Opie Zami hampir gulung tikar kerana Kron

Melihat hasil kerja yang dilakukan oleh pasukan CGI (computer-generated imagery) atau imej janaan komputer yang dicadangkan oleh pihak Finas, Opie benar-benar kecewa kerana ia tidak mencapai piawaian yang beliau mahu.

Opie Zami hampir gulung tikar kerana Kron
ANTARA adegan yang terdapat dalam Kron.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

APA perasaan anda apabila melihat hasil kerja pasukan yang diperkenalkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tidak mencapai kualiti yang dijanjikan.

Itulah dilema yang dilalui oleh pelakon dan pengarah Opie Zami selepas berlakon dan mengarah filem berjudul Kron yang bakal ditayangkan pada umum, 22 Ogos ini.

Melihat hasil kerja yang dilakukan oleh pasukan CGI (computer-generated imagery) atau imej janaan komputer yang dicadangkan oleh pihak Finas, Opie benar-benar kecewa kerana ia tidak mencapai piawaian yang beliau mahu.

Rasa kecewa itu membuatkan filem yang menjalani penggambaran pada hujung 2016 itu tertangguh dan hanya lengkap sepenuhnya selepas beliau bertemu dengan Fazli Yasin dari LiL Studios yang melakukan semula CGI untuk filem arahan keduanya selepas Kecoh Hantu Raya Tok Cai pada 2013.

“Setelah siap, tontonan kali pertama sebelum saya jumpa Fazli dan pasukannya dari LiL Studios, saya kecewa dan rasa Malaysia tidak boleh membuat CGI kerana saya amat kecewa dengan hasil kerja CGI yang pertama.

“Saya tidak akan buat lagi filem berbentuk fiksyen sebab permulaannya begitu. Selepas saya berjumpa Fazli, dia banyak memberi semangat pada saya. Dia kata bang, tak apa kita usaha sebaik mungkin. Saya berpuas hati setakat ini dengan tahap kemampuan saya dari segi kewangan dan kreativiti.

“Setakat ini saya tengok ada banyak perkara yang harus diperbaiki. Di masa akan datang, insya-Allah saya akan buat lebih baik dan kekecewaan saya yang lalui telah saya lupakan dan bersemangat kembali untuk buat cerita fiksyen,” katanya yang ditemui selepas pra tonton filem Kron di Damansara, baru-baru ini.

DARI kiri, Zahiril Adzim, Mamak Puteh dan Dayana Roza dalam Kron.

Dek kekecewaan sebelum pembikinan semula CGI, Opie pernah bercakap dengan rakan kongsinya, jika kualiti CGI tak mencapai tahap yang dikehendaki, biarlah filem itu terperap begitu saja.

“Saya kata pada rakan kongsi, biarlah kita rugi daripada menanggung malu. Kalau tak jumpa Fazli, memang saya berkubur siap-siap dan syarikat pun tutup sebab saya tak dapat sokongan mana-mana pihak.

“Kami mencari sesiapa yang mampu memberi komitmen dan ternyata Fazli banyak membantu kami dan sebab itulah ambil jangka masa yang panjang untuk filem ini disiarkan,” tambahnya yang turut mendapat bantuan dana daripada Finas dan berusaha mencari dana tambahan sendiri.

Selain masalah CGI, Opie juga risau jika ada di antara babak dalam filem Kron yang boleh mengundang kepada sensitiviti dari segi agama kerana dalam filem tersebut terdapat adegan bacaan mantera dan acara ritual.

Untuk mengelak berlakunya banyak pemotongan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF), Opie terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

“Saya minta mufti Perak untuk menilai filem saya itu, adakah ia boleh memesongkan. Saya takut bila pergi kepada LPF ada banyak yang kena potong, nanti jalan cerita tak menarik.

“Mufti kata, cerita itu bagus dan tidak menyinggung apa-apa. Masa itu (tayangan untuk mufti) ada terjemahan al-Quran lagi sebelum pemotongan. LPF kata kalau buat cerita fiksyen jangan libatkan agama. Ada dua bahagian yang kena potong, iaitu atas bukit yang sebenarnya menunjukkan Zahiril solat dan pada permulaan cerita ada ayat terjemahan al-Quran,” jelasnya.

Tambah Opie, acara ritual itu dicipta dan tidak ada maksud tertentu hanya untuk hiburan semata-mata. Malah mantera yang dibaca juga tidak diambil daripada bomoh atau pawang. Begitu juga dengan perkataan yang dimuatkan dalam buku lama tersebut.

“Kami sendiri yang mencipta mantera dan tulisan serta bahasa yang digunakan oleh bangsa Ukrian itu adalah rekaan produksi. Semua itu tidak ada dalam mana-mana negara. Bahasa tersebut dicipta bagi menjadikan Kron berbeza daripada filem sedia ada,” kata Opie.

Opie turut mengakui filem terbitan Opy Global Pictures Sdn. Bhd., turut menghadapi masalah kewangan.

“Ya, saya ada masalah kewangan sewaktu menghasilkan Kron kerana terpaksa melakukan kerja dua kali. Saya dah bayar habis pada pasukan pertama yang buat CGI sebab saya tak suka berhutang.

“Selain itu, set penggambaran pun terpaksa dibuat yang baharu kerana set asal ditenggelami air. Bab itu saya akui kesalahan sendiri kerana membuat penggambaran pada hujung tahun yang sememangnya musim hujan,” ceritanya tanpa berselindung.

Kron yang membawa maksud semangat hutan merupakan filem fiksyen yang mengambil sedikit fakta sejarah agar filem tersebut tidak nampak kosong.

Antara fakta sejarah yang diperoleh dari Muzium Kedah ialah adanya laluan rahsia pada zaman dahulu yang digunakan oleh panglima untuk menghantar ufti atau bunga emas kepada kerajaan Thailand.

Malah Opie turut memilih Gunung Pulai sebagai lokasi penggambaran kerana mahu orang ramai tahu bahawa kawasan cantik itu bakal musnah jika tidak dipelihara.

“Tujuan kami buat penggambaran di situ adalah untuk dokumenkan, jikalau gunung itu tiada lagi dan mahu melihatnya, tontonlah filem Kron. Tanggunjawab kami untuk memberitahu orang ramai tentang gunung secantik Itu agar kita sama-sama mempertahankannya daripada dimusnahkan,” jelas Opie.

Kron yang berlatar kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam dan kemudian plot ceritanya dikembangkan dengan menjadi sebuah filem fiksyen.

Filem lakonan Aman Graseka sebagai Daud, pengkaji sejarah yang menghabiskan masanya menjejaki laluan Raja Siam pada zaman dulu. Motif utamanya adalah mencari jawapan kepada kehilangan isterinya dalam sebuah ekspedisi. Bagaimanapun usahanya itu telah diganggu oleh makhluk yang tidak dikenali.

Dalam ekspedisi yang dibantu oleh Sham (Zahiril Adzim) itu, tiba-tiba seorang ahli perniagaan, Melur Seri (Dayana Roza) ingin turut serta kerana dia juga mempunyai matlamat sendiri.

Pelakon-pelakon lain yang terlibat ialah Mamak Puteh, Bohari Ibrahim, Ruminah Sidek, Johara Ayob dan Ellie Suriaty.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.