Tiada Puskas buat gol Syahmi, Goulon

Tiada Puskas buat gol Syahmi, Goulon
SEPULUH calon gol FIFA bagi Anugerah Puskas 2019 jauh lebih hebat dan unik daripada jaringan Syahmi Safari yang dicalonkan FAM termasuk tiga oleh pemain wanita.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

MAAF! Tiada tempat buat sama ada jaringan rembatan cantik lagi deras Syahmi Safari mahupun tendangan ajaib separuh padang Herold Goulon dalam senarai 10 calon terbaik bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2019 pada September ini.

Justeru Malaysia boleh melupakan hasrat untuk melihat satu lagi produk Liga Supernya di pentas pemenang anugerah gol tercantik dunia itu seperti mana Faiz Subri memahat sejarah bola sepak negara dengan merangkulnya di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017.

Mewakili Pulau Pinang dalam Liga Super 2016, Faiz menyudahkan sepakan percuma dengan gol jarak jauh yang ‘menentang hukum fizik’ sambil menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.

Jabatan Media FIFA dalam kiriman e-melnya dari Zurich kepada Kaki Bangku pada 9.40 malam semalam, memaklumkan 10 calon gol terbaik bagi anugerah yang mengambil sempena nama penyerang Hungary, mendiang Ferenc Puskas itu.

FAIZ Subri memenangi Anugerah Puskas 2016 di Zurich, Switzerland.

Kesemua gol yang disenarai pendek itu dinilai sepanjang tempoh dari 16 Julai 2018 hingga 19 Julai lalu tanpa mengira taraf kejohanan, jantina atau kewarganegaraan pemain yang menjaringkannya.

Syahmi menjaringkan gol itu dari jarak 27 meter daripada gerakan sepasukan Harimau Malaya ketika menentang Thailand dalam separuh akhir kedua Piala AFF 2018 pada 5 Disember 2018 di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Goulon, pemain import Pahang dari Perancis pula menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jotty dengan rembatan sejauh 50 meter dalam separuh akhir pertama Piala FA 2019 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 22 Jun lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingan pada Jun lalu mengumumkan kedua-dua gol Syahmi dan Goulon telah pun dicalonkan kepada FIFA bagi Anugerah Puskas 2019 masing-masing pada awal tahun ini dan bulan berkenaan.

Namun FIFA tidak pula menyebut sebab tertentu mengapa kedua-dua gol yang dicalonkan FAM itu tidak tersenarai dalam 10 terbaik Anugerah Puskas 2019 yang akan disampaikan di Milan, Itali pada 23 September ini.

Ada kemungkinan pencalonan Syahmi ditolak kerana fulbek Selangor itu telah menerima kad merah pada penghujung perlawanan yang kemudiannya memberikan sepakan penalti kepada Thailand namun gagal disudahkan penyerang lawan, Adisak Kraisorn yang menyepak liar tinggi.

Tradisinya, dibuang padang kerana kad merah terus setelah terpegang bola dianggap telah melanggar kriteria pencalonan Anugerah Puskas yang menekankan konsep ‘Permainan Bersih’ termasuk sekiranya ujian antidoping terhadap penjaringnya didapati positif.

Namun segelintir calon gol tercantik anugerah itu kali ini dikatakan jauh lebih baik mengatasi gol Syahmi dan Goulon antaranya jaringan kilasan kaki Zlatan Ibrahimovic dari Sweden yang mewakili Toronto FC menentang LA Galaxy dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat pada 15 September 2018.

Turut dianggap lebih ajaib ialah bagaimana pemain wanita kelab Sion Swift Ladies FC, Billie Simpson yang terus menyepak gol dari tengah padang setelah menyambut sepakan penjaga gol lawan, Cliftonville Ladies FC dalam Liga Perdana Wanita Ireland Utara pada 9 Ogos 2018.

Lain-lain termasuk kemahiran gelecekan pemain Cameroon, Ajara Nchout ketika membolosi gawang New Zealand dalam Piala Dunia Wanita FIFA tanggal 20 Jun 2019 dan tolakan kaki ke belakang bersahaja Fabio Quagliarella ( Sampdoria lawan Napoli dalam Serie A, 2 September 2018.

Satu lagi calon yang berpeluang cerah memenangi Anugerah Puskas FIFA 2019 ialah pemain dari Romania, Daniel Zsori yang membuat libasan kaki kidal ala sepak takraw untuk Debrecen FC menentang Ferencváros TC pada 16 Februari 2019.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.