769 pekerja Utusan ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang

"Amat menyedihkan lagi ada yang berhutang  keliling pinggang terpaksa meminjam daripada Ah Long untuk meneruskan kehidupan kerana tiada gaji  untuk  membayar pinjaman  bank".

769 pekerja Utusan ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang
FOTO BebasNews/Zihan Zari
Oleh ZIHAN ZARI

 

NASIB seramai 769 orang pekerja Utusan sekarang diambang kesusahan hingga ada yang terpaksa bergadai barang kemas semata-mata untuk menyara kehidupan keluarga setelah gaji mereka tidak menentu dan lewat. Lebih malang tidak dibayar langsung sejak Julai lepas.

Demikian dinyatakan oleh Chin  Sung  Chew Setiausaha  Agung  Kesatuan Kebanggaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) dalam sidang akhbar di pejabat NUJ di Kuala Lumpur, hari ini.

Chin berkata , “masa depan ahli kami yang berkhidmat dengan Utusan kini hidup dalam keadaan amat sukar. Amat menyedihkan lagi ada yang berhutang  keliling pinggang terpaksa meminjam daripada Ah Long untuk meneruskan kehidupan kerana tiada gaji  untuk  membayar pinjaman  bank”.

Dengan nada sedih, Chin menjelaskan “isteri mereka terpaksa ke kedai pajak gadai semata-mata untuk memberi makan kepada anak-anak. Disebabkan tidak mampu untuk membeli susu ada di antaranya  terpaksa  memberi  air  sirap kepada anak mereka yang masih kecil.

Amat memeritkan lagi, hendak mengisi minyak kenderaan untuk membuat tugasan luar mencari berita pun kami tidak mampu.”

“Lain-lain potongan gaji secara bulanan seperti KWSP,  LHDN, Zakat,  insurans SOCSO, yuran  NUJ, koperasi dan tabung haji milik kami tiada dan tidak sampai ke agensi berkaitan, sedangkan  dalam  slip  gaji  dipotong seperti biasa”, katanya.

Ujarnya, “sekarang ini kami diburu oleh pihak bank sejak gaji kami lewat dibayar mulai awal tahun sehinggalah keadaan bertambah buruk apabila tidak mendapat gaji langsung bulan lalu.”

Pada masa yang sama, NUJ merayu kepada Umno supaya melepaskan pegangan saham mereka dengan segera demi survival Utusan dan pekerjanya yang tidak  berdosa.

Tambah Chin lagi, “walaupun bukan lagi pemegang saham terbesar semua orang tahu Umno telah menggunakan proksi, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Aziz Sheikh untuk terus mengawal akhbar ini. Umno dilihat tidak  langsung  mempedulikan nasib pekerja Utusan dan sanggup melihat mereka hidup menderita.

Chin mendakwa, “dikhabarkan kononnya  Umno adalah parti yang membela nasib  orang  Melayu tetapi  pada  hakikatnya pekerja Melayu di  Utusan diabaikan.

Chin menjelaskan, “sebagai pekerja di Utusan mereka masih terus  bekerja  kerana masih sayangkan Utusan yang dianggap pada satu ketika dahulu dianggap akhbar keramat untuk orang Melayu.

Pada sidang media yang sama NUJ telah membuat tabung kutipan bagi membantu ahlinya yang dilanda masalah himpitan hidup.

Mereka yang sudi membantu bolehlah memberikan sumbangan ikhlas melalui:

CIMB Bank No. 8000367100 (Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ)

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.