Pengorbanan Aidiladha 2016 besar ertinya buat Latif

Pengorbanan Aidiladha 2016 besar ertinya buat Latif
ABDUL Latif Romly (kanan) membantu menyembelih kambing pada Program Ibadah Korban MSN di Bukit Jalil hari ini. – Foto MSN
Oleh KAKI BANGKU

 

SETIAP pengorbanan yang tulus dan murni, pasti ada ganjaran yang setimpal.

Abdul Latif Romly sentiasa berpegang kepada prinsip itu apatah lagi telah terbukti apabila dia meraih pingat emas lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Ketika itu saya menyambut Hari Raya Aidiladha begitu lama di perantauan termasuk berlatih di Jerman buat kali pertama sebagai atlet.

“Tentu sekali saya puas apabila pengorbanan itu berbalas dengan pingat emas buat negara,” katanya pada Program Ibadah Korban Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Anak jati Kampung Paya Kelubi, Beseri, Kangar, Perlis ini mencatat 7.60 meter yang juga rekod baharu dunia olahraga para, mengulas mengenai erti pengorbanan seorang atlet negara sempena Aidiladha yang jatuh Ahad lalu.

Latif kini memburu penampilan kedua dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini selepas meraih tempat ketujuh pada temasya di Kuala Lumpur, dua tahun lalu dengan catatan 7.34 m.

“Saya akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, hujung minggu ini. Mungkin ini peluang terakhir saya untuk melepasi had kelayakan ke Sukan SEA.

“Catatan terbaik saya tahun ini hanyalah 7.49 m. Namun kalau masih gagal mencapainya, mungkin bukan rezeki saya, cukup sahaja jika dapat cecah 7.60 m pun.

“Saya pun tidaklah letakkan harapan tinggi tetapi usahanya memang kena sedaya upaya. Hanya ada seorang pelompat jauh negara yang sudah layak ke Sukan SEA, Andre Anura dari Sabah dengan catatan 7.72 m,” katanya.

Andre melakukannya di Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu malah dia mempunyai catatan 15.93 m bagi acara lompat kijang.

Sementara itu, penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Lailin Abu Hassan menyifatkan pengorbanan beraksi jauh di perantauan lebih mencabar baginya yang telah berkeluarga berbanding ketika bergelar pemain yang masih bujang.

“Saya pernah mengalaminya ketika Kelayakan Olimpik 1992 dan alhamdulillah, pengorbanan itu berbaloi apabila pasukan negara berjaya layak ke temasya di Barcelona itu,” katanya yang turut menyertai program MSN tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, tahun ini pihaknya mendapat haiwan korban yang terbanyak berbanding sebelumnya iaitu tiga lembu dan sembilan kambing.

“Ibadah korban MSN sempena Aidiladha ini memang menjadi program tahunan kami daripada kalangan warga MSN, atlet dan jurulatih serta masyarakat sekeliling Sri Petaling, Bukit Jalil dan Puchong sejak 2003.

“Tahun ini kami buat pada hari terakhir tasyrik memandangkan ramai pesertanya hari ini baru balik bertugas setelah bercuti raya sejak hujung minggu lalu. Kami mengagihkan daging korban ini kepada fakir miskin, anak yatim, maahad tahfiz dan asnaf,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.