Fuziah tersasar, Lynas dibenar atas pertimbangan saintifik

0
40

JOHOR BAHRU – Kilang Lynas diluluskan beroperasi di negara ini atas pertimbangan saintifik dan perindustrian dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan Lynas pada tahun 2012, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa Lynas diluluskan bukan kerana Malaysia berhutang atau bercadang untuk berhutang dengan Jepun.

Justeru,  beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh lebih bersifat politik berbanding pembentangan data sains.

“Fuziah sama sekali tersasar. Kenyataan sedemikian tidak tepat dan sangat berniat jahat.

“Keputusan untuk membenarkan Lynas beroperasi di negara kita dibuat berpandukan kelebihan yang ada dalam sektor yang melibatkan bahan nadir bumi (rare earth element). Ia mempunyai sifat bahan yang unik dan digunakan dalam pelbagai aplikasi dan alat, selain membangunkan industri seperti elektronik dan tenaga diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor menjelaskan, kerajaan juga telah memperkenalkan peraturan yang lebih ketat standardnya berbanding peringkat antarabangsa.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu juga pada masa itu dimaklumkan bahawa kadar anggaran pendedahan torium di projek tersebut adalah tidak signifikan (rujuk muka surat 32 Laporan Jawatankuasa Khas).

Selain itu, Lynas adalah projek pemprosesan bahan berasaskan kimia dan bukannya sebuah loji berasaskan nuklear atau sesuatu seumpamanya, katanya.

“Ini adalah kekeliruan paling besar. Saya tidak pelik kerana individu seperti YB Fuziah sendiri sentiasa memilih untuk bersifat pukul rata dalam memburukkan projek Lynas.

“Sedangkan dalam projek ini, pendedahan kepada sinaran radioaktif adalah sangat kecil dan tidak membahayakan. Dapatan saintifik membuktikan bahawa pendedahan sinaran daripada bahan mentah dan sisa buangan projek Lynas adalah pada tahap yang dibenarkan dan terangkum dalam standard yang dibenarkan seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Mohamed Khaled berkata, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperbaharui lesen Lynas membuktikan bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah tepat, berasas dan dipimpin oleh pertimbangan yang betul.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here