Raja Muda Selangor kayuh basikal 155km

Raja Muda Selangor kayuh basikal 155km
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah (depan tiga dari kiri) menyertai Program Kayuhan Shah Alam International Endurance Ride (Enduride) 2019 di Aeon Big Bukit Rimau di Shah Alam semalam.

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI 

 

SHAH ALAM – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sekali lagi membuktikan kemampuannya berbasikal apabila berjaya menamatkan kayuhan sejauh 155 kilometer dalam acara ‘Shah Alam International Enduride (Endurance Ride) 2019′ di Aeon Big Bukit Rimau di sini hari ini.

Tengku Amir Shah dan lain-lain peserta melalui perjalanan merentasi Kota Kemuning, Rimbayu, Banting, Morib, Sungai Pelek Sepang sebelum mengikut laluan sama ke garis permulaan di Aeon Big Bukit Rimau di sini.

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, selain Tengku Amir acara membabitkan pelbagai kategori itu berjaya menarik penyertaan peserta 12 negara, antaranya Indonesia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland dan Korea Selatan.

“Kira-kira 1,400 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali keenam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan tujuan memperkenalkan bandar raya ini dan kita jangka peserta akan melihat sebahagian kawasan di Shah Alam, Kuala Langat dan Sepang.

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah (depan sekali) memulakan kayuhannya.

“Kami bangga kerana acara ini berjaya menarik begitu ramai peserta dalam dan luar negara seperti Singapura, Thailand dan sebagainya,” katanya selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta pada acara terbabit di sini hari ini.

Haris berkata, kayuhan itu menyediakan beberapa kategori di bawah dua kategori utama iaitu kayuhan perlumbaan jalanan dan kayuhan santai.

Katanya, acara tahunan anjuran MBSA itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang dengan menjemput lebih ramai peserta luar negara lain.

“Kategori dipertandingkan bagi acara perlumbaan jalanan membabitkan Lelaki Junior iaitu berumur bawah 19 tahun, Lelaki Terbuka (20 hingga 34 tahun), Lelaki Senior Master (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

“Manakala bagi acara kayuhan santai pula, Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20 hingga 34 tahun), Lelaki Master (35 hingga 45 tahun), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka, “katanya.

Untuk rekod, Tengku Amir bersama-sama para peserta bermula pada pukul 7.30 pagi dan tiba kira-kira pukul 3.30 petang ini di garis permulaan di Bukit Rimau Seksyen 32 di sini.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.