Korban: Jangan biar ramai berputih mata!

0
91

SETIAP tahun jutaan haiwan halal yang sesuai dijadikan ibadah korban disembelih di seluruh dunia sempena sambutan Hari Raya Korban atau disebut juga sebagai Hari Raya Aidiladha berlangsung pada tarikh 10 Zulhijjah.

Bagi Malaysia, haiwan yang popular dijadikan korban ialah lembu, kerbau, kambing dan unta pula banyak dikorbankan di negara Arab.

Aktiviti korban lazimnya diadakan di pekarangan surau, masjid, kawasan khas sesebuah taman perumahan atau kampung dan tidak kurang juga penyembelihan haiwan korban dilakukan dalam kawasan sekolah meskipun mendapat bantahan pihak tertentu.

Namun di sebalik aktiviti mulia digalakkan oleh Islam itu, kita harap penganjur acara ibadah korban tidak membiarkan orang ramai yang datang hanya berputih mata selepas menyaksikan penyembelihan dan pengagihan daging haiwan tersebut.

Berputih mata adalah merupakan peribahasa yang membawa maksud ‘hampa’ atau kecewa kerana gagal mencapai hasrat hati untuk mendapatkan sesuatu, termasuk dalam konteks mengidamkan daging korban itu.

Mengapa dikatakan ramai orang yang datang ke acara korban hanya berputih mata? Siapa yang tergamak memutihkan mata insan tidak bernasib baik itu?

Jawabnya ialah kebanyakan penganjur seperti pihak surau, masjid, persatuan, parti politik atau individu mengagihkan daging korban itu hanya kepada mereka yang telah diberi kupon lebih awal terdiri daripada ahli jawatankuasa, rakan dan golongan fakir miskin terpilih.

Bagi yang tidak mempunyai kupon, mereka akan berputih mata dan pulang dengan tangan kosong, sedangkan anak dan isteri di rumah sudah membayangkan bapa atau suami akan menjinjing sedikit daging mahupun tulang haiwan korban sebagai sajian.

Insiden tersebut pernah diceritakan dalam nada hiba oleh seorang rakan penulis mengenai nasib malang dialaminya yang gagal membawa pulang danging korban untuk memenuhi impian anak dan isteri kerana pembawa kupon sahaja layak mengambil daging korban.

Jika anda benar-benar dapat menggambarkan situasi hampa tersebut dengan penuh penghayatan, pasti akan berasa sebak dalam dada kalau bukan terus menitiskan air mata kerana bersimpati terhadap nasib malang itu.

Hilang hajat penganjur atau individu untuk mendapatkan pahala menerusi idadah korban yang dibuat di kawasan terbuka dan menjadi tontonan ramai itu,  kerana pada akhirnya akan menimbulkan cercaan daripada masyarakat sekeliling lantaran sikap ‘kedekut’ penganjur seolah-olah  mahu menunjuk-nunjuk sahaja.

Jika daging korban hanya layak untuk diberi kepada golongan terpilih, maka lebih baik acara itu diadakan secara tertutup dalam kawasan berpagar zink atau kanvas agar tidak menjadi tontonan umum sekali gus dapat menjauhkan daripada ‘dosa’ gara-gara memutihkan mata banyak pihak.

Dalam pada itu terdapat juga penganjur yang ‘cerdik’ dan ‘berperikemanusiaan’ terutama ketika melakukan ibadah korban di pekarangan masjid atau surau mempunyai inisisiatif mengadakan ‘kenduri’ memasak daging dan sup tulang haiwan korban.

Tujuannya ialah supaya orang ramai yang hampa tidak berpeluang untuk mendapat daging korban, tetapi masih ada alternatif untuk  menikmati sajian nasi dan lauk berasaskan aktiviti tersebut.

Kebelakangan ini sudah banyak pihak penganjur ‘cerdik’ dan ‘berperikemanusiaan’ yang mendapat hidayah itu mengadakan majlis jamuan sempena acara ibadah korban sebagai satu usaha kebajikan bagi menjaga nama baik aktiviti Islam agar dilihat adil sekali gus tidak dicerca oleh mana-mana pihak lain.

Dalil al-Quran mengenai ibadah korban adalah berpandukan kepada surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud: “Maka dirikan solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.”

Korban juga bermaksud menyembelih ternakan halal yang ditetapkan mengikut hukum syarak dengan ‘taqarrub’ (amalan dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT).

