UiTM kenakan caj kolej kediaman pelajar diploma sejak 2014 – Naib Canselor

0
91

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memaklumkan bahawa caj bayaran kolej kediaman yang dikenakan ke atas pelajar diploma institusi tersebut untuk semester September ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata caj berkenaan dikenakan kepada pelajar diploma susulan perbincangan serta kajian terperinci oleh pihak universiti selepas bayaran kolej kediaman diperkenalkan ke atas pelajar ijazah sarjana muda sejak Dis 2005.

Beliau berkata pengenaan caj kolej kediaman itu adalah berikutan peruntukan kerajaan kepada UiTM telah dipotong hampir RM500 juta bermula tahun 2017.

“Namun begitu, pihak universiti sedia maklum terdapat segelintir pelajar UiTM yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Oleh yang demikian, terdapat beberapa kelompok pelajar yang telah dikenal pasti dan akan diberikan pengecualian bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kadar bayaran bagi kolej kediaman yang dikenakan adalah sebanyak RM2, RM3 dan RM4 sehari bergantung kepada jenis bilik mengikut pilihan para pelajar.

Isu itu dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, semalam yang mempersoalkan memo berkenaan kadar caj bilik bagi pelajar diploma universiti tersebut.

“Ada pelajar UiTM yang mengikuti Facebook hantar kepada saya? .Adakah memo ini benar?

“Seingat saya selama ini pelajar diploma bilik dapat free cuma bayar caj utiliti RM20 setiap semester,” kata Najib menerusi akaun Facebook miliknya semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai berkata pengecualian bayaran itu akan tetap diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan tanggungan yang ramai.

Selain itu, pelajar yang menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP); pelajar yang menjadi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK); pelajar badan beruniform; pelajar sukan yang mewakili negara dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan selain pelajar daripada kelab atau persatuan yang cemerlang serta mewakili negara dan memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa juga akan mendapat pengecualian.

Justeru katanya, keputusan mengenakan caj tersebut dibuat bagi menampung perbelanjaan penyelenggaraan selain penambah baikan kemudahan kolej serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang ada telah berusia lebih 60 tahun.

Selain itu kata beliau, pihak pengurusan universiti tersebut juga perlu sentiasa menaiktaraf kemudahan supaya seiring dengan keperluan para pelajar masa kini terutamanya di semua 35 kampus UiTM di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, UiTM giat menjalankan transformasi berterusan dan meningkatkan mutu penyampaian menyeluruh melalui inisiatif strategik bagi mencapai aspirasi untuk menjadi universiti premier bertaraf antarabangsa.

“Pihak pengurusan universiti amat menghargai keprihatinan orang ramai terutamanya daripada alumni UiTM serta menghargai dan mengalu-alukan segala bentuk sokongan, maklum balas selain cadangan untuk kebaikan bersama,” katanya.

http://bit.do/e4rzH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here