Safuan ‘raja lengan’ kiri, kanan 63 kg

Safuan ‘raja lengan’ kiri, kanan 63 kg
SAFUAN Asif (kanan) dan Jake Chia bakal mendukung cabaran Malaysia ke Kejohanan Dunia di Poland, Disember ini dengan kejayaan mempertahankan gelaran 63 kg dan keseluruhan.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

SAFUAN Asif memperoleh suntikan semangat yang diidamkan menjelang Kejohanan Dunia di Rumia, Poland, Disember ini dengan membolot gelaran tangan kiri dan kanan kategori 63 kilogram terbuka Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan Kedua, 2019 di Cyberjaya, semalam.

Penggusti lengan Putrajaya ini memerlukan tiga pusingan sebelum menewaskan Cristal Adam Jabry dari Sarawak dalam perlawanan akhir tangan kiri dan mengesahkan gelaran berganda dengan menumpaskan Victor Larry dari Sabah bagi pertarungan tangan kanan.

Menurut peraturan Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), pertarungan mereka ditentukan menerusi set penentuan berdasarkan siapa yang tidak pernah kalah atau sekurang-kurangnya hanya kalah sekali sejak pusingan awal.

“Saya agak leka menentang Cristal, gerakan tangan dan lengannya sangat laju, jadi sedikit kelekaan pun boleh mengundang parah. Inilah kali pertama saya menentangnya dan agak gementar namun alhamdulillah rezeki berpihak saya.

“Memang satu kemajuan bagi pengusti lengan Sabah dan Sarawak pada kejohanan kali ini dan satu perangsang buat saya menjelang Terbuka China (Oktober ini) dan Kejohanan Dunia,” kata anak jati Klang, Selangor berusia 22 tahun ini.

Safuan meraih tempat kelapan (kanan) dan ke-11 (kiri) dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF) di Antalya, Turki, tahun lalu namun mulai tahun ini MyArms bernaung di bawah Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (FIA).

Turut mempertahankan dan membolot kejuaraan kiri dan kanan kategori terbuka 78 kg ialah juara Asia 2015, Joffey Jolly dari Sabah yang mudah menumpaskan Abdul Razak Hadzir dari Putrajaya dan rakan senegeri, Michael Fort.

Joffey yang turut akan menyertai Terbuka China dan Kejohanan Dunia, berkata, “saya akan cuba menurunkan berat badan sehingga bawah 65 kg kerana berasakan lebih ideal dan berpeluang lebih cerah untuk bersaing.

“Kekuatan saya masih dengan tangan kanan sebagaimana muncul juara Kejohanan Asia di Antalya, Turki pada 2015 namun saya juga muncul naib juara tangan kiri ketika itu,” kata petugas gimnasium ini.

Kejohanan ini disertai antara 150 hingga 200 atlet dari 14 negeri yang antaranya ahli gabungan MyArms dalam 17 kategori berat badan melibatkan belia (bawah 18 dan 21 tahun), terbuka lelaki tangan kiri dan kanan, terbuka wanita dan master (40 dan 50 tahun ke atas).

Gelaran keseluruhan (saingan antara juara setiap kategori) kiri pula kekal menjadi milik Jake Chia Jun Kit dari Putrajaya yang mengalahkan rakan sepasukan, Nizar Yusof manakala kanan dimenangi Fort.

Kejohanan edisi kedua anjuran Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) itu, disertai oleh lebih 150 peserta dari 14 negeri meliputi 17 kategori berat badan, termasuk untuk wanita bagi merebut tempat ke Kejohanan Dunia.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.