Khat Jawi : Kerajaan Bertolak Ansur, Pembangkang Tidak

Oleh DATUK PROF. EMERITUS DR. HASHIM YAACOB & ADI SUKMA

 

Kita mendengar bahawa Lim Kit Siang telah dicemuh oleh masyarakat cina konstituennya sendiri di perjumpaan perayaan Hantu Lapar pada 9 Ogos 2019. Sebabnya ialah kerana pendirian beliau yang tidak memberi tentangan kepada pelaksanaan tulisan khat huruf jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia tahun 4 di sekolah. Dalam hal ini, Lim Kit Siang adalah berfikiran waras.

Begitu sekali kebanyakan masyarakat bukan Melayu menentang pelaksanaan ini sehingga sanggup mencemuh pemimpin agung mereka sendiri.

Sayugia diketahui bahawa kemasukan tulisan khat jawi ke dalam buku Bahasa Melayu tahun 4 pada mulanya hanyalah sebanyak 6 muka surat sahaja daripada 164 muka surat. Bilangan ini terlalu kecil dan mengikut Lim Kit Siang kalau 3 muka surat boleh menyebabkan budaya Cina pupus maka dia fikir ada masalah.

Kalau dulu sebelum kerajaan PH, isu penentangan ini tidak akan timbul kerana mereka tidak berani berbuat demikian. Kita suka atau tidak, kita mesti menerima hakikat bahawa sejak kerajaan PH memerintah banyaklah sudah perkara-perkara yang bersabit dengan orang-orang Melayu ditentang mereka, yang sebelum ini tidak terjadi. Tun Mahathir pun berkata begini.

Mengapakah ini boleh berlaku sekarang ini? Kerana mereka melihat orang Melayu senang bertolak ansur. Apa yang mereka desak, kerajaan tunduk. Perangai bertolak ansur seperti ini dari dulu lagi telah merugikan perpaduan negara.

Kami terpanggil untuk  menulis  hal  ini  kerana  perkara-perkara  yang  telah banyak ditentang oleh kebanyakan bukan Melayu adalah perkara-perkara yang boleh meretak atau memusnahkan perpaduan kita yang terdiri daripada pelbagai kaum. Demi masa depan Malaysia, penulis mesti mengemukakan pendapat supaya negara ini akan terus berada di dalam kedamaian kerana kita tidak berbalah sesama sendiri mengenai perkara-perkara yang kecil.

Apakah yang dibimbangkan oleh  kumpulan pendidikan Cina,  Tamil,  serta pemimpin akar umbi DAP mengenai tulisan khat jawi ini?

Khat adalah semata-mata tulisan dan ianya tidak ada kena mengena dengan agama Islam.

Begitulah juga tulisan rumi adalah semata-mata huruf sahaja dan tidak ada kena mengena dengan agama Kristian.

Orang barat menulis dalam bahasa mereka menggunakan huruf rumi tetapi itu tidak bermakna tulisan dalam rumi itu melambangkan agama Kristian. Dalam bahasa apakah ‘Bible’ ditulis? Bible pernah ditulis dalam berbagai-bagai bahasa termasuk bahasa Hebrew, Yunani, Arab, Inggeris, Jawi dll mengikut masyarakat pada waktu itu. Penggunaan  huruf-huruf  dalam  tulisan-tulisan  ini tidaklah  melambangkan  ciri-ciri agama Kristian mahupun agama lain.

Al Quran pun ditulis menggunakan tulisan Cina. Tujuannya ialah supaya orang yang tidak fasih dalam tulisan lain boleh mengerti. Tetapi tulisan Cina ini tidak sekali- kali mengajak orang Cina untuk memeluk Islam. Tulisan dalam huruf-huruf Cina itu adalah semata-mata untuk menyampaikan maksud di dalam Al Quran itu.

Dari dulu kita bersekolah dengan menggunakan tulisan rumi. Tetapi orang Melayu tetap dengan agama Islamnya dan orang bukan Melayu tetap dengan agama mereka masing-masing.

Ini adalah bukti bahawa penggunaan huruf tidak ada kaitan langsung dengan apa pun agama. Oleh yang demikian, penentang-penentang tulisan khat jawi ini tidaklah perlu bimbang. Terimalah sahaja apa yang telah diputuskan oleh kerajaan.

