Patriot tuntut Utusan Malaysia mohon maaf dari presidennya

"Ekoran dari tindakan Utusan ini Patriot dengan secara tidak adil telah dihujani dengan komen-komen yang mencaci dan menghina,"

Patriot tuntut Utusan Malaysia mohon maaf dari presidennya

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menuntut Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada presidennya Mohamed Arshad Raji dan ahli veteran tentera itu.

Patriot berkata ini kerana akhbar berkenaan mendakwa Mohamed Arshad sengaja mendiamkan diri terhadap kenyataan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia yang dikeluarkan taikun Koon Yew Yin baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Awam Patriot, Dr Wong Ang Peng berkata artikel Utusan Malaysiaitu mencetuskan banyak komen bersifat tohmahan daripada pembaca terhadap presidennya secara peribadi dan juga kepada Patriot secara amnya.

“Komen-komen menghina ini bukan sahaja terhad kepada pembaca Utusan tetapi juga telah menular ke sosial media yang lain yang menuduh Patriot sebagai boneka DAP.

“Ekoran dari tindakan Utusan ini Patriot dengan secara tidak adil telah dihujani dengan komen-komen yang mencaci dan menghina,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata demikian mengulas laporan yang dibuat Utusan Malaysia bertajuk “Patriot membisu kerana sudah termakan budi?” pada 15 Ogos lalu.

Laporan tersebut memetik kenyataan Ketua Penerangan Umno Perak, Mohd Zolkafly Harun yang menuduh Patriot sengaja mendiamkan diri terhadap satu kenyataan berkaitan ATM yang dikeluarkan oleh Koon Yew Yin.

Wong berkata melalui kenyataan tersebut juga Mohd Zolkafli dan Utusan Online telah melemparkan tohmahan yang menggambarkan Patriot sebagai sebuah NGO yang tidak jujur, penerima sogokan dan juga korup.

Mengulas lanjut, Wong berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya permohonan maaf tanpa syarat itu tidak dubuat.

Baru-baru ini, pengasas Gamuda, Koon Yew Yin dalam blognya berkata ramai anggota tentera hanya ‘makan dan tidur‘ malah ramai antara mereka tidak pernah menembak.

Taikun itu dalam tulisannya juga mencadangkan anggota tentera menggantikan pekerja asing yang bekerja ladang-ladang Felda.

Kenyataan itu dibuat Koon menerusi satu tulisan bertajuk “Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita”.

Bagaimanapun pendapat itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang berpandangan kenyataan itu menghina pasukan ATM.

Selepas dikritik, Koon akhirnya membuat permohonan maaf, terutamanya kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataan itu.

http://bit.do/e4K2m
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.