Selamatkan Utusan Melayu, Tapi Jangan Menangguk Di Air Keruh

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penanggungan petugas syarikat Utusan Melayu pada masa ini.

Selamatkan Utusan Melayu, Tapi Jangan Menangguk Di Air Keruh
Oleh JOHAN JAAFFAR

 

  • Cerita petugas Utusan Melayu terpaksa memberi air sirap kepada anak kecil mereka bagi mengganti susu yang sudah tidak mampu dibeli cukup menyedihkan

  • Utusan Melayu memang dimiliki oleh UMNO sejak tahun 1961 tetapi ia sentiasa diberikan ruang untuk menegur, mengkritik malah mendedahkan perilaku pemimpin UMNO sendiri

  • Akhbar ialah entiti perniagaan, sepatutnya ia tidak tergambar sebagai lidah rasmi mana-mana parti politik

  • Utusan Melayu ialah suara keramat orang Melayu dan ia bermula dengan keringat dan air mata wartawan Melayu yang komited pada tahun 1939

  • Sesiapapun yang memiliki Utusan Melayu harus punya cukup wang atau punca wang bagi menjalankan perniagaannya, bukan menagih simpati mana-mana pihak

  • UMNO harus membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pegangannya atau melepaskannya seperti yang dilakukannya terhadap kepentingannya di Media Prima Berhad (MPB)

  • Pilihan yang ada ialah menjual Utusan Melayu di pasaran terbuka, siapa yang berminat dan mampu boleh mengambi laih syarikat itu

  • Pemilik baharunya harus menghormati ratusan mantan petugasnya yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) selain petugas yang masih ada

  • Pemilik Utusan Melayu perlu mewujudkan struktur organisasi yang betul, bukan seperti sekarang di mana Pengerusi Eksekutif juga bertindak sebagai Ketua Pengarang

  • Ada kebimbangan umum bahawa aset yang ada akan dijual atas alasan untuk melunaskan semua komitmen kewangan tetapi hasilnya masuk poket sendiri.

 

BETAPA BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penanggungan petugas syarikat Utusan Melayu pada masa ini.

Orang luar hanya boleh menumpah simpati.

Sebagai mantan Ketua Pengarang, saya tentunya berasa amat sedih dengan apa yang berlaku.

Sebahagian daripada mereka yang terlibat merupakan petugas yang pernah bekerja dengan saya. Saya kenal kebanyakan daripada mereka, saya tahu kemampuan mereka, profesionalisme mereka, juga dedikasi mereka.

Maka itu apabila dilaporkan bahawa ada petugas Utusan Melayu yang terpaksa memberi air sirap kepada anak kecil mereka untuk menggantikan susu yang sudah tidak mampu dibeli, hati saya berasa sayu.

Saya meyakini kenyataan itu, dan saya percaya sidang media Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) itu bukan gimik untuk mendapat publisiti.

Kenyataannya ialah petugas sudah tidak dibayar gaji beberapa bulan.

SIDANG media Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) baru-baru ini.

Malah sewaktu saya sedang menulis rencana ini, seorang editor kanan Utusan Melayu menghantar mesej ini pada saya, “Tak pasti nasib kami…saya pun masih bertahan..masuk tiga bulan tak bergaji.”

Seorang anggota kesatuan sekerja Utusan Melayu memohon bantuan saya untuk meuar-uarkan tabung #SolidaritiMedia bagi membantu teman-teman di Utusan Melayu.

Secara jujur saya tidak pernah membayangkan hal ini boleh berlaku pada syarikat Utusan Melayu. Ini bukan bermaksud Utusan Melayu tidak pernah menghadapi masalah kewangan sebelum ini.

Pada zaman beberapa orang ketua pengarang sebelum saya, hal ini pernah berlaku.

Sewaktu gawat ekonomi melanda negara mulai tahun 1997, kami menghadapi tekanan aliran tunai yang serius. Kos pengeluaran akhbar melonjak akibat harga kertas melambung tinggi dek kejatuhan nilai ringgit.

Kami juga baru membeli mesin cetak dengan nilai Dolar Amerika.

Saya masih ingat bagaimana Timbalan Ketua Pengarang saya ketika itu, Datuk Khalid Mohd dan pimpinan pengurusan lainnya menggerakkan satu task-force untuk menangani kesannya pada kos dan pendapatan kami.

Kami terpaksa berjimat, berbelanja secara berhemah dan melaksanakan langkah-langkah fiskal yang sewajarnya.

Tetapi krisis yang melanda Utusan Melayu hari ini sama sekali berbeza. Utusan Melayu dan akhbar utamanya Utusan Malaysia dan Kosmo menghadapi bukan sahaja krisis kewangan tetapi krisis kepimpinan dalaman selain keyakinan pembaca dan pengiklan.

Mereka beroperasi dalam dunia yang sama sekali berbeza. Era saya dan ketua-ketua pengarang sebelum saya merupakan era yang lain.

Internet belum bertapak kukuh. Sosial media masih belum wujud.

Maka itu keutamaan kami lebih merupakan persaingan sesama akhbar arus perdana yang lain.

