Jackie pecah dua rekod kebangsaan baling tukul besi

Jackie pecah dua rekod kebangsaan baling tukul besi
FOTO: NSTP/ASWADI ALIAS.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

PEMBALING tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer membayangkan kemampuannya dalam meraih pingat emas Sukan SEA, November ini apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali sambil memenangi acara itu hari ini.

Dia mencatat 68.22 meter dan sebelum itu,

67.49 m pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan Ke-96 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sekali gus mengatasi catatan lama miliknya, 67.31 m.

Anehnya Jackie, 27, terpaksa melakukan balingan itu di Universiti Tenaga Nasional, Bangi atas sebab-sebab teknikal di Bukit Jalil.

Rekod lama Jackie, 27, dilakukan ketika meraih pingat perak Terbuka Korea Selatan di Stadium Piala Dunia di Gwangju, Jun lalu.

“Prestasi saya semakin baik dan kejayaan hari ini satu persiapan rapi sebelum ke Sukan SEA. Namun sejak menang perak di Korea, prestasi saya semakin jatuh dan hanya hari ini barulah beransur baik.

“Kalau ikut balingan hari ini, peluang saya untuk menang emas Sukan SEA nanti agak cerah.

“Walau apa pun, saya masih perlu berhati-hati kerana kita tidak tahu macam-macam boleh terjadi nanti,” katanya.

Sementara itu, pelompat jauh para negara, Abdul Latif Romly dari Perlis yang bersaing dengan atlet normal memenangi acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.64 m.

Juara Sukan Paralampik Rio 2016 itu mengetepikan pemenang pingat perak, Lokman Hakim Ramlan (Angkatan Tentera Malaysia) dengan catatan 7.58 m dan pemenang gangsa, Muhammad Azim Abdul Kefli (Johor), 7.29 m.

Namun catatan terbaiknya tahun ini masih gagal melepasi had kelayakan Sukan SEA Filipina itu. Setakat ini hanya atlet Sabah, Andre Anura sudah menempah tiket temasya ke-30 itu.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.