Perbelanjaan pelancong meningkat 11.7%

0
44
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menunjukkan buku Survei Pelancongan Domestik Tahun 2018 bersama Ketua Setiausaha Datuk Isham Ishak (kanan) dan Ketua Perangkawan Malaysia , Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kiri) pada sidang media mengenai Prestasi Pelancongan Domestik Tahun 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini –fotoBERNAMA 

 

PUTRAJAYA — Tourism Malaysia hari ini mengadakan satu sesi sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia bagi membentangkan prestasi pelancongan domestik bagi tahun 2018.

Bilangan pelancong domestik menunjukkan pertumbuhan positif dua digit sebanyak 10.9% pada 2018 dengan merekodkan seramai 78.2 juta pelancong domestik berbanding dengan 70.5 juta pelancong domestik pada  2017.

Jumlah perbelanjaan oleh pelancong domestik juga mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.7% dengan merekodkan sejumlah RM60.4 bilion berbanding RM54.1 bilion pada 2017.

Purata perbelanjaan per kapita meningkat sebanyak 0.7% kepada RM772 berbanding RM767 pada 2017.

Perbelanjaan bagi aktiviti membeli-belah mencatatkan peratus tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan iaitu sebanyak 26.8%. Ini diikuti oleh perbelanjaan bahan api kenderaan (15.4%), makanan dan minuman (13.9%), perbelanjaan oleh isi rumah yang dilawati (13.7%), penginapan (13.0%), pengangkutan (8.4%), perbelanjaan aktiviti lain (4.9%), dan perbelanjaan sebelum perjalanan/pakej/bayaran masuk/tiket (3.9%).

Purata bilangan hari menginap (average length of stay) menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8% iaitu 2.44 malam pada tahun 2018 berbanding 2.35 malam pada 2017.

Negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong domestik adalah Pahang yang menerima seramai 9.2 juta pelancong. Ini diikuti oleh Johor (7.8 juta), Perak (7.6 juta), Selangor (6.8 juta) dan Negeri Sembilan (6.1 juta).

Pelancong domestik memilih penginapan tidak berbayar yang disediakan oleh saudara-mara dan rakan sebagai pilihan penginapan utama. Ia mencatatkan jumlah peratus tertinggi iaitu 68.2%, diikuti oleh hotel (20.4%), apartmen (4.4%), homestay atau rumah percutian (3.0%), chalet (2.3%) dan rumah rehat (1.7%).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, “Pelancongan domestik memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan sentiasa bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menyokong promosi pelancongan domestik.”

Beliau berkata, “Pertumbuhan pelancongan domestik 2018 yang memberangsangkan ini menyuntik semangat yang kuat untuk Kementerian merancakkan dan menjayakan kempen Visit Malaysia 2020. Ia merupakan suatu misi nasional dengan matlamat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam industri pelancongan global.”

“Harapan kami adalah agar rakyat Malaysia bersama-sama mendokong misi nasional ini dan terus menyokong industri pelancongan di Malaysia,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis sidang media hari ini adalah YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia.

Statistik berkaitan pelancongan domestik Malaysia ini adalah hasil daripada Survei Pelancongan Domestik yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here