Kam Fook rahsiakan Olimpik ’72 daripada Oscar

0
138
WONG Kam Fook (jersi merah) menumbuk bola dalam perebutan di udara sambil dibantu kapten, M. Chandran (kanan) dan diawasi Soh Chin Aun (kiri) ketika menentang Jerman Barat dalam Sukan Olimpik Munich 1972.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

OSCAR Wong Tse Yueng tidak pernah mengetahui daripada mulut Wong Kam Fook bahawa bapanya itu merupakan bekas penjaga gol handalan skuad negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972 – penampilan yang bersejarah besar dalam bola sepak Malaysia.

Oscar, 24, yang kini menyarung jersi Melaka United dalam Liga Super sejak 2018, hanya mengesan siapa Kam Fook sebenarnya apabila terlihat ramai peminat bola sepak menghormati dan memanggil bapanya, sifu ketika di Stadium Perak, Ipoh beberapa tahun lalu.

Kam Fook kembali ke tanah air pada 2011 selepas hampir empat dekad berkelana dan menetap di Hong Kong selepas Olimpik termasuk sebagai pemain profesional dari 1972 hingga 1984 diikuti dengan beberapa profesion lain.

WONG Tse Yueng

“Saya kehilangan banyak gambar peribadi daripada album keluarga ketika sebagai pemain Perak dan Malaysia. Ramai kenalan yang saya tidak tahu namanya, datang ke rumah ibu saya meminta dan mengambilnya tetapi tidak memulangkannya.

“Jadi Oscar memang tidak tahu latar belakang bola sepak saya sejak kecil sehinggalah apabila dia menyatakan minatnya untuk menceburi bola sepak. Saya sendiri pun tidak pernah ceritakan kepadanya.

WONG Kam Fook dalam program bual bicara La Bola Malaya The Professional, baru-baru ini.

“Dia hanya menyiasat daripada macam-macam sumber tentang siapa saya selepas hairan melihat ramai peminat di Stadium Perak, memanggil saya sifu dengan rasa terhormat,” katanya dalam program bual bicara laman facebook, La Bola Malaya The Professional di Kuala Lumpur.

Sebelum menyertai Melaka United, Oscar juga menimba pengalaman di kelab Hong Kong, Dreams Sports Club dan Hong Kong Rangers dari 2017 hingga 2018 selain mewakili Cina Perak dalam Piala Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA).

Kam Fook, 70, mempertahankan kubu Malaysia selama 55 minit sebelum ditewaskan tiga jaringan Jerman Barat di Stadium Olimpik pada 27 Ogos 1972, tercedera diasak pemain Amerika Syarikat ketika menang 3-0 dan dibolosi empat gol Maghribi di Ingolstadt sehingga digantikan Lim Fung Kee mulai minit ke-27.

“Sasaran awal dalam babak pertama ialah cuba meraih seri dengan Jerman Barat (dua tahun kemudian bergelar juara Piala Dunia). Pasukan tiba-tiba menukar pelan untuk cuba menyerang dalam babak kedua (sehingga dibolosi Ronald Worm, Juergen Kalb dan Rudolf Seliger).

“Saya sudah tercedera sehingga hampir hilang tumpuan langsung kepada perlawanan dengan Amerika Syarikat termasuk siapa penjaring gol pasukan kita (Shaharuddin Dollah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusof).

“Pengurus pasukan (Allahyarham Datuk Harun Idris) masih meletakkan saya sebagai penjaga gol utama menentang Maghribi. Mungkin kerana kurang meyakini kemampuan Fung Kee yang ketika itu tidak sampai 10 kali bermain untuk pasukan negara (sedangkan rakan karibnya, Wong Hee Kok beraksi dalam Kelayakan Olimpik 1971 di Seoul, tidak terpilih ke Munich),” kata pemenang Piala Malaysia 1970 dengan Perak selepas menewaskan Kelantan 2-0 ini.

Gaji lumayan sebagai pemain pro Liga Hong Kong, mendorong Kam Fook menyertai kelab Seiko, Rangers, South China dan Caroline Hill – mengikut jejak rakan senegara seperti mendiang Chow Chee Keong, Fung Kee, Koo Luan Khen, Yee Sin Choy, Foo Sing Ming, Ho Hong Seong, Lee Ah Kow, (mendiang) Wong Choon Wah dan Wong Voon Leong.

“Ketika bersama pasukan negara menjelajah Eropah sebagai persediaan ke Olimpik, saya pernah didekati sebuah kelab Jerman yang bertanyakan adakah saya berminat menyertai mereka. Melihat pemain-pemain di sana setinggi lebih 6 kaki dan cuacanya begitu sejuk, saya menolak,” katanya.

Menoleh kepada Oscar, katanya, “dia masih menunggu peluang bermain sebagai penjaga gol utama. Ketika di Hong Kong, saya dapati dia melangkaui jangkaan awal saya sedangkan dia hanya memberitahu, berminat dengan bola sepak ketika sudah berusia 16 tahun.

“Sebelumnya dia tidak terlibat dengan mana-mana sukan kecuali ada sesekali bermain bola keranjang. Namun seorang penjaga gol tetap perlu saling membantu dengan empat pertahanan di depannya.

“Kena jadi ‘gila-gila’ mengawasi kotak penalti anda selain perlu buat keputusan secepat kilat tetapi masih sukar untuk membentuk penjaga gol yang konsisten,” katanya, mengambil contoh pada nama-nama besar antarabangsa seperti Oliver Kahn (Jerman) dan Peter Schmeichel (Denmark).

Kam Fook merendah diri dengan menyifatkan dirinya hanyalah penjaga gol sederhana pada zaman kegemilangan tetapi sanggup berjuang bermati-matian demi pasukan Perak dan Malaysia selain berasa cukup bertuah kerana dikelilingi sebegitu ramai pemain handalan negara dalam awal era 70-an.

“Kita ada (Datuk) M. Chandran, (Datuk) Soh Chin Aun, (Allahyarham) Osman Abdullah, Bahwandi Hiralal, Hamzah Hussein, Zawawi, Choon Wah. Disiplin juga selalu dititikberatkan pengurusan pasukan. Jika ada botol arak atau daun terup dijumpai di bilik hotel penginapan pasukan, ada pemain handalan yang terpaksa dihantar balik,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here