Pemuda UMNO minta Shu Qi mohon maaf

Pemuda UMNO minta Shu Qi mohon maaf

JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Johor meminta Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mohon maaf kerana didakwa mempersendakan tulisan Jawi kerana mengaitkannya dengan majalah lucah.

Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pada satu majlis di Kluang baru-baru ini, pemimpin DAP itu secara bersahaja menyatakan bahawa sekiranya umat Islam melihat perkara itu pasti akan menolak tulisan Jawi kerana menyifatkannya digunakan di tempat tidak sepatutnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan pemimpin itu sebagai biadap dan berbaur hasutan.

“Justeru, Pemuda UMNO Johor menggesa Wong Shu Qi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang dibuat mengenai tulisan Jawi selain perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang secara terang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

“Jika tiada permohonan maaf, Pemuda UMNO Johor menggesa pihak berkuasa di negara ini untuk mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kata-kata yang menghasut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hairi berkata, sebagai seorang wakil rakyat yang memegang kukuh Rukun Negara, apakah wajar ucapan dan kenyataan seumpama itu keluar daripada mulut beliau, malah mengapa perlu beria-ia sehingga menjadikan perkara itu sebagai bahan ucapan pada majlis terbuka.

Beliau mendakwa tindakan itu dibuat kerana merupakan sebahagian usaha DAP dan pemimpin dalam parti itu yang takut, gerun dan tidak sanggup melihat tulisan Jawi dimartabatkan semula di negara ini, sekali gus langkah jijik dibuat dengan mencipta persepsi buruk kepada masyarakat bukan Islam terutamanya kaum Cina. – BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.