Miller pelerai siapa pelari kedua 100 m Sukan SEA

Miller pelerai siapa pelari kedua 100 m Sukan SEA
DWAYNE J. Miller dijangka tiba di Malaysia, September ini selepas Kejohanan Dunia di Dubai.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tampak masih lebih meyakini Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan bagi mempertahankan pingat emas acara reben biru olahraga Sukan SEA Filipina, 100 meter, November ini.

Sekali pun Speedy Jantan gagal melepasi had kelayakan ke temasya itu, 10.43 saat termasuk Kejohanan Terbuka Kebangsaan Ke-96 yang berakhir semalam, KOM cuba menyedapkan hati dengan menamakannya dalam kuartet 4×100 meter.

Adakah KOM pimpinan Datuk S.M. Muthu kurang yakin dengan kemampuan Jonathan Nyeppa sedangkan pelari Sarawak itu lebih dulu layak ke Sukan SEA di bawah Kategori A (ditanggung sepenuhnya Majlis Olimpik Malaysia) dengan 10.37 saat, bulan lalu.

Nama Khairul, 22, kini turut dicalonkan barisan jurulatih yang diketuai Manshahar Jalil sebagai pelari kedua 100 meter Malaysia pada Sukan SEA atau dua lagi anggota kuartet, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Mohd. Haiqal Hanafi.

“Masih ada masa lagi dalam lebih kurang tiga bulan ini untuk meletakkan atlet dengan acara individu, macam-macam boleh berlaku nanti, mana tahu mungkin ada yang meningkat catatannya selepas ini,” kata ketua jurulatih olahraga negara itu di Bukit Jalil.

Khairul, pelari kelahiran Melaka, hanya baru pulih daripada kecederaan yang menyisihkannya dari balapan kira-kira tujuh bulan sebelum cuma mencatat 10.70 dan 10.50, 10.71 saat dalam tiga kejohanan sejak bulan lalu.

Tiga perlumbaan bagi mengembalikan prestasi terbaik namun hanya merakamkan catatan hambar itu ialah Sukan Universiti Dunia di Napoli, Terbuka Kuala Lumpur dan Terbuka Kebangsaan KOM di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

HAIQAL Hanafi (kiri), juara 100 meter kebangsaan, turut membantu Johor menjuarai perlumbaan 4×100 meter Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan KOM Ke-96, semalam.

Malah bagi ranking catatan terbaik pelari 100 meter tahun ini, Zulfiqar yang mengekori Jonathan manakala Haiqal yang menewaskan Khairul untuk menjuarai 100 meter Kejohanan Kebangsaan dengan catatan 10.59 saat yang tidaklah begitu mengagumkan.

Jonathan menyerlah kerana bersaing dengan lawan lebih pantas ketika mencatat 10.37 saat pada Grand Prix Motonet di Joensuu, Finland, bulan lalu – sesuatu yang turut ditagih Khairul selepas berlumba di Bukit Jalil, Jumaat lalu.

“Di sini pelari yang hendak naik akan kejar saya sedangkan saya tiada siapa hendak kejar. Jika dapat berlatih di luar negara, saya boleh meningkat dan lebih pantas kerana pelari-pelarinya sudah buat bawah 10 saat atau 9.9 saat.

“Saya menang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana tidak tercedera langsung sepanjang persediaan ke arahnya selain menjalani program latihan di Jerman dan Amerika Syarikat,” katanya yang masih dibimbing Poad Kassim.

Senarai 26 atlet negara dengan Kategori A dan 18 orang lagi di bawah Kategori B (ditanggung KOM sendiri atau dengan MSN) yang diputuskan semalam hanyalah bagi mematuhi tarikh akhir penyerahan penyertaan menerusi nama kepada penganjur Sukan SEA Filipina.

Mungkinkah KOM atau Manshahar juga perlu menanti ketibaan Dwayne J. Miller dari Amerika Syarikat yang sudah pun direstui MSN sebagai jurulatih acara pecut, lompat jauh dan kijang baharu skuad negara?

Miller dikatakan mempunyai jawapan tepat kepada persoalan siapa pelari kedua 100 meter negara di New Clark City, Filipina – venue olahraga Sukan SEA Ke-30 berdasarkan pengalaman luas kejurulatihan di sekolah tinggi, kelab, universiti dan profesional.

Dari 1991 hingga 2006, Jurulatih Terbaik Nike 2008 ini membantu 40 atlet All-American dan 20 juara kebangsaan dengan kalangan anak buahnya pernah memenangi lima kejuaraan dunia, tiga emas remaja dunila dan tiga emas Olimpik.

Antara mereka ialah LaShawn Merritt, juara 400 meter Olimpik 2008 dan Kejohanan Dunia 2009; LaTasha Colander Clark, pemenang emas 4×400 meter Olimpik 2000 dan Rachelle Boone-Smith, pemenang perak 200 meter Kejohanan Dunia 2005.

SKUAD OLAHRAGA NEGARA KE SUKAN SEA KE-30 FILIPINA

KATEGORI A
*Lelaki
Jonathan Nyeppa (100 meter)
Russel Alexander Nasir Taib (200 meter)
Luqmanul Hakim Khairul Akmal (400 meter)
Royson AL Vincent (800 meter)
Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar)
Mohd. Harith Khairul Harun (20 kilometer jalan kaki)
Andre Anura @ Anuar (lompat jauh)
Mohd. Hakimi Ismail (lompat kijang)
Lee Hup Wei (lompat tinggi)
Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi)
Mohd. Ziyad Zulkifli (lontar peluru)
Mohd. Irfan Shamsuddin (lempar cakera)
Abdul Rahman Lee (lempar cakera)
Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi)
Muhammad Ilham Suhaimi (4×400 meter)
Abdul Wafiy Roslan (4×400 meter)
Mohd. Saiful Safwan (4×400 meter)
Muhaizar Mohammad (maraton)

KATEGORI B
Ahmad Luth Hamizan (3,000 meter berhalangan)
K. Prabusdas (5,000 meter)
Abdul Latif Romly (lompat jauh)
Mohd. Iskandar Alwi (lompat bergalah)
Ruslem Zikry Putra (400 meter berpagar, 4×400 meter)
Sadat Marzuqi Ajisan (baling tukul besi)
Muhammad Zulfiqar Ismail (4×100 meter)
Mohd. Haiqal Hanafi (4×100 meter)
Khairul Hafiz Jantan (4×100 meter)
Nixon Kennedy (4×100 meter)

*Wanita
KATEGORI A
Shereen Vallabouy (400 meter)
Elena Goh Ling Wing (10 & 20 kilometer jalan kaki)
Nurul Alyahaziqah (10 kilometer jalan kaki)
Krithana Ramasamy (lompat kijang)
Norliyana Kamaruddin (lompat tinggi, heptatlon)
Yap Sean Yee (lompat tinggi)
Choo Kang Ni (lempar cakera)
Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi)

KATEGORI B
Sarvinder Kaur (1,500 meter)
Chuah Yu Tiang (lompat bergalah)
Zaidatul Husniah Zulkifli (4×100 meter)
Siti Fathimah Mohamad (4×100 meter)
Nurul Faizah Mazlan (4×100 meter)
Azreen Nabila Alias (4×100 meter)
Komalam Shally Selvaretnam (4×100 meter)
Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera)

 

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.