Lelaki ugut bunuh peguam syor taraf PR Zakir Naik ditarik kena tahan

"Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan serta membuat sebarang komen yang sensitif serta membangkitkan isu perkauman di media sosial bagi menjaga keharmonian semua kaum di negara ini."

Lelaki ugut bunuh peguam syor taraf PR Zakir Naik ditarik kena tahan

KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang penjaga stor, awal pagi tadi bagi membantu siasatan susulan laporan polis oleh seorang peguam berhubung ugutan bunuh yang diterimanya menerusi laman Facebook, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad, berkata suspek berusia 28 tahun yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditangkap di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara, kira-kira jam 2 pagi.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman selama empat hari sehingga 20 Ogos ini.

“Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan serta membuat sebarang komen yang sensitif serta membangkitkan isu perkauman di media sosial bagi menjaga keharmonian semua kaum di negara ini,” kata Roslan dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Rabu lalu, pihak polis menerima satu laporan yang dibuat oleh peguam, Syahredzan Johan berhubung ugutan ke atas dirinya di laman Facebook susulan kenyataan beliau berkaitan isu penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Syahredzan yang juga pembantu kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menerima ugutan itu pada Rabu lalu selepas menggesa taraf Penduduk Tetap (PR) Dr Zakir dibatalkan.

Semalam, Dr Zakir dipanggil ke Bukit Aman dipercayai untuk proses merekod keterangan berhubung ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang didakwa berbaur perkauman.

Pendakwah itu dikatakan memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Dr Zakir dalam syarahan itu juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri India berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Dr Zakir turut membuat satu laporan polis terhadap lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kerana didakwa memfitnahnya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.