Taktik peniaga letak harga 09 sen

1
124

SEINGAT kita semua yang masih ‘siuman’ ini,, penggunaan wang syiling 1 sen sudah bertahun-tahun dihentikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ertinya penggunaan wang syiling 1 sen berwarna coklat tembaga itu sudah menjadi sejarah dan tidak sah untuk kegunaan jual beli di pasaran sekali gus layak disimpan dalam muzium sahaja.

Mungkin di bilik pameran muzium tempatan sudah meletakkan wang syiling 1 sen cetakan terakhir sekitar tahun 2001 itu dalam koleksi barang antik?

Malah kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sudah menasihati pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan mana-mana urus niaga yang lain tidak lagi meletak harga menggunakan nilai wang syiling 1 sen.

Begitulah keprihatinan kerajaan BN dahulu lebih efisien dalam menjaga kebajikan rakyat agar tidak berterusan ‘dicekik darah’ oleh peniaga yang bermain ‘silap mata’ menggunakan nilai wang syiling 1 sen tersebut.

Taktik peniaga sengaja meletakkan harga 9 sen itu ialah bertujuan menggenapkan 10 sen ‘dikenakan’ kepada pengguna kerana adalah mustahil bagi setiap pembeli untuk menyediakan wang syiling 1 sen sehingga 9 sen ketika pembayaran.

Apatah lagi seperti yang kita sudah sedia maklum, BNM pun tidak mengeluarkan lagi wang syiling 1 sen kerana menyedari ia menyusahkan pengguna, sebaliknya peniaga pula yang ‘licik’ menganiaya pengguna menerusi penggunaan ‘nilai fantasi’ itu.

Malangnya dalam era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018, penggunaan tanda harga bagi jualan terutama di pasar mini, masih lagi bebas menggunakan harga 9 sen.

Misalnya sebotol air minuman berjenama diletak RM3.09 sen dan apabila sampai ke kaunter bayaran, harga itu digenapkan dalam resit pembelian menjadi RM3.10 kerana peniaga tahu bahawa pembeli ketiadaan wang syiling 1 sen untuk membayar 9 sen.

Situasi itu jelas menunjukkan ‘penipuan’ oleh peniaga sudah berjaya ‘mencekik darah’ 10 sen daripada setiap pembeli yang terperangkap dengan ‘taktik jahat’ tersebut.

Bayangkan jika sehari minimum 100 botol minuman dijual berharga RM3.09 sen sebotol, maka sudah berapa banyak Ringgit Malaysia (RM) perniagaan setiap rangkaian pasar mini atau pasar raya berjaya mengutip 10 sen bagi setiap satu pembelian?

Cuba anda kira berapa perolehan 10 sen X 100 botol minuman tersebut bagi sebuah pasar mini rangkaian berkenaan untuk sehari?

Seterusnya anda kira juga berapa perolehan jika terdapat minimum 50 rangkaian pasar mini itu dan darab (X) 10 sen dengan purata 100 botol jualan minuman berkenaan daripada setiap satu premisnya?

Itu hasil pendapatan sehari ‘atas angin’ peniaga pasar mini terbabit ‘mencekik darah’ pengguna, tetapi jika berterusan sehingga sebulan,   setahun dan bertahun-tahun pula, berapa ribu perolehan ‘hasil khianat’ diperoleh peniaga terbabit?

Ini patut kita renungkan bersama dan bangkit bertindak, meskipun majoriti pembeli tak kisah ‘menderma’ 10 sen kepada ‘pencekik darah’ kerana pengguna menganggap nilai itu kecil.

Tetapi sedarkah anda bahawa jika dihimpunkan nilai 10 sen oleh sekian banyak pembelian barangan, akhirnya jumlah sen itu akan bertukar menjadi jutaan RM masuk mudah ke kantung ‘pencekik darah’ di depan mata.

Mengapakah pembeli (pengguna) tidak menyedari bahawa ada ungkapan:  “Tiada 1 sen tidak cukup untuk menjadi RM1 juta.”

Justeru konsep itulah yang dimanfaatkan oleh golongan peniaga ‘pencekik darah’ kerana mereka pandai memanfaatkan ungkapan: “Sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.”

Ertinya sedikit demi sedikit 10 sen yang ‘dicuri’ daripada pengguna tersebut akhirnya membukit menjadi RM1 juta atau memperoleh keuntungan lebih besar daripada itu jika sudah bertahun-tahun melakukan ‘pencurian’ dalam bentuk permainan ‘silap mata’ tersebut?

