Peralihan siaran TV digital seluruh negara secara berperingkat – Gobind

0
48
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo bergambar bersama penerima dekoder pada Majlis pengumuman Peralihan Siaran TV Analog ke Siaran TV Digital myFREEVIEW di seluruh negara di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Al-Ishsal Ishak (enam,kiri). –fotoBERNAMA

 

LANGKAWI — Projek rintis peralihan siaran televisyen (TV) analog ke digital di Langkawi berjalan lancar dan model sama akan diteruskan ke seluruh negara secara berperingkat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata projek itu yang dimulakan pada 21 Julai lepas telah menjadikan pulau peranginan itu sebagai lokasi pertama yang mendapat Siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya, tanpa siaran TV analog.

“Proses pengujian selama dua minggu ini telah berjalan dengan lancar. Maklum balas yang telah diterima adalah sangat berguna untuk kami menambah baik proses peralihan ini.

“Maka, selepas menilai projek rintis di Langkawi ini, kerajaan berhasrat untuk meneruskan peralihan siaran TV analog ke digital ke seluruh negara secara berperingkat,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengumuman Peralihan Siaran TV Analog Ke Siaran TV Digital myFreeview di Pulau Langkawi, di sini hari ini.

Katanya, platform myFreeview yang menawarkan 15 saluran TV dan akan menawarkan enam saluran radio memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat berbanding siaran TV analog.

Gobind berkata, kualiti saluran-saluran TV yang ditawarkan oleh pihak penyiar juga boleh dipertingkatkan dengan penyediaan kandungan dan aplikasi baharu yang lebih interaktif dengan menggunakan teknologi digital.

Katanya, peralihan itu juga sekali gus membuka peluang yang lebih besar bagi industri kreatif serta para karyawan dan seniman negara untuk mengeluarkan pelbagai kandungan untuk rakyat Malaysia.

“Saya ingin menyeru penyiar-penyiar tempatan untuk menggunakan platform digital baharu ini untuk memberi peluang yang lebih besar kepada artis-artis muzik, filem dan pengiklan tempatan,” katanya yang berharap peralihan itu akan memangkin perkembangan industri muzik, filem dan periklanan tempatan.

Katanya, dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan dan boleh sama-sama menikmati manfaat siaran myFreeview, sejumlah dua juta dekoder percuma telah diedarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu, Gobind berkata projek rintis itu dijalankan bagi mengenal pasti masalah yang timbul susulan peralihan itu dan membuat persediaan untuk menghadapinya.

Menurutnya, antara masalah tersebut adalah mengenai gangguan siaran yang mungkin disebabkan faktor geografi dan pihak berkenaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengambil tindakan untuk mengatasinya.

Dalam pada itu, SKMM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata peralihan rintis siaran TV Analog ke siaran TV Digital di seluruh negara akan dilaksanakan secara berperingkat antara 19 Ogos dan 30 September ini.

Ia dilaksanakan mengikut wilayah iaitu Wilayah Tengah dan Selatan bermula pada 19 Ogos, Wilayah Utara (2 Sept), Wilayah Timur (17 Sept), Sabah dan Sarawak (30 Sept).

Sepanjang ujian rintis tersebut, pelbagai kempen pendidikan dan kesedaran akan dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai manfaat peralihan daripada siaran TV analog ke siaran TV Digital, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here