Wajarkah kemuliaan Jalur Gemilang dijadikan pakaian?

Segelintir rakyat berlumba-lumba memperagakan pakaian corak Jalur Gemilang untuk tontonan ramai.

Wajarkah kemuliaan Jalur Gemilang dijadikan pakaian?

SEJAK akhir-akhir ini pada setiap tahun menjelang sambutan Hari Kemerdekan, kita akan dapat menyaksikan banyak usaha membuat dan memakai sepasang pakaian berasaskan corak bendera Malaysia atau lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang.

Mungkin mereka itu dengan bangga berpendapat bahawa memakai pakaian corak Jalur Gemilang adalah sebagai menzahirkan semangat patriotik mendalam terhadap tanah air tercinta?

Sedangkan masih banyak cara lain untuk menzahirkan semangat patriotik seperti mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, bangunan pejabat, premis perniagaan, stesen pengangkutan awam, kenderaan dan lain-lain lagi tempat yang sesuai.

Sebaliknya terdapat segelintir rakyat berlumba-lumba memperagakan pakaian corak Jalur Gemilang untuk tontonan ramai. Ada juga yang memakainya ketika menghadiri perhimpunan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negara, negeri, daerah, mukim dan kampung.

Justeru beberapa hari sahaja lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 pada 31 Ogos bagi tahun 2019 ini, kita berpeluang melihat segelintir rakyat memakai pakaian corak Jalur Gemilang secara individu mahupun berkumpulan.

Gambar mereka yang memakai pakaian seragam corak Jalur Gemilang itu banyak disiarkan dalam media cetak dan elektronik serta tidak kurang juga disebarkan dalam media sosial.

Wah! Pada wajah mereka kelihatan tersenyum berseri-seri ketika memakai pakaian imej Malaysia itu dan ada ketikanya mereka bersorak gembira serta melaungkan perkataan ‘merdeka’ dengan penuh semangat!

Kita tidak pasti siapakah pereka asal fesyen kreatif pakaian seragam berasaskan corak Jalur Gemilang itu yang terus popular sehingga kini?

Namun demikian seingat kita, Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad adalah artis pertama tanah air yang mempelopori pakaian corak Jalur Gemilang dipakainya ketika mengadakan konsert sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dahulu.

Berikutan itu pakaian sedemikian menjadi ikutan ribuan peminat Sudirman sekali gus ramai tukang jahit mengeksploit populariti fesyen tersebut untuk dikomersialkan.

Dalam fikiran tukang jahit, inilah masanya bagi mengaut keuntungan daripada minat utama bermusim segelintir orang ramai sempena Hari Kemerdekaan untuk memakai pakaian berasaskan corak Jalur Gemilang.

Kebanyakan tukang jahit memberitahu, mereka tidak menang tangan menerima tempahan untuk membuat pakaian corak Jalur Gemilang itu sepertimana menerima tempahan persalinan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berikutan itu kita berpeluang melihat terdapat sekumpulan guru sekolah, ahli persatuan belia, murid tadika, pelajar sekolah, keluarga, individu dan lain-lain lagi berasa megah memakai sedondon pakaian corak Jalur Gemilang daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Sehubungan itu kita ingin berkongsi pendapat dengan majoriti rakyat Malaysia, wajarkah kemuliaan Jalur Gemilang itu dijadikan pakaian?

Maklum sahajalah apabila corak Jalur Gemilang itu dibuat kain atau seluar, sudah tentu ia ‘diduduki’ oleh pemakainya, sedangkan kemuliaan bendera itu mengikut peraturannya perlu diletakkan berkibar megah di tempat yang tinggi.

Dalam erti kata lain, pemakai pakaian corak Jalur Gemilang itu dengan sengaja duduk di atas bendera tersebut yang sepatutnya dihormati sebagai simbol negara akibat mereka tidak mempunyai kesederan menerusi pengetahuan am.

Sebelum ini kita kerap melihat anggota berunifom akan mengangkat tabik hormat kepada bendera atau panji dalam sesuatu majlis rasmi, tetapi malang nasib bagi Jalur Gemilang kerana ia kini menjadi ‘alas’ punggung oleh pemakainya.

Pada umumnya mereka yang membuat dan memakai pakaian berasaskan corak Jalur Gemilang tersebut beranggapan ia adalah sebagai simbolik menzahirkan semangat patriotik itu memang bertujuan baik, tetapi caranya salah!

Lantaran itu kita harap pada masa akan datang, kerajaan akan dapat mengeluarkan garis panduan tertentu untuk dikuatkuasakan dalam menggunakan corak Jalur Gemilang sebagai pakaian sempena sambutan Hari Kemerdekaan atau dipakai secara harian.

Jika kerajaan prihatin untuk mengeluarkan garis panduan tegas dan mandatori yang diwartakan atau mengambil tindakan undang-undang mengikut akta tertentu, kita percaya kemuliaan corak Jalur Gemilang itu tidak akan terus ‘dinodai’ sesuka hati sehingga dunia kiamat.

Sebaik-baiknya jika mahu menunjukkan semangat patriotik melalui penggunaan pakaian corak Jalur Gemilang, memadai elemen itu dikenakan pada bahagian mulia sahaja seperti tanjak, songkok, tudung, topi dan cap pada kemeja T.

Ayuh! Kerajaan perlu bertindak kepada isu segelintir rakyat sesuka hati memakai pakaian corak Jalur Gemilang. Sebaliknya kerajaan jangan terlalu taksub kepada politik sahaja demi untuk kekal berkuasa dalam negara demokrasi ini sehingga mengabaikan aspek penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat berlandaskan perundangan.

Inilah akibatnya tiada pendidikan subjek Sivik atau Tata Rakyat di sekolah menyebabkan ramai generasi muda kita sudah tidak tahu membezakan yang masa satu baik atau buruk?

Tanpa pendidikan subjek tersebut, rakyat negara ini akan kehilangan jati diri, tanpa menghormati sesuatu yang patut dihormati dalam kehidupan masyarakat majmuk, semakin biadab (kurang ajar) serta buta sejarah dan terus gagal menghayati lima prinsip Rukun Negara.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.