Dr Zakir Naik kemuka notis tuntutan

Dr Zakir Naik kemuka notis tuntutan

KUALA LUMPUR — Penceramah bebas, Dr Zakir Naik mengemukakan notis tuntutan bagi menuntut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, membetulkan kenyataan dan memohon maaf berkaitan penerbitan bertajuk “Zakir Naik’s presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians”.

Penguambela dan Penguamcara Akberdin & Co, yang mewakili Dr Zakir berkata, notis tuntutan itu dihantar ke Pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya, di sini, hari ini.

Notis tuntutan itu antara lainnya meminta Kulasegaran membuat permohonan maaf, menarik balik artikel dan berhenti membuat sebarang kenyataan fitnah dan tidak benar terhadap Dr Zakir dan membayar ganti rugi serta kos perbelanjaan dalam perkara ini.

“Segala tuntutan yang dibuat oleh anak guam kami itu hendaklah diterbitkan dalam laman web dan media sosial dan dalam tempoh masa 48 jam dan sekiranya mereka gagal, kami akan meneruskan prosiding mahkamah bagi permohonan memfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu berkenaan terhadap Dr Zakir,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Kulasegaran dalam satu kenyataan bersama, mahu penceramah Dr Zakir tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Mereka menyatakan pendirian bahawa tindakan perlu diambil, yang mana Dr Zakir tidak boleh dibenarkan untuk terus berada di Malaysia.

“Perdana Menteri mengambil maklum kebimbangan kami ini. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan dan membuat keputusan dengan segera apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Gesaan yang dimuat naik di laman Facebook menteri berkenaan turut menyatakan kebimbangan berkenaan ucapan Dr Zakir yang kontroversi.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.