Pelatih praktikal tidak patut jadi ‘budak kopi dan fotokopi’ semata-mata – Syed Saddiq

Pelatih praktikal tidak patut jadi ‘budak kopi dan fotokopi’ semata-mata – Syed Saddiq
PHOTO: NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

 

KUALA LUMPUR — Majikan tidak akan memberi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan mahu pun swasta melakukan tugasan membuat kerja-kerja fotokopi dokumen dan pembuat teh atau kopi selepas mereka perlu membayar elaun RM900 sebuah kepada individu terbabit.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata biarpun tiada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan namun beliau percaya ketua jabatan atau majikan akan memberikan kerja bersesuai kepada anak muda terbabit kerana mereka perlu mengeluarkan belanja lebih besar untuk tujuan itu.

“Sebelum ini ramai pelajar universiti atau kolej yang menjalani amali di kementerian, jabatan atau agensi mahu pun di sektor swasta menghadapi masalah apabila mereka hanya diberikan kerja-kerja mudah seperti membuat salinan dokumen atau menyediakan minuman, sedangkan sepatutnya skopnya lebih luar.

“Pelajar yang menjalani latihan amali sebenarnya bukanlah sekadar menjadi ‘budak pembancuh kopi atau teh’ atau membuat kerja fotokopi sebaliknya mereka perlu diberikan pengalaman terbaik dan kerja bersesuaian sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak.

“Sebab itulah banyak kajian menunjukkan bahawa mereka yang dibayar dengan elaun praktikal yang tinggi akan mendapat pengalaman lebih berguna kerana apabila majikan perlu membayar maka mereka sendiri akan pastikan tugasan atau kerja lebih bermakna, bersesuaian serta mempunyai impak tersendiri,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas keputusan Kabinet minggu lalu yang menetapkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan berkuat kuasa mulai 1 September depan.

Pada 25 Julai lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju memperkenalkan semula pembayaran elaun kepada pelatih praktikal yang berkhidmat di bawah kerajaan.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan berkata, skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata zaman di mana pelajar menjalani latihan amali dijadikan ‘budak pembancuh kopi atau dikerah menjadi orang fotokopi’ sudah berlalu biarpun mereka perlu berbuat demikian dalam situasi tertentu tetapi bukan setiap hari.

“Sebagai contoh jika pelajar terbabit menjalani amali di agensi di bawah kementerian seperti Institut Sukan Negara (ISN) sekarang mereka mestilah diberikan ilmu dan menimba pengalaman berkaitan sains sukan dan bagaimana untuk bekerjasama dengan atlet kebangsaan.

“Itulah perkara penting perlu difahami mereka tiadalah setiap hari kita kerah mereka hanya buat kerja-kerja menyalin dokumen dan membuat kopi untuk pegawai tertentu sahaja kerana ia adalah salah,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.