Bukankah kerajaan itu dipilih oleh anda yang juga rakyat Malaysia?

Pada mulanya, saya dengar bahawa Dong Zong bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasukkan 6 muka surat seperti yang tersebut di atas. Tetapi kini kita mendapat tahu bahawa bilangan 6 muka surat itu telah pun dikurangkan kepada 3 muka surat oleh KPM.

Enam muka surat itu adalah hasil rekomendasi daripada pihak-pihak yang berpengalaman dan bijak pandai. Tetapi akhirnya dikalahkan oleh penentang-penentang. Maka jadilah pihak kerajaan sebagai pihak yang sangat bertolak ansur dan membelakangkan saranan bijak pandai, dan juga pandangan daripada kumpulan-kumpulan Melayu. Contohnya, Sdr. Muhammad Ashraf Mustaqim Badrul Munir selaku Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) yang juga mewakili 90 gabungan NGO Nasionalis yang lain telah membantah tindakan Dong Zong yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan tulisan khat jawi.

Katanya lagi, “Dong Zong nyata berbohong untuk menambah kemarahan kelompok tertentu dengan mengatakan bahawa pengajian khat ini akan mengambil ayat-ayat Al Quran…”

Kerajaan pada mulanya mahukan hanya 6 muka surat tetapi kemudiannya menukar keputusan untuk mengurangkannya kepada 3 muka surat. Lebih hina lagi kepada keputusan ini ialah apabila pengajaran khat jawi ini akan hanya diteruskan sebagai modul pilihan di sekolah Cina dan Tamil. Ini bermaksud para guru mempunyai opsyen sama ada mahu mengajar ataupun tidak tulisan khat huruf jawi.

Kerajaan telah bertolak ansur dengan penentang-penentang tulisan khat jawi ini, maka itu penentang-penentang juga hendaklah bertolak ansur dan menerima keputusan ini.

Bagi saya, 3 atau 6 muka surat tidaklah menjadi soal asalkan ini dapat memuaskan hati kita semua. Kenapakah kerajaan hanya bertolak ansur kepada kumpulan- kumpulan penentang ini sedangkan tidak mahu mengambil berat mengenai saranan- saranan yang dibuat oleh banyak kumpulan  termasuk kumpulan AGRA dan 90 gabungan NGO Nasionalis seperti disebutkan di atas.

Orang-orang yang faham bahawa sebelum tulisan rumi masuk ke alam Melayu, tulisan yang pernah digunakan oleh orang Melayu adalah tulisan jawi.

Tun Mahathir berkata bahawa untuk menyenangkan orang-orang bukan Melayulah maka tulisan jawi itu ditukar kepada tulisan rumi. Ini adalah salah satu daripada kompromi yang telah dibuat oleh orang-orang Melayu, tetapi berapa banyakkah orang-orang bukan Melayu yang tahu tentang perkara ini?

Orang-orang Melayu yang sayangkan tulisan jawi tidak kiralah daripada parti mana pun hendaklah berbuat sesuatu untuk mempertahankan tulisan khat jawi, terutama dalam pengajarannya pada kanak-kanak yang masih muda usia di sekolah.

Tun  Mahathir  melabelkan  Dong  Zong  sebagai rasis.  Kata  Tun  lagi,  dulu kerajaan menubuhkan sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan di mana sekolah Cina, Tamil, dan sekolah kebangsaan ditempatkan di dalam sebuah kampus tetapi mereka tidak mahu. Mereka takut anak-anak mereka akan bercampur dengan anak- anak Melayu, mereka tidak suka kepada Melayu, mereka menentang semuanya, mereka tidak bersetuju dengan kesemuanya.

Tulisan khat jawi ini adalah warisan Bahasa Melayu, dipelihara melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang biasa juga seperti Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan melalui Fasal 9 menyatakan tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Sebab itulah dari dulu lagi kami telah menulis supaya Akta Hasutan 1948 tidak dimansuhkan keseluruhannya. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian, kami melihat pada masa ini Akta tersebut masih relevan untuk mengawal hak kebebasan bersuara di negara ini.

Tragedi peristiwa 13 Mei 1969 telah menyebabkan Akta itu dipinda pada tahun 1971 untuk memperluaskan skop pemakaiannya. Mempersoalkan Perkara 152 (Bahasa Melayu) di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah sesuatu yang mempunyai kecenderungan untuk menghasut.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here