Hadiah Pak Nil buat Putri kembali senyum

Hadiah Pak Nil buat Putri kembali senyum
NABIL Ahmad yang menjadi hos program bersama Cici (kiri) dan Eiffel.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SIKAP prihatin juri tetap program Ceria Megastar Ministar 2019, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil secara tak langsung berjaya membuat salah seorang finalis program itu kembali tersenyum.

Selaku juri tetap bersama Zizan Razak yang mengikuti perkembangan peserta sejak sembilan minggu, sudah tentu Pak Nil amat dekat dengan peserta.

Tugas beliau bukan saja memberi komen terhadap persembahan peserta, malah setiap minggu Pak Nil juga akan memberi nasihat dan motivasi kepada mereka.

Bagi Pak Nil, peserta yang menyertai program terbitan Astro Ceria itu umpama anak-anaknya dan tidak hairanlah kenapa beliau boleh terasa apabila Putri tidak mendapat hadiah sagu hati selain trofi.

Beliau yang banyak membuat kerja-kerja kebajikan menerusi Yayasan Persona yang ditubuhkan sejak 28 Februari 2018, dapat menyelami hati Putri yang tidak memperoleh kedudukan terbaik dalam pertandingan tersebut.

“Pak Nil terlintas nak bagi RM5,000 kepada Putri itu pun secara spontan sebab Pak Nil tengok rakan-rakan lain ada pegang mock up cheque tapi Putri tidak.

“Sedangkan peringkat final ini satu pentas besar. Kalau dapat tempat keempat adalah paling corot dan terakhir kedudukannya dan tak ada imbuhan.

DARI kiri, Putri, Cici, Eiffel dan Aliff bersaing dalam program Ceria Megastar Ministar 2019, baru-baru ini.

“Itu hak Astro, Pak Nil tak ada apa-apa bangkangan. Apa yang Pak Nil lakukan itu supaya Putri keluar dengan perasaan dia juga menang. Pak Nil tak nak Putri rasa dirinya kalah,” katanya yang mengumum akan memberi RM5,000 kepada peserta tempat keempat itu sewaktu sidang akhbar selepas selesai program.

Kata Pak Nil, beliau melihat kesungguhan dan kegigihan Putri bersama ibunya yang setiap minggu datang ke Kuala Lumpur dari Port Dickson untuk menjayakan program Cerita Megastar Ministar.

“Pak Nil rasa bagi seorang anak pasti akan rasa dirinya kecil sangat bila tak ada pegang hadiah seperti rakan-rakan lain. Atas sebab itulah Pak Nil nak menghadiahkan Putri dengan jumlah tersebut. Pak Nil tahu kekangan kewangan mereka macam mana.

“Kalau dia dari keluarga mewah, dia tak akan pergi busking hampir setiap malam untuk mendapatkan wang menampung hidup. Pak Nil pernah pergi Port Dickson dan nampak dia menyanyi dan suaranya sedap. Dia pernah masuk pertandingan yang kecil-kecil dan dia masuk pertandingan untuk membantu keluarganya,” katanya ikhlas.

Beliau yang sering membantu ibu-ibu tunggal dan anak-anak kurang bernasib menerusi Yayasan Pesona itu seorang yang mudah menyelami perasaan orang lain.

Kini niat murni Pak Nil itu turut mendapat kerjasama daripada Phamaniaga Berhad.

Sementara itu, Putri turut melahirkan rasa terharu atas hadiah pemberian daripada Pak Nil. Beliau akan menyimpan RM3,000 dan selebihnya digunakan untuk belanja ibunya.

“Lepas pengumuman Putri di tempat keempat, Putri rasa sedih sebab telah menghampakan peminat dan keluarga serta mentor, abang Wafiy. Namun, Putri bersyukur sebab dapat masuk final.

“Bila Pak Nil umum nak berikan RM5,000 kepada Putri, rasa terharu sangat. Putri akan simpan RM3,000 dan RM2,000 akan beli barang-barang seperti aksesori dan pakaian serta belanja mak,” katanya dengan nada gembira.

Untuk konsert final Ceria Megastar Ministar 2019, Putri atau nama sebenarnya Qasrina Putri Adrianna Abdullah, 10, mendendangkan lagu Obses dan Rampas, dendangan Akim & Majistret.

PUSINGAN battle antara Cici dan Eiffel untuk menentukan juara.

Peserta dari Negeri Sembilan itu mendapat pujian daripada Pak Nil dan berkata lagu tersebut sesuai dengan vokalnya tapi sayang Putri hanya mendapat dua wow saja kerana Mas Idayu selaku juri jemputan tidak memihak kepadanya.

Pertandingan yang mengangkat Eiffel Raul Pailus, 13, sebagai juara dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000 itu pada persembahan pertama sudah mendapat perhatian juri tetap.

Eiffel yang mendendangkan lagu Talking to the Moon (Bruno Mars) dan Bohemian Rhapsody (Queen) berjaya memukau penonton kerana memulakan persembahan dengan bermain piano.

Komen Mas Idayu, beliau sangat suka dengan nada suara Eiffel yang ditampilkan dalam pelbagai rentak. Beliau turut memuji persembahan bertenaga peserta dari Sabah itu. Untuk persembahan ini Eiffel mendapat tiga wow daripada juri.

Begitu juga sewaktu pusingan battle yang menampilkan Eiffel dengan Cici menerusi lagu Drama bersama Aepul, vokalis Drama Band, komen juri banyak memihak kepadanya kerana dalam pusingan ini 100 peratus markah daripada juri.

Bagi Cici atau Feli Stacy Paimin, 13, walaupun menduduki tempat kedua, beliau tetap rasa gembira kerana tidak sangka dapat memasuki pusingan battle bagi menetukan juara.

Untuk pusingan pertama Cici mendendangkan lagu Hurt (Christina Aquilera) dan Ku Bersuara (Ernie Zakri), dan hanya mendapat dua wow daripada Pak Nil dan Zizan.

Pelajar sekolah seni Sabah yang meminati Stacy Anam itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi. Hadiah yang sama turut dimiliki oleh Aliff atau Muhammad Aliff Idham, 13, untuk tempat ketiga yang mendendangkan lagu Biasan (To’ki) dan Pelesit Kota (Search) bersama iringan petikan gitar Man.

Sebagai penonton, saya tak puas hati menonton persembahan keempat-empat peserta kerana masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri.
Malah saya yakin mereka tidak akan ‘memalukan’ jika mengadakan persembahan bersama peserta program realiti hiburan yang pernah diterbitkan oleh pihak Astro sebelum ini.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.