Utusan terus beroperasi, tapi terpaksa naik harga akhbar

"Kita bukan lidah UMNO. UMNO tak pernah ganggu editorial. Utusan bebas untuk menulis apa sahaja, tapi mesti bertanggungjawab,"

Utusan terus beroperasi, tapi terpaksa naik harga akhbar
ORANG ramai membaca akhbar Utusan Malaysia di restoran sekitar Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN.

 

KUALA LUMPUR — Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) tidak akan menutup operasi, sebaliknya meneruskan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! seperti biasa meskipun berdepan kemelut kewangan.

Pengerusi Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, berkata syarikat itu bagaimanapun terpaksa menaikkan harga kedua-dua akhbar itu, masing-masing sebanyak 50 sen bagi mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung ketika ini.

Katanya, Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dinaikkan masing-masing kepada RM2 dan RM1.50 daripada RM1.50 dan RM1, berkuat kuasa Jumaat ini.

“Daripada peningkatan ini dan berdasarkan anggaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing terjual sebanyak 50,000 dan 100,000 naskah sebulan, kita jangka ia akan menyumbang kira-kira RM2.3 juta sebulan kepada Utusan.

“Berdasarkan laporan terakhir kepada Bursa, kita mengalami kerugian RM3 juta setiap bulan, namun hasil jualan akhbar ini dijangka mengurangkan defisit kita kepada RM750,000 sebulan.

“Kita harap sentimen untuk membantu Utusan dan semangat untuk memastikan Utusan terus beroperasi selepas 80 tahun dalam kalangan masyarakat ketika ini, akan diterjemah dengan pembelian kedua-dua akhbar ini walaupun harganya naik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Utusan di sini, hari ini.

Sidang media itu susulan pertemuan pengurusan Utusan dengan kira-kira 800 kakitangannya selama lebih sejam bagi membincangkan situasi dihadapi syarikat itu, khususnya membabitkan tunggakan gaji pekerja.

Abd Aziz berkata, pihaknya yakin kewangan Utusan akan kembali stabil antara 2020 hingga 2021 jika mereka berjaya melupuskan beberapa aset, meningkatkan pendapatan pengiklanan dan pertambahan pembaca kedua-dua akhbar Bahasa Melayu itu.

Berhubung tunggakan gaji, Abd Aziz berkata, pihak bersetuju untuk membayar RM2,000 kepada 800 kakitangan Utusan hari ini sebagai penyelesaian jangka pendek, namun tiada jaminan khusus bagi jangka panjang.

“Kita terpaksa naikkan harga akhbar dan jika jumlah pembaca kekal atau bertambah, di samping penjualan aset diselesaikan, kita yakin akan mampu membayar gaji pekerja mengikut masa,” katanya, menegaskan hanya satu aset yang berdepan masalah untuk dijual kerana tiada Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

Ditanya jika ada pelabur yang mahu membeli aset atau melabur dalam Utusan, Abd Aziz berkata, terdapat beberapa pelabur berpotensi namun mereka sedikit skeptikal selepas melihat status kewangan Utusan.

“Ada beberapa pelabur yang menunjukkan minat, tapi apabila tengok unjuran dan kehilangan aliran tunai kita setiap bulan, mereka risau juga,” katanya yang membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana entiti media.

Abd Aziz berkata, jumlah tunggakan gaji dan bayaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) adalah hampir RM10 juta, iaitu lebih RM3 juta bagi gaji dan RM6 juta bagi VSS.

Berhubung hala tuju editorial Utusan yang dilihat berat sebelah sebelum ini, Abd Aziz menegaskan UMNO tidak pernah terbabit secara langsung dalam keputusan editorial sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi Utusan.

“Wadah kita wadah rakyat. Kita nak bantu ketengahkan pandangan rakyat, namun bila buat begitu, kita dilihat menentang kerajaan. Bukan itu agenda kita.

“Kita bukan lidah UMNO. UMNO tak pernah ganggu editorial. Utusan bebas untuk menulis apa sahaja, tapi mesti bertanggungjawab,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.