Aaliyah cemaskan luncur air negara

0
48
AALIYAH Yoong Hanifah (dua dari kanan) dikhuatiri kurang cergas bagi menggalas cabaran Malaysia dalam Kejohanan Luncur Air Dunia di Putrajaya yang bermula esok.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

CABARAN Malaysia dalam Kejohanan Luncur Air Dunia di Kompleks Sukan Air Putrajaya yang bermula esok dikhuatiri terjejas berikutan kecederaan telinga kiri atlet handalannya, Aaliyah Yoong Hanifah.

Peluncur remaja perempuan berusia 16 tahun itu mengalaminya dalam satu sesi latihan ketika memutar badan dua minggu lalu malah dinasihatkan doktor supaya melupakan seketika sukan kegemarannya itu dan berehat dalam tempoh tersebut.

Juara acara tricks Asia itu walau bagaimanapun mencapai kadar pemulihan yang cepat malah masih teruja untuk melonjakkan nama negara dalam kejohanan yang berlangsung sehingga Ahad ini.

“Saya tidak akan berehat ketika kejohanan ini semakin dekat. Mujurlah saya sudah pulih sekarang dan saya giat membuat persediaan di bawah bimbingan Larry Gisler dan Marian Malaquin,” kata Aaliyah.

Cabaran Malaysia turut disandarkan kepada dua adiknya, Aiden Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah serta Nadiah Nasir.

Perasmian kejohanan akan dilakukan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad manakala saingan akan bermula sebelah pagi dengan acara slalom wanita siri 5 dan 4, jump wanita siri 3 dan trick lelaki siri 5, 4 dan 3.

Pusingan awal bermula esok hingga Jumaat ini diikuti pusingan akhir pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, Kanada melaungkan amaran awal dengan meletakkan sasaran untuk kembali bergelar juara dunia seperti 2015 apabila menampilkan juara dunia empat kalinya, Whitney McClintock-Rini and dan Neilly Ross (tricks).

“Hanya angin yang mungkin jadi rintangan kami namun saya percaya, kami dalam keadaan yang bagus untuk kembali menjuarainya. Kami kempunan gelaran dunia pada 2017 dan membuat beberapa perubahan pasukan sejak itu,” kata jurulatih Kanada, Steve Bush.

Dia menyifatkan juara bertahan, Amerika Syarikat, Belarus, Perancis dan England sebagai antara calon pesaing sengit gelaran Kejohanan Dunia kali ini.

Menariknya Kanada turut diwakili anak tiri Whitney, Paige yang bagus dalam tricks sekali gus bernilai bagi perlumbaan berpasukan biarpun masih baharu menganggotainya.

“Dua tahun lalu, saya menghampakan pasukan saya dalam tricks jadi harap-harapnya saya dapat menebusnya semula kali ini,” katanya.

Turut memperkasa pasukan Kanada ialah juara dunia dua kali jump lelaki, Ryan Dodd, peluncur nombor tiga lelaki keseluruhan dunia, Dorien Llewellyn dan Stephen Neveu.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here