Makan dan tidur sahaja?

Makan dan tidur sahaja?
PESAWAT pertama Malaysia ditembak pengganas komunis mengorbankan 11 anggota ATM pada 26.4.76. Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh ialah pesawat kedua.

 

Oleh MEJAR DR. NOR IBRAHIM SULAIMAN TUDM (B)

 

SAYA begitu terkesan dan kecewa dengan kenyataan Koon Yew Yin yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat, terutama mantan anggota ATM walaupun dia sudah meminta maaf.

Di luar dugaan saya, terdapat seorang rakyat yang begitu kaya-raya sanggup mendakwa bahawa anggota ATM di negara tercinta ini hanya ‘makan dan tidur’ sahaja!!

Tidakkah wujud dalam pemikirannya bahawa kekayaan yang dikecapinya adalah hasil keringat dan darah yang mengalir dari jasad anggota Pasukan Keselamatan, amnya, ATM khususnya demi mempertahankan kedaulatan negara ini?

Adakah dia berfikiran bahawa kemewahannya itu tetap dimiliki walaupun negara dalam keadaan hura-hara akibat ancaman pengganas komunis (PGK) di suatu ketika dulu?

Dia sebagai seorang lama yang pernah menempuh kehidupan dalam era penjajahan Jepun, British dan darurat, sudah pasti sedia maklum keperitan kehidupan dan keganasan pengganas komunis.

Saya percaya dia tidak mungkin ‘mudah lupa’ objektif utama Parti Komunis Malaya (PKM) semenjak ditubuhkan pada 1930 yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara komunis.

Ya, tidak dinafikan mereka menentang penjajah tetapi objektif mereka tidak berganjak walau seinci pun! Ini terbukti apabila penentangan bersenjata mereka berterusan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik walaupun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Adakah kami, para pengundi termasuk dia, yang mengundi semasa PRU untuk menentukan parti yang menerajui kerajaan dianggap sebagai penjajah? Kegiatan mereka hanya berhenti apabila mereka meletak senjata setelah termeterainya Perjanjian Perdamaian yang ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989.

Adakah dia mudah lupa peranan ATM sepanjang era insurgensi komunis tersebut?

Adakah dia ambil tahu kecederaan dan kematian yang menimpa para anggota ATM supaya membolehkan dia melombong kekayaan negara?

Adakah dia tahu perasaan ibu-bapa kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak kehilangan bapa?

Adakah dia ambil tahu perasaan anggota ATM yang cacat anggota badan sepanjang hayat akibat menghalang cita-cita PGK?

Itu era insurgensi komunis. Bagaimana pula pasca insurgensi?

Adakah dia mudah lupa pencerobohan kumpulan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Lahat Datu, Sabah yang menuntuk Sabah pada 12 Februari 2013?

Adakah dia masih ingat siapa yang berkorban menentang pencerobohan tersebut sekiranya bukan anggota Pasukan Keselamatan?

Tahukah dia bahawa perairan negara yang begitu luas sentiasa diawasi oleh ATM – tidak kira siang dan malam?

Tahukah dia sekumpulan kecil anggota ATM merupakan penghuni tetap di Pulau Perak di Selat Melaka? Atau di Pulau Layang-Layang dan beberapa buah stesen di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan?

Ya, dalam kenyataan maafnya, dia sedia maklum pengorbanan ATM dan menghargai peranan mereka. Persoalannya, adakah kenyataan yang sebegitu hina dan mengguris kalbu melambang penghargaan dia terhadap pengorbanan kami terutama ketika negara berada di ambang meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2019 ini?

Pada saya, tidak semudah itu…TIADA MAAF BAGI KAMU.

Sebagai seorang sudah berusia dan mungkin memahami peribahasa Melayu, saya harap dia menghayati peribahasa ‘TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA’.

Saya, dan mungkin ramai lagi rakan seperjuangan, sedia kongsi bersama pengalaman dengan harapan sedikit-sebanyak dapat memberi kesedaran kepada golongan remaja bahawa kenikmatan kehidupan yang mereka kecapi sekarang tidak datang bergolek sebegitu sahaja, wallahualam.

BebasNews
Please follow and like us:
error

2 Responses to "Makan dan tidur sahaja?"

  1. Khalid  17/08/2019 at 4:58 pm

    Terbaik…Respect…

    Reply
  2. Steward  15/09/2019 at 3:47 pm

    Tabik Spring to you, sir. Well said.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.