Akhbar masih menguasai dua pertiga perbelanjaan iklan (advertisement expenditure) keseluruhannya ketika itu.

Kami juga bergerak dalam suasana politik yang berbeza.

Utusan Melayu sebagai syarikat telah diambil alih oleh UMNO pada tahun 1961. Akibat pengambilalihan itu, kebanyakan wartawan Utusan Melayu terlibat dalam mogok yang berakhir selama 90 hari.  Mogok itu tamat pada 21 Oktober 1961.

Maka bermulalah era baharu bagi Utusan Melayu, di bawah UMNO.

Pimpinan editorial Utusan Melayu sentiasa “sedar” siapa yang memiliki syarikat ini. Tetapi ada semacam persefahaman di antara pimpinan UMNO dengan pimpinan editorial Utusan Melayu. Akhbar milik Utusan Melayu bukan lidah rasmi UMNO.

Maka itu ia tidak boleh bertindak sebagai pamphlet parti.

Ia tidak boleh menjadi alat untuk mana-mana individu menggunakannya untuk kepentingan diri.

Lebih penting lagi syarikat Utusan Melayu merupakan sebuah perniagaan.

UMNO tidak membiayai syarikat itu untuk hidup atau berkembang. Maka pimpinan pengurusan dan editorial yang harus bekerja mendapatkan wang.

Syarikat ini harus menjalankan perniagaan yang difikirkan sesuai untuk tujuan itu. Dalam konteks persuratkhabaran, akhbar bergantung pada iklan. Tanpa iklan, akhbar tidak boleh bertahan.

Setiap akhbar di pasaran yang dijual akan mencatatkan kerugian tanpa sokongan iklan.

Kemuncak daripada daya usaha perniagaan Utusan Melayu ialah pada 16 Ogos 1994 apabila syarikat itu disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL, sekarang Bursa Malaysia).

Ketua-ketua  pengarang Utusan Melayu amat sedar peranan sebuah akhbar.

Ia mesti bebas (sekurang-kurangnya daripada segi persepsi) dan terbuka. Ia harus berani membuat teguran, dengan izin, without fear and favour. Ia harus menjadi mata dan telinga rakyat.

Akhbar yang kami pimpin tidak pernah melupakan kepentingan bahawa ia adalah sebuah usaha niaga.

Bahawa kami mesti berani dan jujur. Kami mesti adil dan saksama (sekali lagi, sekurang-kurangnya daripada segi persepsi) dan kami mesti bertindak secara profesional.

Sejarah boleh menilai kami.

Tetapi kami memainkan peranan dalam banyak hal, termasuk pembongkaran dan pendedahan salah laku pimpinan termasuk pemimpin UMNO sendiri.

Atas dasar itulah tidak ada ketua-ketua pengarang Utusan Melayu sebelum Datuk Khalid Mohd yang tidak meninggalkan Utusan Melayu tanpa kontroversi.

Mungkin pimpinan parti tidak menyenangi pendekatan mereka atau mereka membuat sesuatu “kesalahan” pada parti.

Berapa ramaikah ketua pengarang dan petugas Utusan Melayu yang ditahan di bawah pelbagai akta dan undang-undang?

Allahyarham Said Zahari  ditahan di bawah ISA selama 17 tahun!

Saya pernah diperingatkan bahawa menjadi Ketua Pengarang bererti sebelah kaki dalam ISA.

Saya tidak berani bercakap bagi pihak Tan Sri Melan Abdullah dan Tan Sri Mazlan  Nordin, tetapi saya boleh bercakap bagi pihak Allahyarham Tan Zainuddin Maidin (Zam) dan diri saya sendiri.

Kami juga merupakan sebahagian percaturan politik dalaman UMNO.

Dan kami tersingkir kerana itu. Kami faham dan tidak pernah menyesalinya.

Namun demikian ingatan dan kasih kami tidak pernah berkurang pada Utusan Melayu.

Mungkin Utusan Melayu ada keramatnya tersendiri,  daripada 12 orang yang dianugerahi Tokoh Wartawan Negara setakat ini, enam merupakan “lepasan” Utusan Melayu.

Saya bangkitkan semua ini kerana ingin mengingatkan pimpinan Utusan Melayu tentang cabaran semasa yang dihadapinya.

Sesiapa sahaja boleh mengambil alih Utusan Melayu.

Tetapi ambillah dengan niat yang baik dan berlaku adillah pada petugas dan mantan petugasnya.

Ini bukan syarikat berprestij  bagi menambah senarai kejayaan pada CV sesiapa. Ini merupakan syarikat keramat yang terhasil dari jerih perit dan air mata orang Melayu.

Bacalah pelbagai buku dan kajian mengenai sejarah syarikat Utusan Melayu, khususnya buku The Origins of Malay Nationalism oleh W.R. Roff.

Buku ini dengan jelas meriwayatkan kisah menubuhkan Utusan Melayu.

Menurut Roff, idea asalnya ialah untuk menerbitkan akhbar harian “that would be owned, financed and staffed solely by Malays of the Archipelago.”