Ternyata perbuatan ‘drakula mencekik darah’ pengguna menerusi permainan ‘silap mata’ di sebalik penggunaan nilai wang syiling 9 sen itu wajar dikenakan tindakan oleh Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Setakat ini kita belum pernah dengar atau lihat laporan media massa arus perdana mengenai tindakan Penguat kuasa KPDNHEP terhadap urus niaga menerusi penggunaan nilai wang syiling 1 sen yang telah dimansuhkan oleh BNM itu.

Apakah Penguat kuasa KPDNHEP tidak mempunyai inisiatif atau hanya mengharapkan aduan daripada pengguna untuk bertindak terhadap penggunaan urus niaga meletakkan harga 9 sen supaya dijadikan 10 sen oleh peniaga itu?

Atau Penguat kuasa KPDNHEP tidak menerima arahan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melakukan tindakan berhubung kes ‘pencekik darah’ tersebut?

Kita percaya isu masih berlakunya penggunaan nilai 9 sen dalam urus niaga tersebut tidak sampai secara jelas kepada Saifuddin Nasution kerana beliau selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terlalu sibuk untuk memberi tumpuan kepada politik.

Oleh yang demikian adalah menjadi tugas orang bawahan kementeriannya untuk menyampaikan maklumat berkaitan dengan kebajikan rakyat selaku pengguna sekali gus memanfaatkan mandat yang diberikan oleh pengundi kepada PH sehingga berjaya membentuk kerajaan menerusi PRU-14 lalu.

Ini tidak termasuk kes kebanyakan restoran dan pelbagai sektor perniagaan lain yang beroperasi di seluruh negara tidak meletakkan ‘tanda harga jualan’ menyebabkan pengguna gagal membuat perbandingan harga barangan untuk pedoman mereka berbelanja.

Lantaran itu peniaga bebas sesuka hati meletakkan harga barang jualan dan pada akhirnya pengguna juga yang menjadi mangsa peniaga…!

Mutakhirnya ini apakah anda semua sudah membaca atau melihat berita Op Tanda Harga Barang dilakukan oleh Penguat kuasa KPDNHEP dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara?

Jika Penguat kuasa KPDNHEP ‘rajin’ bertindak melakukan Op Tanda Harga Barang, maka perolehan kompaunnya boleh membayar sebulan gaji kakitangan di bawah agensi kementerian berkenaan sesuai dengan usaha menambah dana dalam era yang dikatakan berada dalam kegawatan kewangan sekarang?

Cuba anda fikir antara golongan pengguna dan peniagaan yang mana satu menjadi majoriti penduduk negara ini? Kuasa undi pengguna atau peniaga yang boleh menentukan kemenangan calon daripada sesebuah komponen parti? Justeru pihak mana yang lebih penting diberikan pembelaan daripada segi kebajikannya oleh kerajaan?

Selain itu kita juga tidak nampak tindakan atau insiatif daripada beberapa persatuan pengguna tanai air yang suatu ketika dahulu nampak ‘garang’ memperjuangkan nasib pengguna yang tertindas, termasuk isu ‘cekik darah’ oleh peniaga menerusi urus niaga menggunakan nilai mata wang 9 sen yang diutarakan oleh penulis kali ini.

Di samping itu peniaga pasar raya dan pasar mini juga secara terang-terangan sudah bertahun-tahun ‘berniaga 20 sen’ bagi satu plastik bekas barang yang boleh dianggap ‘cari untung lebih’ dan ini sebenarnya menganiaya pengguna, sedangkan kalau peniaga kemaruk sangat kepada RM, maka harga plastik nipis itu boleh diserapkan sekali dengan nilai pembelian barangan lain.

Takkanlah perkara semudah itu pun kita kena ajar kepada para peniaga akan ‘taktik psikologi perniagaan’ diplomasi secara senyap menerusi kaedah ‘menyerapkan harga plastik bekas barang’ dalam bayaran pembelian barangan lain seperti disebutkan tadi. Ini bagi mengelakkan pembeli berasa ‘sakit hati’ setiap kali ketika membayar 20 sen untuk satu plastik nipis yang hanya selayaknya disangkut menjadi bekas sampah di sudut dapur rumah.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Terbaik idea Nazeri Nong Samah..Tidak terfikir oleh kebanyakan pengguna kepintaran peniaga menipu pengguna tanpa sedar @ sedar kerana yg memandang enteng duit satu sen..persoalannya kenapa mudah pengguna di tipu dan dieksploit..

    @ malah ada yg peniaga menukarkan dengan gula gula sebagai ganti syiling 1 sen..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here