Harimau B15 memang berciri juara – Maniam

0
2
HARIMAU remaja negara meraikan kejayaan juara Kejohanan B15 AFF dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin (tengah, barisan kedua) di Chonburi, semalam.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KOREA Utara dan Iran telah pun ‘ditakluki’ malah ‘Si Gajah Perang Muda’ Thailand berjaya ditumbangkan di Chonburi dalam perlawanan akhir Kejohanan Bawah 15 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) Ke-13, 2019, semalam.

Namun jurulatih skuad B15 negara yang menjuarainya, Maniam Pachaiappan mengakui masih ada Jepun yang menanti mereka dalam Kumpulan J Kelayakan Kejohanan B16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Vientiane, Laos, bulan depan.

“Jepun sentiasa di atas kita tetapi sejak pasukan kami menewaskan Korea Utara dan Iran dalam Kejohanan Belia Antarabangsa CFA di Haikou (22 Julai lalu), saya telah mengesan ciri-ciri juara pada pasukan ini dan semakin yakin untuk melihat mereka menang (B15 AFF, semalam),” katanya.

Dua lagi jiran serantau di Chonburi, Kemboja yang ditewaskan Malaysia 2-0 dan Laos diikat 1-1, turut menganggotai Kumpulan J Kelayakan B16 AFC dari 18 hingga 22 September ini.

MANIAM Pachaiappan, ketua jurulatih skuad B15 Malaysia.

Skuad Maniam menumpaskan Thailand 2-1 di Stadium Institut Pendidikan Jasmani, Chonburi untuk menamatkan penantian gelaran peringkat umur (15/16 tahun) selepas kali terakhir menjuarainya pada 2013 dengan menewaskan Indonesia di Naypyidaw.

Rembatan leret kaki kiri Muhammad Izrin Ibrahim dan tandukan deras Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin pada minit ke-69 dan 80 memastikan gelaran itu biarpun ketinggalan dengan gol pendahuluan tuan rumah pada awal babak pertama.

Sebelum itu dalam kejohanan jemputan CFA di Stadium Wuyuanhe, Haikou, mereka menewaskan Korea Utara 2-1 dan Iran 2-0 serta seri 1-1 dengan tuan rumah, China dengan Nabil dinobatkan Pemain Paling Bernilai dan Zulhilmi Sharani bergelar Penjaga Gol Terbaik.

“Kejayaan ini hasil kerja keras semua pemain dan barisan jurulatih kami. Tiupan angin kencang mempengaruhi pergerakan bola dan rentak permainan pasukan semalam tetapi saya ingatkan pemain, yakini diri dan rampas semula setiap bola yang mereka hilang.

“Saya agak dukacita dengan sedikit insiden tumbuk-menumbuk dalam masa kecederaan final. Pada peringkat usia semuda ini, kita patut elakkannya namun tuan rumah jelas tertekan dengan ketinggalan 2-1 dan cuba merampas bola daripada pasukan kita,” katanya.

Angkara terlibat dalam insiden itu, kapten, Mohamad Khairil Mohd. Zain yang dilayangkan kad merah mungkin terpaksa menjalani penggantungan dua perlawanan dan bakal dikira mulai Kelayakan B16 AFC di Vientiane kecuali ada beberapa perlawanan persahabatan sebelum itu.

“Pasukan B15 kita akan kembali berkumpul bagi latihan pusat menghadapi Kelayakan AFC B16 antara akhir Ogos dan awal September.

“Saya juga dapat tahu ada lima hingga enam pemain yang dikesan turut berbakat untuk ditambah daripada Kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) di Kelantan, baru-baru ini, bagi persediaan ke Laos,” katanya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here