Rezeki Wany Hasrita, Amira tunai haji

Rezeki Wany Hasrita, Amira tunai haji
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

JIKA Allah telah takdirkan orang berkenaan terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima, tiada siapa yang dapat menghalang. Itulah rezeki tak diduga yang berlaku kepada penyanyi Wany Hasrita dan Amira Othman.

Semuanya berlaku dalam tempoh beberapa hari saja sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci pada hari ini (7 Ogos 2019) pukul 4 petang.

Menurut Wany Hasrita, 27, beliau mendapat panggilan daripada pihak Astro Awani yang namanya terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada malam Ahad lalu (4 Ogos).

“Peluang yang Wany dapat ini semuanya bermula daripada Astro Awani. Produser Komuniti Awani, abang Dean (Saharuddin Musthafa) hantar mesej tanya, kalau dapat pergi haji nak tak?

“Dia bagi nombor telefon orang Kedutaan Arab Saudi dan kemudian Wany berurusan sendiri. Wakil tu cakap nama Wany terpilih dan akan bertolak dalam masa dua hari. Wany tawakal saja dan bagi semua butir peribadi, kalau lepas semua urusan, itu adalah rezeki,” ceritanya tentang rezeki yang tak dijangka itu.

Kata Wany, selepas memberi butiran peribadi kepada pihak kedutaan Arab Saudi, beliau terus telefon Heliza Helmi untuk carikan seorang ustaz untuk mengajar kursus haji.

“Kesian kat kak Heliza kerana Wany telefon dia pada pukul 11.30 malam minta cari ustaz untuk mengajar. Alhamdulillah, esoknya (5 Ogos) kak Heliza dengan ustaz Syed Abdul Kadir Syed Hussin Aljoofre ada kelapangan dan datang ke rumah untuk ajar Wany dengan Amira Othman.

“Pada hal waktu ikuti kursus haji (di rumah), tiket belum dapat lagi tapi Wany tawakal saja. Alhamdulillah, malam Isnin dapat tiket kapal terbang dan visa pula masih dalam proses. Syukur, tadi (6 Ogos) Kedutaan Arab Saudi telefon suruh pergi ambil visa,” cerita Wany sewaktu dihubungi Bebas News.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah memberitahu, beliau dibenarkan untuk bawa seorang teman dan disebabkan ibunya uzur, beliau mempelawa Amira untuk pergi bersama.

“Sesungguhnya, Wany sendiri tak tahu kenapa nama Amira yang ada dalam fikiran ketika itu. Lepas ibu kata tak boleh pergi, Wany terus telefon Amira. Mungkin sebab kami selalu pergi usrah sama-sama. Itu semua kuasa Allah.

“Walaupun kami pergi tanpa mahram, tak ada masalah sebab ini atas undangan pihak kedutaan. Sebenarnya, mula-mula tu takut juga, ingatkan scam. Bila Wany dah sampai ke pejabat kedutaan dan tengok sendiri, kebimbangan tu hilang dan terus yakin,” cerita penyanyi Menahan Rindu itu.

Kata Wany, apa yang dilaluinya sukar untuk digambarkan kerana dirinya terpilih untuk menunaikan haji dalam usia muda berbanding orang lain.

“Ibu kata jangan bimbang kerana dalam sejuta orang yang nak dapat peluang macam Wany memang susah. Tak payah fikir apa, pergi saja sebab semuanya ditanggung. Kata ibu, kalau berlaku apa-apapun ambil tiket balik ke Malaysia.

“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan Allah. Jadual kerja Wany pun tak terganggu, setakat program televisyen yang boleh digantikan dengan orang lain. Persembahan pentas pun tak ada, kalau dah ambil, tentu kena pulangkan semula wang deposit. Allah lebih mengetahui, DIA atur cantik saja segala urusan,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada 16 Ogos nanti.

MACAM MIMPI

Sementara itu, Amira atau Nadia Amira Othman, 26, berkata, sewaktu mendapat tahu yang beliau berpeluang menunaikan fardu haji, perkhabaran itu seperti mimpi.

Siapa yang tak terasa seperti mimpi bila tiba-tiba mendapat berita dapat menunaikan haji dalam waktu terdekat tanpa perlu menunggu lama.

“Alhamdulillah, macam mimpi rasanya. Lepas dapat panggilan, Mira pun macam tengah fikir lagi, betul ke ni? Yang paling Mira risau tentang ilmu nak menunaikan haji. Mira telefon tanya ustaz dan ustaz kata tak ada apa yang perlu dirisaukan. Dalam masa sehari pun boleh belajar.

“Mira dan Wany belajar kursus haji di rumah Wany bermula dari tengah hari sampai ke Maghrib. Rasanya macam dipermudahkan sebab ustaz yang mengajar kami adalah ustaz yang sama masa Mira pergi umrah dulu,” jelasnya.

Orang pertama yang diberitahu tentang khabar gembira tersebut adalah bapa dan ibunya. Awalnya kata Amira, beliau ada perasaan berbelah bagi kerana takut apa yang diimpikan tidak kesampaian kerana tiada surat hitam putih.

“Mula-mula telefon abah sebab bapa biasalah dia mesti risau tentang keselamatan anak. Mira bagi tahu yang Mira pergi selama lapan hari, abah terkejut sebab itu bukan sembarangan pakej.

“Kemudian Mira telefon mama minta dia doakan, kalau betul rezeki Mira dapat pergi haji, Alhamdulillah. Waktu itu Mira pun macam berbelah bagi sebab tak ada surat hitam putih.

“Esoknya, bila check visa dah lulus (Isnin), mudah sangat. Bila orang tanya, rasa sedih nak bercerita sebab apa yang terjadi ini seperti ajaib dan tak sangka dapat pergi haji pada usia 26 tahun. Kalau Allah nak bagi, tak kira cepat atau lambat, mesti dapat,” katanya dengan rasa syukur.

Amira yang baru kematian nenek berkata, jika arwah masih ada, pasti neneknya akan menangis mendengar berita beliau menunaikan haji.
Katanya, beliau memang rapat dengan arwah dan setiap hari akan menelefon bertanya khabar.

“Mira memang rapat dengan nenek dan hari-hari telefon tanya khabar. Mira sedih hingga sekarang masih terasa. Masa Mira nak pergi umrah dulu, nenek nangis bila dapat tahu. Ini kalau dia masih ada mesti menangis bila dapat tahu Mira dapat pergi haji.

“Bila dapat berita boleh pergi haji, Mira tak fikir panjang terus setuju sebab kita tak tahu bila peluang begini akan datang lagi. Di sana nanti, Mira mahu berdoa untuk kesejahteraan kedua ibu bapa, dimurahkan rezeki dan nak doa diberikan jodoh yang baik-baik,” katanya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.