Dong Jiao Zong memang rasis – Khaled

0
62
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis adalah sangat tepat dan berasas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, itulah  pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu selama ini.

“Jarang saya sehaluan pandangan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi kali ini saya bersetuju. Sokongan kepada pandangan Tun Dr. Mahathir ini bersandarkan kepada beberapa alasan.

“Pertama, kalau kita semak, selama berpuluh-puluh tahun, pendidikan Cina di negara ini dilaksanakan tanpa sebarang sekatan oleh kerajaan. Daripada bahasa pengantar, kurikulum, kaedah pengajaran dan segala-galanya, semuanya tiada elemen nasional dan kepentingan watan.

“Semuanya adalah tentang pendidikan, budaya, citra dan aspirasi yang tidak selari dengan kemajmukan Malaysia. Sekali pun begitu, kerajaan tetap memberi muka, dana dan infrastruktur daripada kerajaan juga bertambah saban tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya,  baru sahaja kerajaan ingin memperkenalkan setakat enam muka surat pendidikan seni khat tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu, pertubuhan itu terus melatah, melompat dan dengan pantas melabelkan ikhtiar tersebut sebagai usaha Islamisasi yang sistematik.

Ternyata, menurut Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor, pertubuhan itu tidak memahami apa itu Islamisasi.

“Mereka hanya hidup dalam kepompong sendiri sehingga tiada secebis pun kefahaman tentang Islamisasi. Melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik malah ‘Melayufobik’.

“Punca penentangan melulu tersebut hanya satu – prejudis dan kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, alasan kedua, golongan tersebut lupa mereka tinggal di Malaysia – tempat yang mereka gelar tanah air secara berpilih-pilih dan bermusim, sedangkan negara ini adalah negara yang majmuk dengan multibudaya.

Beliau berkata, apakah sangat jelik untuk belajar tentang budaya dan tradisi bangsa lain sebanyak enam lembar dalam tempoh 11 tahun tempoh sekolah kebangsaan, sedangkan manfaat besar latihan tanpa peperiksaan tersebut mampu membenihkan kefahaman tentang kemajmukan Malaysia yang meraikan kepelbagaian.

“Ketiga, selama wujudnya Dong Jioa Zong ini, selama itulah saya tidak pernah mendengar sumbangan mereka ke arah mengukuhkan pendidikan nasional. Yang hanya mereka perjuangkan adalah pendidikan Cina dengan segala karakter kecinaannya. Bukan bersumberkan aspirasi nasional.

“Tidak pernah kita dengar sebarang kompromi, toleransi mahupun solusi bagi pendidikan nasional. Yang ada, hanya kepentingan mereka yang langsung tidak boleh dibincangkan oleh bangsa lain. Jika tidak, timbullah hujah penindasan, hujah hak asasi, hujah demokrasi yang sekali lagi digunakan secara berpilih-pilih,” katanya.

Beliau berkata, akhir sekali bagi mereka yang merasakan khat adalah sia-sia, ingatlah bahawa setiap ilmu itu penting dan bernilai kerana warisan negara tidak akan pernah hilang nilai dan kepentingannya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here