Perlukah tulisan khat dijadikan polemik

0
132
Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

TULISAN khat Jawi di negara ini bukan sesuatu yang baharu, ia adalah seni yang wujud  beratus tahun dahulu sejak kurun ke 13 lagi.

Penulis sendiri melihat kemampuan kaum Cina yang bukan beragama Islam menulis tulisan Jawi yang penuh berseni pada batu-batu nisan dan pembeli-pembelinya adalah orang Melayu.

Bahkan ada dalam kalangan ahli masyarakat dan pemimpin Cina yang bukan hanya membaca tetapi juga menulisnya termasuk bekas Ahli Parlimen Kepong dari Parti DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Ternyata sebelum ini tulisan khat telah dipelajari oleh orang bukan Melayu sebagai maknawi kepada peluang menuntut ilmu tanpa batasan perundangan dan minat.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Borhan Ahmad Zakaria  kesalnya apabila terdapat pihak membantah tulisan khat diperkenalkan dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan.

Tiada salahnya belajar tulisan khat yang merupakan tulisan tertua di Nusantara. Seperti  ilmu lain, tulisan khat hanyalah cabang ilmu.

Borhan berkata, pihaknya kecewa kerana tulisan khat atau Jawi mampu menjadi tulisan yang utama di negara kita jika semua rakyat bersatu hati menyokong usaha tersebut.

Mengulas lanjut, beliau merasakan mungkin ada yang beranggapan tulisan khat atau Jawi sesuatu yang rumit dan menjurus kepada bidang agama. Sedangkan tulisan Jawi jika dijadikan seni khat mampu menjana pendapatan ribuan ringgit kepada seniman seni tersebut.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fariz Hadi berpendapat bantahan terhadap perlaksanaan pengajaran tulisan khat sebagai asbab untuk pihak tertentu menunjukkan belang mereka.

Beliau berkata, hari ini pembelajaran seni khat dan tulisan Jawi kini menjadi sasaran puak rasis radikal kononnya  demi menjaga persefahaman dan keamanan sesama bangsa.

Jelasnya, inilah realiti menggigit yang sedang berlaku pada Malaysia Baharu. Kenapa pemimpin DAP takut dengan seni penulisan khat dan tulisan Jawi? Adakah seni ini boleh menggugat kedudukan mereka?

Katanya lagi, tulisan Jawi adalah bukti betapa istimewa sejarah bangsa Melayu di bumi Malaysia yang dahulunya dikenali dengan nama Tanah Melayu.

Beliau menambah, budaya Melayu seperti tulisan khat merangkumi segala perkara yang berkaitan dengan bangsa Melayu kerana tulisan Jawi itu sendiri adalah tulisan perantaraan segala urusan rasmi diraja dan tulisan rakyat di Tanah Melayu.

Beliau turut melahirkan kekesalan,cukuplah hari ini institusi Raja dihina, cukuplah kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan bumiputera kerap kali dipertikaikan jangan sampai tulisan khat hendak dipolemikkan.

Pandangan Fariz disokong, Pengerusi Gerakan Belia 4B Parlimen Kota Raja, Mustakim Zainoor, beliau berharap isu tulisan khat tidak digembar-gemburkan.

Beliau berharap, semua pihak menghormati pandangan dan arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang memutuskan perlaksanaan tulisan Jawi atau khat diteruskan pada tahun depan.

Demi perpaduan rakyat negara ini carilah isu yang boleh menyatukan bukan sebaliknya. Budaya seperti tulisan dan bahasa boleh dipelajari oleh semua orang bukannya mengandungi elemen yang sensitif kepada lain-lain bangsa.

Ujarnya lagi, isu nasional seperti masalah ekonomi lebih penting untuk dibimbangi bukan isu pendidikan yang mempunyai menteri yang berkebolehan untuk mengendalikannya.

Biarlah tulisan khat dipelajari semua orang dan tidak sepatutnya batasan ditetapkan dalam mempelajari sesuatu ilmu yang mempunyai manfaat.

– BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here