Zakiah Hanum meninggal dunia

0
2

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara pertama dan wanita tempatan pertama yang menerima anugerah Ramon Magasay, Datuk Zakiah Hanum Abdul Aziz, 82, meninggal dunia kira-kira jam 12.30 pagi tadi di Hospital Pantai.

Menurut anaknya, Mukhlis Mohamed Nor, 52, Allahyarham dimasukkan ke hospital dua minggu lalu kerana mengalami batuk berkahak yang teruk.

“Arwah sudah 20 tahun menghidap penyakit dimensia iaitu menyebabkan gangguan berpikir dan hilang ingatan. Bagaimanapun, lima tahun kebelakangan ini kesihatan ibu semakin merosot dan sering keluar masuk hospital. Kami tiga beradik bergilir-gilir menjaganya,” katanya.

Mukhlis berkata, ketika berada di wad, doktor berusaha memberikan rawatan yang terbaik namun keadaan penyakit Allahyarham yang sudah lama dan faktor usia, imun tubuh beliau lemah.

“Ibu hanya boleh makan menerusi tiub dan kali terakhir jururawat memberi beliau makan pada jam 12 tengah malam. Kami semua reda dengan pemergian arwah. Ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, semua anak, menantu dan cucu ada disisinya. Ayah juga ada,” katanya.

Yang hadir memberi penghormatan, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan isteri. Beliau ialah anak saudara Allahyarham.

Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Selain Mukhlis, dua lagi anak Allahyarham, Farha, 50 dan Haiz, 49 dan tujuh cucu hasil perkahwinan dengan Datuk Mohamed Nor Ismail.

Allahyarham adalah wanita pertama yang berjaya menjadi Ketua Pengarah dalam jabatan kerajaan dan banyak memberi sumbangan kepada negara khususnya dalam memartabatkan budaya Melayu.

Beliau juga individu yang memberi ilham untuk membina Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka dan Pustaka Peringatan P. Ramlee sebagai satu daripada usaha untuk mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan tokoh negara.

-NSTP

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here