Anak Kelate mula popular dalam YouTube

0
122
YOE (kiri) dan Asif (kanan) dalam drama lakonan santai, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, yang mendapat 2.1 juta tontonan di YouTube. YOUTUBE SYAHMI SAZLI

 

DRAMA spontan yang meraih jutaan tontonan menerusi laman perkongsian video popular YouTube berjaya meletakkan tiga pemuda Kelantan ini dikenali ramai dalam masa singkat.

Bagi tempoh lima hari sahaja, drama spontan baharu Muhammad Syahmi Sazli, 24, atau lebih dikenali Syahmi Sazli, bertajuk ‘Di Sana Menanti Di Sini Menunggu,’ mendapat tontonan sehingga 2.1 juta.

Bukan kerana ketampanan sebaliknya lakonan santai bersama-sama sepupunya, Muhammad Asyiff Suhaimi, 17, atau Asif dan rakan mereka, Muhammad Ashrul Hakim Lukman, 21, atau dikenali Yoe Parey, mencuit hati penonton.

Lebih-lebih lagi kisah yang diketengahkan mereka bertiga bawa mesej yang dalam, namun diselitkan dengan unsur komedi yang bersahaja.

Menggunakan dialog spontan dengan dialek Kelantan turut beri kelainan kepada anak muda ini untuk mengekspresikan bakat seni lakonan.

Biarpun berkerja dengan dua rakan ‘istimewa’, namun bekas penuntut Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu anggap ia sebagai salah satu tugas yang menyeronokkan.

Namun di sebalik keghairahan untuk menghasilkan video pendek, ada juga beranggapan dia pergunakan golongan istimewa ini untuk kepentingan peribadi.

“Sebelum bergiat aktif dalam dunia lakonan, Asif yang menghidap autisme akan mengelak daripada bergaul dengan orang ramai.

“Niat saya ajak Asif berlakon bukan untuk diri saya tetapi saya mahu dia berinteraksi dengan masyarakat dan tidak lagi menyendiri,” katanya.

Kini beliau bersyukur kerana Asif yang juga anak sulung daripada dua beradik bukan sahaja bijak menguruskan diri malah mampu jana pendapatan sendiri.

Malah Syahmi tidak kisah jika populariti Asif dan Yoe mengatasi dirinya ini kerana mereka dapat bantu ringankan beban keluarga ketika ini.

Katanya, Yoe yang baharu membintangi drama spontannya sebulan lalu mempunyai bilangan pengikut yang lebih ramai.

Bahkan Yoe turut luahkan rasa gembira kerana dia mula dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan peminat lelaki malah anak gadis di negara ini.

Melihat kejayaan yang diraih, Syahmi yang kini memiliki syarikat penerbitan sendiri turut terima banyak tawaran daripada orang ramai agar ambil anak ‘istimewa’ mereka untuk bintangi video pendeknya.

“Saya rasa sudah memadai dengan Asif dan Yoe yang digandingkan dengan sembilan heroin yang lain.

“Sekurang-kurangnya orang ramai sudah dapat mula membuka minda untuk menerima bakat yang ada pada anak-anak istimewa,” katanya.

https://www.beritaharian.sg/dunia/anak-%E2%80%98kelate%E2%80%99-raih-21-juta-tontonan-dalam-youtube
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here