Harimau remaja kita hampiri gelaran B15 AFF

0
93
SKUAD remaja negara bimbingan Maniam Pachaiappan menghampiri gelaran Kejohanan B15 AFF dengan membenam Vietnam 3-1 dalam separuh akhir di Chonburi hari ini.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

MALAYSIA hanya tinggal selangkah lagi untuk bergelar juara Kejohanan Bawah 15 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) Ke-13, 2019 apabila menumpaskan Vietnam 3-1 dalam separuh akhir di Stadium Institut Pendidikan Jasmani, Chonburi, Thailand hari ini.

Dua gol oleh Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin pada minit ke-13 dan 49 selain dilengkapkan oleh Muhammad Alif Izwan Yuslan (77) sudah memadai untuk mengesahkan tiket final dan bertemu kembali tuan rumah yang menewaskan Indonesia 2-0 dalam satu lagi separuh akhir.

Kelmarin, Malaysia mengikat Thailand 1-1 untuk menjuarai Kumpulan B dengan 11 mata hasil jaringan sendiri pada minit akhir oleh pemain tuan rumah, Sittha Boonlha. Kedua-dua pasukan juga masih belum kalah selepas enam perlawanan.

Skuad remaja negara bimbingan Maniam Pachaiappan ini ternyata tidak menggelabah sekalipun dikejutkan gol pendahuluan pemain lawan, Pham Van Phong dalam babak pertama malah menggandakan asakan demi memburu gol penyamaan dan kemenangan.

Malaysia, juara Kumpulan B, akhirnya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kanan Nabil Qayyum dalam kotak penalti yang turut dinobatkan Pemain Paling Bernilai Kejohanan Belia Antarabangsa CFA di Haikou, China, 22 Julai lalu.

Penyerang remaja ini sekali lagi membolosi gawang Vietnam dengan kemahiran gelecekannya ke dalam kotak penalti sambil menewaskan empat pemain termasuk penjaga gol lawan sebelum menguis masuk gol kedua dan membawa Malaysia pula mendahului 2-1.

Gol ketiga Malaysia pula terhasil daripada rembatan kaki kiri Alif yang meluru menembusi kubu Vietnam sekai gus menewaskan penjaga gol, Nguyen Quan Truong setelah menyambut tepat umpanan pertahanan, Adam Daniel Mohamad dari sebelah kiri.

Nabil Qayyum kini muncul penjaring terbanyak Malaysia dengan mengumpul empat gol termasuk ketika pasukannya membelasah Brunei 8-0 dan Australia 3-0 dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Alif yang juga penyerang, turut melebarkan rekodnya kepada tiga gol, berkongsi dengan Muhammad Harry Danish Mohd. Haizon yang mencatat hatrik menentang Brunei, 28 Julai lalu.
Kejayaan ke final edisi ini turut memperbaiki pencapaian tempat ketiga edisi ke-12, tahun lalu (bawah 16) setelah menewaskan Myanmar 1-0.

Indonesia muncul juara tahun lalu menerusi kemenangan penentuan penalti 4-3 setelah terikat 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan akhir di Surabaya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here