[VIDEO] Bukan sebarangan cendol kampung

0
99
Oleh ROSMAH MOHD. DAIN

 

BUBUR lambuk, yang merupakan makanan tradisi pada bulan Ramadan, lazimnya menjadi pilihan untuk hidangan ketika berbuka biasa.  Dapat dilihat semangat gotong-royong ketika menyediakannya sebelum diedarkan kepada penduduk setempat secara percuma.

Tetapi pernahkah anda mendengar tentang cendol kampung? Ia juga dimasak secara gotong-royong kemudian diedarkan.  Pendek kata, tujuannya sama, iaitu dimasak untuk orang ramai menikmatinya secara percuma, cuma hidangannya sahaja berbeza.

Apabila memperkatakan tentang cendol, mungkin ramai membayangkan hidangan manisan sejuk gabungan santan, gula merah dan cendol yang dinikmati ketika hari panas, namun cendol kampung adalah berbeza.

Cendol kampung diperbuat daripada tepung pulut bercampur tepung beras, dimasak di dalam santan yang dicampurkan sebatian gula putih, gula melaka dan gula enau.

Setakat ini, amalan menyediakan cendol kampung masih diteruskan tradisinya oleh penduduk Kampung Selemak, Rembau, Negeri Sembilan.

Biarpun tradisi memasak cendol kampung ini pernah terhenti sebelum ini, namun ia diteruskan semula sejak tahun lepas oleh penduduk kampung.

Menurut Ahli Jawatankuasa Penduduk (AJK), Sharifah Tahir, 63, selain cendol kampung atau  digelar cendol klasik oleh penduduk berkenaan, Kampung Selemak juga menyediakan bubur lambuk pada bulan Ramadan, selain pada hari-hari biasa.

“Cendol kampung boleh disediakan pada bila-bila masa, terutama pada majlis keraian dan keramaian, pada hari gotong-royong dan juga sebelum hari mantai,’’ katanya.

Hari mantai  ialah salah acara tradisi yang masih diteruskan  di Negeri Sembilan bagi  melapah, menjual dan membeli daging lembu.

“Kedatangan Aidiladha nanti juga kita akan meriahkan lagi dengan majlis mantai,’’ katanya.

Sharifah yang merupakan penduduk jati Kampung Selemak memberitahu, lazimnya, penyediaan cendol kampung dilakukan sekiranya terdapat ‘penaja’ daripada individu yang mahu makanan itu disediakan untuk diagihkan kepada para penduduk.

Kalau tidak pun, cendol kampung akan dimasak sekiranya terdapat persetujuan cadangan daripada semua AJK bersama penduduk.

Bagi menyediakan cendol kampung, dua jenis tepung tadi digaul dan dijadikan doh, sebelum `disagat’ menggunakan acuan khas yang berlubang agar tepung jatuh ke dalam santan yang sedang dimasak.

Santan pekat dan cair ini telah diadunkan bersama gula putih, gula melaka dan gula enau. Cendol kampung memerlukan hampir setengah jam untuk masak dan pembuatannya seolah-olah menyediakan bubur chacha.

Bagi mengetahui sama ada cendol itu masak, ia akan terapung sebagaimana kuih buah melaka yang terapung apabila masak.

“Di kampung ini selalunya kita letak di masjid, jadi sesiapa sahaja yang ke masjid akan mengambil cendol ini untuk dibawa pulang selepas solat. Mereka juga boleh membawa balik untuk jiran-jiran yang lain,” kata Sharifah.

Menurut Sharifah bukan cendol yang menjadi keutamaan sebenarnya, tetapi semangat muafakat dan kerjasama. Tradisi gotong-royong menyediakan cendol ini memeriahkan suasana dan mendekatkan hubungan sesama penduduk.

“Tradisi ini amat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung kerana kemeriahannya. Di kampung ini, acara memasak diketuai oleh `orang kuat’ persatuan penduduk, Kalsom Sulaiman dan Mohamad Zura Idris,’’ katanya.

“Pada Ramadan lalu, kami menyediakan 16 peket tepung untuk membuat cendol kampung. Alhamdulillah, semua dapat merasa manisan ini. Dahulu, cendol kampung dimasak menggunakan kayu api, kini gunakan gas,’’ jelasnya yang boleh dihubungi menerusi talian 019-2767330.



—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here