Bayangkan kuasa 1/2 juta ahli UMNO mampu hidupkan semula Kumpulan Utusan

Bayangkan kuasa 1/2 juta ahli UMNO mampu hidupkan semula Kumpulan Utusan
Oleh AMREE AHMAD

 

BALIK kampung orang tua dekat Kepala Batas di Pulau Pinang sempena Aidiladha, tanpa diduga saya boleh terjumpa majalah MASSA keluaran terakhir bilangan 448 bertarikh 5 – 11 Jun 2004.

Apabila baca kembali naskhah edisi ‘penutup’ majalah berita mingguan terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan ini, banyaklah nostalgia lama kembali diimbau sama ada manis atau pahit.

Secara jujur, sebagai petugas terakhir MASSA yang mula terbit pada 16 September 1995 dan dirasmi PM ke-4, saya bangga jadi sebahagian warga karya majalah berharga ‘malar’ RM6 ini.

Bahkan, saya ada ‘berangan’ mahu berkhidmat sebagai kru MASSA sejak mula beli keluaran sulung semasa belajar di UIAM, waima tidak pernah terlepas beli majalah ini setiap minggu.

Peluang itu datang ketika saya jadi wartawan Utusan Malaysia di HQ KL apabila bos MASSA, Datuk Baharom Mahusin yang baru pindah dari Mingguan Malaysia kebetulan tidak cukup staf.

Dia memang terkenal digeruni kerana tegasnya dalam kerja tetapi secara jujur, banyak rahsia saya belajar daripada dirinya, terutama ‘petua’ tulis berita atau rencana bertaraf lima bintang!

Realitinya, bukan semua pemberita ada bakat istimewa ini termasuk berstatus otai dan saya dianggap bertuah kerana belajar ilmu itu dari ‘sifu’ penulis terbaik di syarikat Utusan Melayu.

Dalam hal ini, artikel terbaik ialah kita seronok baca dari perenggan pertama sehingga tamat, bukannya baca ayat awal dan terus boleh agak penghabisan macam siri drama Melayu di TV.

Setakat ini, saya sering ‘rujuk’ mantan editor rencana Utusan Malaysia, Zin Mahmud jadi idola kerana sesiapa baca artikel bekas editor Harakah ini, pasti baca sampai ke hujungnya.

Rahsianya kenalah rajin baca pelbagai sumber. Teringat ketika mula kerja di Utusan pada tahun 2001, artikel saya dipilih Zin daripada 12 lagi rakan ‘batch’ wartawan baru untuk ke rencana utama.

Walhal saya baru sahaja seminggu bekerja dan Zin ‘terkejut’ kerana saya tiada latar belakang wartawan, tetapi gaya penulisan saya macam sudah ada pengalaman luas lebih 10 tahun.

Kemahiran ini saya ‘kembang’ dalam MASSA dan hasilnya, rencana saya mula jadi tumpuan banyak pihak, termasuklah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan sendiri, Datuk Khalid Mohd.

Bayangkan belum pernah dalam sejarah, artikel MASSA jadi bahan kolum ‘Awang Selamat’ di Mingguan Malaysia, hatta tulisan saya dapat perhatian PM ketika itu, Tun Abdullah Badawi.

Pernah saya buat liputan di sekolah lama saya, SMAPK, Timbalan Pengetuanya waktu itu, Wan Akashah (suami pendakwah terkenal, Ustazah Bahiyah) pun turut kenali saya melalui MASSA.

Sebagai balas budi baik Ustaz ini, saya derma puluhan majalah itu hasil koleksi peribadi saya kepada perpustakaan dan ia jadi rujukan untuk pertandingan bahas sekolah berasrama penuh.

Saya bersyukur hasil ‘keberkatan’ sumbangan ini, pembahas SMAPK tanpa disangka muncul juara kategori bahasa Melayu program debat berprestij di peringkat nasional pada tahun itu.

Hayat MASSA tidak sampai sembilan tahun, tetapi ‘roh’ majalah ini pindah pula kepada KOSMO! dan sebagai staf perintis akhbar kompak terbitan Kumpulan Utusan itu, saya dianggap veteran.

Namun, ilmu di MASSA tetap diamal dan dalam ‘diam’, saya raih dua kali Anugerah Media Pulau Pinang kategori rencana dan juga dua kali Hadiah Kewartawanan Malaysia bagi kategori berbeza.

Kini senario buruk dialami MASSA mula jangkit Utusan Malaysia dan KOSMO! apabila kurang sumber pendapatan bagi tampung kos operasi akibat isu kejatuhan pembaca dan pengiklan.

Ditambah pula tekanan politik kerajaan baharu boikot Kumpulan Utusan dek balas dendam, trend media cetak terus ‘suram’ diatasi media sosial yang berita lebih pantas dan percuma.

Ironi, saya pun terpinga kenapa lebih tiga juta ahli UMNO ‘hukum’ Kumpulan Utusan, walhal ia banyak jasa bela nama parti sejak tahun 1961, hatta dikutuk lawan dengan pelbagai gelaran hina.

Apakah orang UMNO tiada rasa simpati nasib syarikat akhbar ‘keramat’ Melayu berusia 80 tahun ini nazak, sampaikan tiada dana untuk bayar gaji dan pampasan bekas pekerjanya?

Saya sendiri meskipun telah lama berhenti dari Kumpulan Utusan, masih setia sokong produk syarikat ini termasuk dengan ‘berkorban’ beli Utusan Malaysia dan KOSMO! pada setiap hari.

Malangnya sifat ‘totok’ sebegini kurang ada di sebahagian besar jiwa ahli UMNO. Cuba fikir jika setengah juta sahaja penyokong parti ini langgan akhbar terbitan Kumpulan Utusan.

Tidak mustahil ia mampu atasi akhbar No.1 di Malaysia ketika ini, Sin Chew Jit Poh. Sedihnya ini tidak berlaku dan ahli UMNO wajarlah ‘malu’ lihat Cina boleh bersatu hati sokong akhbar itu.

Sesungguhnya, Utusan amat perlu dibantu dan ia tidak boleh harap ihsan kerajaan PH. Persoalannya, apakah ada keajaiban muncul selepas ini?

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Bayangkan kuasa 1/2 juta ahli UMNO mampu hidupkan semula Kumpulan Utusan"

  1. herman farispetra9599  18/08/2019 at 2:08 pm

    It can be Miracle…. when You BELIEVE!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.