Wann tak pernah henti menyanyi

0
163
BAKAL menjayakan acara Makan Malam Live Bersama Wann pada 7 September ini di Phoenix Ballroom, The Pearl Kuala Lumpur.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PUBLISITI tentang dirinya dalam industri seni tanah air tidaklah serancak dulu dan ramai beranggapan Wann yang popular dengan lagu Bossanova dan Lamunan Hati itu sudah tidak aktif menyanyi.

Penyanyi kelahiran Kuala Kangsar, Perak yang kini menetap di Singapura berkata, sejak membabitkan diri dalam bidang seni suara dan menghasilkan album pertama pada tahun 1988, beliau tidak pernah berhenti menyanyi sehingga kini.

“Kalau orang tengok, mesti mereka ingat saya dah tak nyanyi. Sebenarnya sampai sekarang saya masih mendapat undangan persembahan, nak kata kerap sangat taklah tapi ada saja jemputan.

“Tak mungkin saya tinggalkan bidang ini, selagi terdaya saya akan teruskan. Sebenarnya acara Makan Malam Live Bersama Wann yang akan berlangsung pada 7 September ini amat saya nantikan.

“Saya rindu nak bermesra dengan peminat secara dekat dan bertemu dengan rakan-rakan wartawan. Suasana itu yang saya rindui selama ini. Kalau setakat menyanyi tak ada masalah,” katanya terus terang.

Wann, 49, yang ditemui baru-baru ini berkata, acara yang akan berlangsung kira-kira dua jam yang bermula pada pukul 8 malam itu bakal diadakan di Phoenix Ballroom, Hotel The Pearl Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Majlis makan malam anjuran Maeepoosa Creative & Event itu nanti akan diserikan dengan lagu-lagu hits Wann seperti, Terlerai Kasih, Aku Dalam Teka-Teki, Aku, Dia dan Lagu serta Joget Siapa Dia.

“Kalau boleh masa persembahan nanti, saya nak peminat turut serta. Bagi saya bermesra dengan peminat itu yang lebih utama. Saya akan cuba melayan semua peminat dengan sama rata.

“Kiranya malam itu nanti, sambil makan dan berhibur. Bagi saya peminat dan pihak media bukan sekadar diperlukan untuk kerjaya. Saya senang kalau hubungan dengan peminat dan media seperti ahli keluarga,” katanya yang masih tetap ramah seperti dulu.

Wann yang mendirikan rumah tangga dengan Thazah Hamzah pada tahun 1993 dan dikurniakan dua orang anak, Mohd. Israfael, 24, dan Natasha, 22, mengambil keputusan untuk menjayakan acara makan malam tersebut setelah diyakinkan oleh seorang teman, Bohari Rahmat.

Perkara utama yang dirisaukan oleh Wann tatkala diajak menjayakan acara tersebut adalah, masih adakah orang yang ingin datang tengok beliau menyanyi.

Dalam debar, Wann yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu tetap tidak dapat mengelak permintaan Bohari kerana secara peribadi beliau amat rindu untuk bertemu peminat.

“Kiranya acara ini permulaan untuk saya kembali aktif seperti dulu. Sebenarnya pihak Astro ada pelawa saya untuk sertai program Gegar Vaganza, sudah tiga kali mereka ajak.

“Sampai mereka datang ke Singapura ajak saya. Bukan tak nak tapi saya kena fikir banyak perkara sebab itu pertandingan. Kalau saya tak boleh sampaikan lagu yang diberi, saya juga yang malu nanti. Insya-Allah, kalau saya sudah buat keputusan nanti, tentu orang akan tahu juga,” katanya.

Bagi peminat yang merindui suara seksi Wann boleh membuat tempahan pas masuk yang berharga RM120 menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 011-36035747. Sila nyatakan nama dan jumlah pas yang dikehendaki. Bayaran boleh dibuat melalui akaun 8009077556.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here