Manakala hadis Rasulullah SAW pula berdasarkan riwayat yang bermaksud: “Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua  ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah SWT dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkuk kibasy tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hikmah ibadah korban ini juga sebagai menterjemah falsafah ketaatan (bertakwa) kepada perintah Allah SWT. Ini adalah seperti yang dilakukan Nabi Ibrahim AS apabila Allah SWT memerintahkan kepada baginda agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.

Lalu dengan penuh yakin Nabi Ibrahim AS bersedia untuk menyembelih anaknya itu, namun Allah SWT telah menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibasy.

Selain untuk mendidik umat Islam supaya taat kepada perintah Allah SWT, ibadah korban juga adalah bagi menggalakkan golongan berada agar sentiasa bersyukur dan prihatin terhadap keperluan fakir miskin, terutama menerusi pemberian daging korban setahun sekali itu.

Sehubungan itu mengikut amalan yang telah ditetapkan ialah ibadah korban siang hari bermula selepas solat Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban pada setiap tarikh 10 Zulhijjah serta diikuti dengan Hari-hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pengertian Tasyrik ialah tiga hari selepas Hari Raya Aidiladha yang membuka ruang untuk kepada umat Islam terutama ketika mengerjakan ibadah haji di Mekah juga boleh bersyukur makan dan minum serta tidak perlu berpuasa.

Terdapat artikel Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bilangan 2 pada 2013 telah memberikan pedoman yang jelas mengenai perkara tersebut bagi dua kategori korban iaitu ‘korban nazar’ (wajib) dan ‘korban sunat.’

Menurut artikel Jakim itu terdapat hukum atau peraturan ditetapkan berkaitan dengan daging korban seperti berikut:

(1) Haram memakan daging korban bagi orang yang melakukan ‘korban nazar’ (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging korban kepada orang bukan Islam.

(2) Hukum pemberian daging ‘korban sunat’ kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulamak mazhab Shafie.

(3) Kulit, lemak, daging, susu, kaki, tulang, kepala dan bulu-bulunya haram dijual oleh orang yang melakukan ibadah korban sama ada ‘korban nazar’ (wajib) atau ‘korban sunat.’

(4) Bahagian atau anggota sembelihan korban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan korban.

(5) Sunat bagi individu yang melakukan ‘korban sunat’ memakan daging korbannya.

Pembahagian daging korban pula terbahagi kepada dua jenis iaitu sembelihan ‘korban nazar’ (wajib) dan ‘korban sunat’ mengikut garis panduan berikut:

(a) Pembahagian daging ‘korban nazar’ (wajib) ialah wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada fakir miskin dan haram bagi orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

(b) Pembahagian daging ‘korban sunat’ pula menurut pandangan ulamak mazhab Shafie adalah seperti berikut:

(1) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya.

(2) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

(3) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Apa yang paling afdal menurut pandangan ulamak mazhab Shafie ialah bersedekah semuanya (daging korban), kecuali pada beberapa ketul suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda melakukan ibadah korban.

Syarat bagi individu yang mahu melakukan ibadah korban ialah seperti berikut:

(a) Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.

(b) Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas golongan hamba.

(c) Mencapi umur akil baligh dan berakal (waras).

(d) Bemukim iaitu menetap di sesuatu kawasan.

(e) Mampu melaksanakan iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan haiwan korban, lebih daripada keperluannya dan mereka di bawah tanggungannya untuk Hari Raya (Korban) dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi mereka melakukan korban.

Syarat sah ibadah korban hendaklah melakukan dua perkara berikut:

(a) Niat untuk ‘taqarrub’ (mendekati) diri kepada Allah SWT. Waktu niat korban adalah semasa menyembelih atau semasa memberi ternakan korban.

(b) Memilih ternakan korban yang sempurna (tidak cacat) boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

Semoga artikel ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan mengenai ibadah korban serta perkara di sebaliknya jika perkara itu tidak dilakukan secara teliti tanpa memikirkan secara mendalam akan kesannya terhadap Islam dan masyarakat sekeliling.

Untuk rekod, penulis pernah menghadiri satu majlis jamuan ibadah korban yang turut dihadiri oleh bukan Islam, maka ‘tetamu’ itu disediakan lauk daging bukan daripada sembelihan korban kerana ia dikatakan berkaitan dengan haram hukumnya jika memberi daging korban kepada golongan tersebut.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here