Pentas lawak, platform dakwah – Fakhrul UNIC

0
138
KUMPULAN UNI, dari kiri Atu Zero, Fakhrul UNIC dan Fad Bocey.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PROGRAM Muzikal Lawak Superstar (MLS) yang bersiaran pada pukul 9 malam, setiap Jumaat memasuki minggu keenam sejak ditayangkan pada 28 Jun lalu menerusi saluran Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Sehingga malam ini (2 Ogos 2019) kumpulan UNI yang dianggotai oleh Fad Bocey, Atu Zero dan Fakhrul UNIC masih mampu bertahan untuk bersaing hingga minggu ke-10 bagi merebut gelaran juara.

Sebanyak 14 kumpulan yang menyertai program ini, hanya kumpulan UNI dan Heart yang dianggotai oleh Daniel, Ezad Lazim dan Azmi Caliph Buskers, dilihat ada sedikit kelainan.

Kumpulan UNI disertai oleh Mohd. Fakhrul Radhi Khamaruddin, 33, atau lebih dikenali sebagai Fakhrul dari kumpulan nasyid UNIC, sementara Azmi yang cacat penglihatan adalah vokalis Caliph Buskers.

Meskipun lawak yang dipersembahkan oleh kedua-dua kumpulan tersebut ada batasan, namun ia tidak merencatkan persembahan mereka setiap minggu.

Menurut Fakhrul, beliau memilih untuk mencuba bakat dalam komedi kerana secara peribadi ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seni.

“Satu peluang yang sangat ditunggu-tunggu oleh angkatan industri Islamik atau penyanyi nasyid. Bila dapat peluang atau platform yang baharu, sudah tentu saya akan berhadapan dengan cabaran baharu dan di waktu yang sama dapat kawan baharu.

“Apa yang paling penting saya dapat platform ruang dakwah baharu. Sekarang ini kalau kita tengok trend realiti masyarakat di luar sana, mereka suka benda-benda yang santai dan lawak. Ustaz pun kena lawak tak boleh serius bila berceramah. Saya rasa benda ini saya boleh belajar dengan gang otai lawak yang ada,” katanya tatkala ditanya kenapa menyertai program sebegitu.

Mengakui MLS merupakan percubaan pertamanya dalam bidang komedi, Fakhrul juga tidak gentar jika ada yang mempertikai penampilannya.

“Saya sudah bersedia kalau orang nak kata apa. Sebenarnya kalau kita tak buat apa-apa pun orang akan kata juga. Orang ramai kena faham dalam industri penyiaran pun ada batas-batas, ada benda yang boleh disentuh dan tak boleh seperti bangsa, agama dan lain-lain.

“Bila kita tahu limit, kita akan berhati-hati. Cuma saya takut orang kata ustaz (Fakhrul) buat lawak tak kena, tapi setakat ni Alhamdulillah orang ramai dapat terima mesej yang UNI sampaikan dalam persembahan kami,” jelasnya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Diploma Tahfiz Quran dan Qiraat itu berkata, pentas MLS adalah salah satu ruang yang baik untuknya berdakwah.

Ujarnya, program yang menawarkan hadiah kemenangan untuk juara sebanyak RM150,000 itu bukan sekadar hiburan semata-mata tapi boleh dijadikan panduan.

“Bagi saya ini satu ruang yang sangat besar untuk kita sama-sama berhibur sambil berdakwah, ada mesej-mesej yang baik. Kalau kita tengok ramai juga pelawak-pelawak yang masuk dalam bidang dakwah pula dan itu yang terbaik supaya industri seni kita tak tepu.

“Jika orang dalam bidang Islamik duduk dalam kumpulan mereka dan orang industri hiburan dalam kepompong masing-masing. Maka mereka tidak dapat bertukar fikiran dan itu merupakan satu kerugian. Terpulanglah kepada orang nak nilai tapi yang penting saya tahu apa tujuan saya buat dan hala tuju yang saya lakukan sewaktu menyertai MLS,” katanya penuh semangat.

Sebelum menerima pelawaan daripada Fad untuk menyertai kumpulan UNI, Fakhrul turut meminta pandangan dariapda rakan-rakan kumpulan nasyid serta kawan-kawan dalam bidang lawak.

“Jujurnya, saya ada bertanya kawan-kawan dalam bidang lawak dan nasyid untuk saya sertai program lawak? Okey ke tak, terjejas tak dari segi nama? Saya juga tanya pandangan mak saya.

“Maklumlah dari kecil, sekolah agama lepas tu masuk nasyid dan tiba-tiba nak masuk program lawak, sah-sah orang akan persoal. Apa pun bagi saya, kalau kita tahu setiap yang kita buat ada batasan, insyaallah tak ada masalah,” katanya yang juga pengacara bagi program Gema Gegar Vaganza bersama Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim.

Tambahnya, setiap orang dalam industri Islamik perlu menjadi versatil dan berkawan dengan semua orang. Tak boleh berkawan dalam lingkungan yang sama kerana itu merugikan.

“Allah bagi bakat ini kepada orang macam-macam. Kalau rasa diri kita saja bagus, rugilah sebab masing-masing ada bakat dan keleihan itu patut dikongsi dengan orang lain,” jelasnya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here