Kemelut di Selangor, sekadar masalah adik-beradik sahaja

Kemelut di Selangor, sekadar masalah adik-beradik sahaja
Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

ISU perpecahan dalam Kerajaan Negeri Selangor dianggap oleh pemimpin PKR negeri ini sebagai masalah kecil sahaja dan tidak perlu diperbesarkan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dari PKR, Shatiri Mansor, masalah yang wujud dalam parti seperti mana organisasi-organisasi lain adalah perkara yang lumrah.

“Apa yang berlaku ibarat pergaduhan kecil adik-beradik dalam keluarga.

“Segalanya telah diselesaikan dan kita (kini) menumpukan kepada meneruskan agenda yang ada seperti biasa, “katanya ketika dihubungi Bebasnews di Shah Alam hari ini (Jumaat, 9 Ogos).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berdepan dengan pergolakan dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk yang dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam.

Shatiri menambah, pergolakan yang turut dikaitkan dengan cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur adalah tidak tepat kerana semua pemimpin dalam kerajaan Selangor masih bekerja sebagai satu pasukan.

Malah, Shatiri berkata, beliau sendiri masih mempengerusikan mesyuarat exco dan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman juga senada dengan Shatiri.

Khairuddin menambah, dakwaan wujudnya pergolakan sebagai tidak tepat kerana semua exco termasuk beliau masih kekal fokus dengan portfolio masing-masing.

Beliau berkata, laporan portal tersebut adalah tidak tepat kerana kesemua exco termasuk beliau kekal fokus dengan portfolio masing-masing.

“Kesemua exco di bawah Datuk Menteri Besar Selangor bekerja seperti biasa dan kita kekal fokus, “tambahnya ketika dihubungi hari ini.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.