Floorball dapat ‘berteduh’ di Jalan Raja Muda

Floorball dapat ‘berteduh’ di Jalan Raja Muda
SKUAD floorball negara memperagakan jersi tajaan Figos bagi menghadapi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

FLOORBALL merupakan sukan yang mirip hoki ais dan hoki dewan kerana bentuk kayu dan bolanya namun menemukan enam pemain setiap pasukan yang berlawanan di gelanggang yang berukuran 40 x 20 meter.

Uniknya juga ialah penjaga golnya hampir sepanjang 20 minit setiap babak (tiga babak kesemuanya) perlu berlutut untuk mengawal gawangnya sambil dibantu dua pertahanan, dua perantara dan dua penyerang.

Floorball mula dimainkan di Malaysia pada 2002 selepas diperkenalkan oleh Stefan Dahlgren di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Perjalanan dan pembangunan floorball kini ditadbir urus oleh Persatuan Floorball Malaysia (MFA) yang juga ahli bersekutu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mulai tahun ini.

Lapan ahli gabungan di negeri-negeri bernaung di bawah MFA ialah Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

PENGARAH Figos Sdn. Bhd., Tang Kok Wai (kiri) menyerahkan jersi jenama Figos kepada Rizal Mohd. Razman di Puchong, semalam.

Sudah dua Sukan SEA menyaksikan penyertaan pasukan negara, 2013 di Naypyidaw (sukan pertunjukan) dan Singapura 2015 (sukan pertandingan).

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara meraih pingat perak di Naypyitaw manakala hanya sebutir gangsa dibawa pulang dari Singapura kerana kategori wanita cuma disaingi tiga pasukan ketika itu, melarang pingat buat pasukan corot.

Namun skuad floorball wanita negara menunjukkan kemajuan memberangsangkan ketika Kelayakan Kejohanan Dunia (Asia-Oceania) di Stadium Huamark, Bangkok dari 27 Januari hingga 1 Februari lalu dengan menduduki tempat kelima.

Mereka hanya kempunan pusingan akhir Kejohanan Dunia kerana kalah dalam masa tambahan separuh akhir, 2-1 kepada Thailand. Terdahulu mereka seri 4-4 dengan Jepun, dikalahkan Singapura 5-2 dan mengatasi Korea Selatan 8-6.

Skuad lelaki juga meraih tempat kelima Piala Konfederasi Floorball Asia Oceania (AOFC) di Arena Sukan Alonte, Binan, Laguna, Filipina selepas disekat Jepun 9-5.

Sebelumnya mereka mengalahkan Pakistan 5-1, Korea Selatan 5-3, tuan rumah 5-4 dan India 10-9 selain dikalahkan Thailand 8-4,
“Kami sasarkan warna pingat yang lebih baik daripada dua Sukan SEA lalu. Diletakkan di bawah Kategori B, MFA mahu membalas kepercayaan dan peluang yang diberikan MOM ke Sukan SEA Filipina (30 November hingga 11 Disember ini).

“Walaupun tidak mendapat dana bantuan kerajaan, MFA bertuah kerana ditawarkan Majlis Sukan Negara untuk menggunakan Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur sebagai pusat latihan ke Sukan SEA. Setakat ini kami berlatih di Puchong (tertutup) dan Universiti Malaya (terbuka),” kata Presiden MFA, Dr. Rizal Mohd. Razman.

Skuad floorball negara turut mendapat suntikan semangat dalam persediaan menghadapi Sukan SEA dengan sumbangan penajaan pakaian rasmi daripada Figos yang bernilai kira-kira RM30,000 selepas perjanjian persefahaman di Puchong, Selangor semalam.

Katanya, pemenang emas lelaki dan wanita Sukan SEA 2015, Singapura kekal sebagai kuasa utama floorball di rantau Asia Tenggara manakala kemampuan Thailand dan Malaysia boleh dianggap seimbang selain Indonesia dan Filipina yang kian meningkat.

“Thailand dan Filipina menggunakan khidmat pemain import yang mempunyai dwikerakyatan seperti dari Sweden – antara kuasa utama floorball dunia. Mungkin mereka menyukarkan laluan kita dalam Sukan SEA tetapi dalam perlawanan, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.