Silakan siasat – Khaled

0
26
JOHOR BAHRU, 4 Jun -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan untuk bertanding sebagai Naib Presiden UMNO pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan sedia disiasat ekoran dakwaan beliau yang meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang sehingga menyebabkan dua siri pencemaran udara baru-baru ini.

Menurutnya, ada pihak yang menuding jari dan menyalahkan beliau bahawa pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang berpunca daripadanya dengan alasan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas sebelum ini yang bertanggungjawab meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di kawasan itu.

“Sekali lagi saya tegaskan yang saya bersetuju perkara ini disiasat dengan segera. Saya sendiri bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Kerana akhirnya, saya sendiri secara peribadi ingin tahu kilang-kilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO turut menegaskan  bahawa kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas ADUN yang terlibat, sebaliknya perkara itu di bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan dan dalam kes itu adalah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). 

Katanya, perkara-perkara yang melibatkan lesen, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan.

“Jadi, saya bersedia, malah sangat menggalakkan jika orang ramai atau mana-mana pihak menggesa kerajaan negeri untuk menyemak dan mendedahkan nama-nama kilang yang terlibat dalam pencemaran ini. Daripada maklumat tersebut, kita akan dapat mengetahui siapakah pihak yang meluluskan pembukaan dan operasi tersebut.

Dalam pada itu, beliau bersetuju untuk pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana agensi yang relevan membuka kertas siasatan, khususnya siapa yang terlibat, sekali gus dikenakan tindakan tegas.

Dakwanya, yang menjadi masalah dan kebingungan semua pihak sekarang adalah hingga kini kerajaan negeri yang begitu berkeras dan bersungguh-sungguh melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat.

“Selepas dua kali insiden yang sama berulang, kerajaan negeri dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki.

“Kita harus sedar, isu yang turut kritikal dalam insiden ini adalah pengurusan dan pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa. Prosedur dan kepakaran agensi-agensi ini harus diperkemaskan.

“Malah, yang kita semua kesalkan sekali adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan insiden tersebut,” katanya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here