Dalam tulisan saya sendiri sewaktu mengulas buku Said Zahari, Meniti Lautan Gelora dalam akhbar New Straits Times, 16 Jun 2001, saya juga menyentuh bagaimana akhbar Utusan Melayu muncul pada tahun 1939.

Bacalah juga rentetan peristiwa penting mengenai Utusan Melayu yang dicatatkan oleh Tan Sri Zam dalam bukunya Di Depan Api Di Belakang Duri.

Sesuatu berlaku pada Utusan Melayu dalam beberapa tahun menjelang Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Mungkin UMNO memerlukan Utusan Melayu lebih dari sepatutnya.

Mungkin dalam keadaan lemah dan diasak oleh media sosial yang menentangnya, UMNO menggunakan Utusan Melayu sebagai lidah rasminya – ada kalanya melancarkan serangan dan kecaman ke atas tokoh-tokoh yang pernah dijulangnya sebelum ini dengan cara yang keterlaluan.

Agaknya itulah tipping point bagi Utusan Melayu. Ia dianggap tidak lagi dapat memahami gerak nadi rakyat yang mendukungnya. Ia semakin terpinggir. Kredibilitinya terjejas. Edarannya terpukul. Pengiklan melarikan diri.

Tan Sri Zam banyak kali membuat teguran, ada kalanya pedas menyinga.

Selama 20 tahun sejak saya meninggalkan Utusan Melayu, tidak pernah sekali saya menegur atau mengkritik Utusan Melayu.

Tetapi saya terpaksa membuat teguran pada 5 Jun 2018 bersama-sama Tan Sri Zam tentang pendirian Utusan berhubung pelantikan Peguam Negara.

Kami merasakan bahawa Utusan Melayu masih tidak menyedari realiti politik baharu akibat kekalahan UMNO dan BN. Kami juga merasakan bahawa sentimen perkauman yang dimainkan dalam isu pelantikan Peguam Negara itu tidak akan menguntungkan sesiapa.

Secara jujur kami mahu Utusan Melayu sedar realiti baharu bagi negara ini. Kami sedar bahawa Utusan Melayu banyak dipersalahkan kerana tumbangnya UMNO dan BN.

Akhbar milik Utusan Melayu kehilangan pembaca dan pengiklan. Tidak cukupkah itu untuk menyedarkan pimpinan Utusan Melayu?

Hari ni Utusan Melayu harus pula menerima hakikat bahawa gaji petugas tidak boleh dibayar, bayaran VSS yang dijanjikan pada mantan petugasnya tidak boleh ditepati.

Sewaktu Utusan Melayu ghairah menagih pimpinan PH dalam menepati janji manifesto mereka, petugasnya harus juga menanyakan janji pimpinannya untuk memastikan gaji mereka dibayar.

Saya melihat ada pimpinan baharu di Utusan Melayu sekarang, yang saya percaya mewakili kepentingan pimpinan tertentu dalam UMNO. Saya hargai siapapun yang berada di situ. Tetapi hargai jugalah petugas di sana. Mengapa ambil alih syarikat itu sekiranya tidak ada perancangan yang konkrit untuk menyelamatkan syarikat?

Kenapa gadai masa depan petugas?

Cadangan saya, jual sahaja syarikat ini pada sesiapa yang mampu dan berwang.

UMNO harus membuat keputusan apa perlu dibuat dengan Utusan Melayu. UMNO telahpun menjual 10 peratus kepentingannya dalam Media Prima Berhad (MPB).

Biarlah Utusan betul-betul diurus sebagai sebuah syarikat oleh mana-mana pembeli baharunya.

Saya juga berkongsi kehairanan kenapa sehingga ini tidak ada Ketua Pengarang yang dilantik di Utusan Melayu.

Mungkin juga Pengerusi Eksekutifnya mahu mengambil peranan Ketua Pengarang.

Saya cuma ingin mengingatkan bahawa tugas seorang Pengerusi Eksekutif atau CEO berbeza daripada tugas Ketua Pengarang.

Tidak ada super human dalam kalangan kita.

Dalam keadaan hari ini, Utusan Melayu memerlukan pimpinan editorial yang dinamik dan profesional dan ini bukan kerja isieng-isengan atau part-time.

Ada juga kebimbangan umum tentang agenda lain yang tersembunyi. Aset Utusan Melayu masih banyak. Nilainya masih puluhan juta. Pada masa ini tiada siapa yang akan marah sekiranya pengurusan menjual aset.

Jalan paling mudah ialah menggunakan tekanan dari petugas, kesatuan sekerja dan orang ramai untuk menjual aset yang ada, membayar apa yang tertunggak dan selebihnya masuk ke poket sendiri.

Saya tidak percaya bahawa itu pilihan pimpinan yang ada sekarang.

Ingatlah perjuangan orang-orang yang terdahulu – pengasas dan pembina, serta sekian ramai petugas daripada ketua pengarang, wartawan hingga jurutaip dan pengawal yang turut menyumbang pada pembangunan Utusan Melayu.

Usahlah menangguk di air keruh.

Ini syarikat keramat yang harus sentiasa diberikan kekeramatannya.

— BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.