandangan, periksa kesihatan

Golongan di sekitar jalan Tuanku Abdul Raman, Jalan Raja Alang dan Lorong Haji Taib ini tidak putus-putus menerima pelbagai bantuan daripada pihak yang prihatin.

Sukarelawan bantu gelandangan, periksa kesihatan
Oleh ROSMAH MOHD DAIN

KEHIDUPAN golongan gelandangan yang mendiami lorong-lorong sunyi dan hidup di jalanan pada hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak sukarelawan.

Pihak-pihak ini berusaha sebaik mungkin untuk memberikan bantuan yang diperlukan agar kehidupan golongan ini dipacu ke arah yang lebih baik dan selesa, selain sering mendapat liputan meluas daripada media massa dan masyarakat net.

Selain mendapat bantuan makanan, pakaian, pembelajaran asas, mendalami ilmu agama dan mengaji juga turut diberikan secara percuma oleh sukarelawan.

Pendek kata, golongan yang berada di sekitar jalan Tuanku Abdul Raman, Jalan Raja Alang dan Lorong Haji Taib ini tidak putus-putus menerima pelbagai bantuan berbentuk sama ada kecil atau besar daripada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

Sejak hampir dua bulan lalu, seorang sukarelawan, Nor Akmar Ali, bersama-sama sebahagian penuntut jurusan Sosiologi, Universiti Malaya (UM) turut serta dalam memberikan sumbangan kepada golongan ini, bezanya kebajikan yang mereka lakukan ini lebih terarah kepada penjagaan kesihatan golongan berkenaan.

Menurut Nor Akmar setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat, sukarelawan ini berjumpa dengan golongan ini dan memeriksa kesihatan mereka, terutamanya yang mempunyai luka diakibatkan oleh kudis buta mahupun yang mengalami masalah kencing manis yang tidak terkawal.

“Ramai dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kudis dan luka di bahagian kaki dan fizikal lain kerana mereka hidup di persekitaran yang kotor. Kalau kudis-kudis ini dibiarkan tanpa diubati, sudah pasti ia akan melarat sehingga boleh merebak ke anggota tubuh yang lain.

“Jika ini berlaku, sudah tentu memburukkan lagi keadaan fizikal gelandangan itu. Kerana golongan ini bukan sahaja terdiri daripada individu perseorangan, malah ada juga yang mempunyai keluarga serta anak-anak kecil bersama mereka yang dikhuatiri akan dijangkiti oleh rakan atau ahli keluarga yang lain,’’ jelasnya.

Kata Nor Akmar, aktiviti berkenaan biasanya akan dilakukan pada pukul 8.00 malam dan berakhir lebih kurang 11.00 malam dengan sukarelawan membersihkan luka, mengubati dan menyapukan ubat yang diperlukan.

Peralatan ubat-ubatan juga diberikan oleh pihak sukarelawan dan NGO yang sentiasa membantu.

“Kita turut melihat kudis-kudis yang telah memburuk dan membusuk dan mungkin mengambil masa untuk sembuh, tetapi setidak-tidaknya kita telah membantu mereka sedikit sebanyak.

“Bagi sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar ini, sudah tentu program berbentuk amal ini dapat membantu mereka dari segi pembelajaran, menyampaikan empati dan mengetahui keadaan sebenar di sebalik masyarakat gelandangan ini.

“Setakat ini kita menjangkakan masih ramai lagi golongan ini yang memerlukan bantuan perubatan seperti ini dan secara peribadinya, golongan gelandangan ini juga memberikan kerjasama mereka kepada pihak sukarelawan,” katanya.

–BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.