Pekerja kilang mohon bantuan kurangkan deritanya

Pekerja kilang mohon bantuan kurangkan deritanya
PENGERUSI NGO 99 Kebajikan Insan Selangor, Muhd. Ali Zakariah (empat dari kiri) sedang bertanya khabar pesakit tulang belakang, Mat Zin Husin (tiga dari kiri) semasa kunjungan prihatin NGO to tersebut di Pangsapuri Seri Proton di sini semalam. / Foto: Arrazaq Nazri

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

KLANG – Seorang pekerja kilang kini menderita akibat sakit tulang belakang yang kronik selepas terbiasa mengangkat bebanan berat dengan kaedah salah sejak dia mula bekerja 30 tahun lalu.

Berikutan itu, Mat Zin Husin, 54, kini tidak mampu bekerja seperti biasa dan terbaring lesu di katil.

“Kesihatannya juga bertambah buruk apabila turut menghidap penyakit kencing manis yang menjadikan badan saya menyusut.

“Sudah tiga bulan saya tidak bekerja kerana penyakit ini. Ini menyebabkan saya tidak mendapat gaji yang penuh,” katanya kepada Bebasnews selepas menerima kunjungan Pengerusi NGO, 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan), Muhd. Ali Zakariah di Klang hari ini.

Yang hadir sama ialah Setiausaha 99 Kesan, Ab. Rahman Nordin.

Mat Zin berkata, beliau amat memerlukan bantuan lampin pakai buang, kos rawatan dan menampung belanja seharian.

Katanya, pendapatannya kini kurang daripada RM3000 akibat tidak mampu bekerja seperti biasa untuk mendapat gaji lebih tinggi.

“Saya juga  perlu menanggung isteri, Normah Abdul Rahman, 52,dan seorang anak Zulfakri berusia 20-an yang masih tidak mempunyai kerja tetap.

“Dalam keadaan uzur begini saya tidak boleh aktif bergerak. Harap ada yang sudi membantu,”katanya.

Sementara itu Muhd. Ali berharap pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa datang melawat Mat Zin untuk memberikan bantuan yang sepatutnya pada kadar segera.

“Kami berharap peruntukan yang sewajarnya seperti kerusi roda dan yang berkaitan diberikan kepada saudara Mat Zin, “katanya.

Mereka yang ingin menyumbang boleh mengunjungi Mat Zin di Pangsapuri Seri Proton Blok B 4-21 atau memasukkan sumbangan dalam  akaun Mat Zain di Bank Simpanan Nasional bernombor 101614100100645 atau menghubungi beliau di talian 0122487138.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.