ATM antara yang terbaik, Yew Yin tahukah?

Yew Yin melangkaui 'batas' dalam melontarkan idea serta cadangan beliau itu dengan menjadikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai contoh untuk pelaksanaan pengurangan penjawat awam.

ATM antara yang terbaik, Yew Yin tahukah?
Oleh S. MALIK

 

ENTAH apa yang difikirkan oleh ahli perniagaan Koon Yew Yin ketika memuat naik tulisan mengenai cadangan beliau kepada kerajaan supaya mengurangkan penjawat awam.

Benar, isu pengurangan penjawat awam ini bukan baharu. Malah ia telah `dimainkan` sebelum Pakatan Harapan menjadi kerajaan lagi. Beberapa pemimpin pakatan tersebut pernah mencadangkan perkara serupa dan isu ini sering menjadi perdebatan.

Namun Yew Yin melangkaui ‘batas’ dalam melontarkan idea serta cadangan beliau itu dengan menjadikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai contoh untuk pelaksanaan pengurangan penjawat awam.

Sudah tentunya memberi contoh anggota ATM pada era aman ini tidak melakukan sebarang tugas ketenteraan dan hanya makan serta tidur sahaja adalah kenyataan yang keterlaluan.

Malah, Yew Yin mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah melepaskan tembakan melainkan kepada papan sasaran. Bukan itu sahaja, beliau turut mencadangkan supaya anggota tentera ini digunakan untuk menggantikan pekerja asing yang diupah di ladang-ladang Felda.

Sudah tentunya contoh serta cadangan seperti dalam tulisan Yew Yin itu mengguris  hati anggota pasukan keselamatan itu. Siapa tidak terasa hati apabila penat lelah bertugas menjaga keamanan negara agar rakyat dapat hidup dalam suasana yang aman dan tenteram, dianggap hanya makan dan tidur saja?

Bukan hanya anggota tentera, tetapi rakyat juga marah dengan tulisan tersebut. Warga maya malah memberi komen negatif terhadap isi dan cadangan dilontarkan beliau.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong sehingga mengeluarkan kenyataan segera bagi memperbetulkan keadaan. Menyifatkan Yew Yin salah faham terhadap peranan anggota ATM.

Kenyataan balas untuk menerangkan perkara itu oleh Chin Tong difahami kerana dilaporkan sebelum ini bahawa Yew Yin antara penyumbang dana kepada Pakatan Harapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Suka atau tidak, tulisan Yew Yin itu sudah tentunya akan dikaitkan dengan kepemimpinan Pakatan Harapan. Disebabkan itu reaksi segera perlu diberikan pentadbiran kerajaan untuk memperbetulkan situasi.

Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Walaupun Chin Tong cuba untuk meredakan keadaan, namun luka daripada ‘penghinaan’ yang disalurkan melalui penulisan Yew Yin itu sudah berbekas dalam hati rakyat khususnya anggota tentera.

Sebenarnya agak pelik kenyataan serta cadangan seperti itu boleh keluar daripada Yew Yin yang telah menjangkau usia lebih 80 tahun. Sepatutnya, sebagai seorang rakyat ‘veteran’ Yew Yin  lebih memahami kepentingan anggota tentera dan peranan yang dimainkan mereka dalam menjaga keamanan negara.

Tidak dinafikan negara ketika ini dalam era aman, tiada peperangan. Tetapi adakah itu bermaksud anggota tentera tiada kerja untuk dilakukan? Hanya makan dan tidur seperti ditulis Yew Yin?

Tahukah Yew Yin anggota tentera selain menjaga keamanan negara, turut membantu beberapa urusan jabatan kerajaan lain? Pernahkah Yee Yin sedar anggota tentera juga membantu membina rumah, membantu mangsa banjir, membantu membina jalan raya di kawasan pedalaman?

Tahukah Yee Yin anggota ATM turut terlibat dalam misi pengaman di negara luar di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bukan itu sahaja, di negara luar, anggota ATM sering menjadi angkatan contoh dan diberikan pujian kerana disiplin dalam melaksanakan tugas. Mereka bukanlah makan dan tidur sahaja seperti ditulis Yew Yin.

Banyak lagi peranan yang dimainkan anggota tentera, bukan hanya mengangkat senjata dan pergi berperang sahaja.

Yew Yin boleh melontarkan pandangan dan memberi cadangan. Ini adalah negara demokrasi. Tetapi janganlah sampai menjadi satu bentuk penghinaan.

Jika tidak faham mengenai peranan serta tugas anggota ATM hari ini, Yew Yin boleh saja meminta pandangan terlebih dahulu daripada mereka yang arif. Boleh saja meminta Chin Tong menerangkan serba sedikit mengenai peranan anggota tentera.

Bukan secara melulu memberi contoh yang boleh menjatuhkan maruah serta martabat anggota tentera.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.