‘Saya mohon maaf’ – Zakir Naik

"Rasisme adalah kejahatan, yang saya tolak dengan keras kerana dalam Quran, ia bertentangan dengan prinsip saya sebagai seorang pendakwah Islam."

‘Saya mohon maaf’ – Zakir Naik

KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik memohon maaf susulan ucapannya yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Menerusi satu rakaman video, Zakir berkata beliau bukan seorang yang rasis dan kenyataannya sebelum ini sengaja ditokok tambah bagi mencetuskan kontroversi.

“Saya sentiasa menjadi orang yang cintakan keamanan kerana itulah yang dituntut dalam Al-Quran.

“Misi saya adalah menyebarkan keamanan di seluruh dunia. Malangnya, saya berdepan dengan pengkritik yang cuba menghalang saya daripada menjalankan misi saya,” katanya.

Zakir turut sekali lagi menegaskan, bahawa kenyataannya dipetik di luar konteks sehingga beliau dituduh cuba mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Katanya, beliau berasa sedih dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan orang bukan Islam menganggap dirinyanya sebagai seroang yang rasis.

“Rasisme adalah kejahatan, yang saya tolak dengan keras kerana dalam Quran, ia bertentangan dengan prinsip saya sebagai seorang pendakwah Islam,” katanya.

Beliau merayu masyarakat, terutamanya bukan Islam, supaya mendengar rakaman dan video ceramah penuhnya di pelbagai medium.

“Pada masa yang sama, saya juga dengan rendah hati merayu kepada anda semua, terutama kepada orang bukan Islam, supaya meluangkan masa untuk mendengar ucapan saya secara keseluruhannya di platform YouTube, Peace TV, dan aplikasi mudah alih TV Peace.

“Akhir sekali, saya sangat tersentuh oleh ratusan ribu orang yang terus menyokong saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua, semoga Allah sahaja yang membalas dengan balasan yang terbaik,” katanya.

Semalam, BH melaporkan Zakir memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman selama hampir 10 jam.

Ia adalah kali kedua pendakwah bebas itu memberikan keterangan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Kali pertama beliau memberi keterangan adalah pada jam 3.30 petang sehingga 7 malam, Jumaat lalu.

Pendakwah itu dikatakan memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.